NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bonus Felda: Kenapa tiada rayuan bagi penoreh getah, petani, nelayan?


oleh: Timmy Say

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiada bonus buat warga peneroka Felda tahun ini.

Semua senyap. Sunyi sepi ini menandakan keputusan ini bukan keputusan peribadi Azmin dan ini kemungkinan satu keputusan yang dipersetujui jemaah menteri.

Berita ini semestinya mengejutkan warga Felda kerana tahun lepas kerajaan Barisan Nasional yang dituduh sebagai kerajaan kleptokrat mampu memberikan insentif Aidilfitri RM450 kepada 112,653 peneroka Felda, kenapa kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan tidak kleptokrat gagal melakukan perkara sama?

Datanglah rayuan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang sebelum ini sering memberikan harapan kepada para peneroka bahawa hidup mereka akan lebih baik selepas tumbangnya BN. Beliau selaku pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) merayu kepada kerajaan PH agar bonus diberikan kepada para peneroka.

Namun, tiada sesiapa yang endahkan. Dunia Felda tetap sunyi sepi. Tiada satu pun duit syiling yang jatuh daripada Kementerian Kewangan. Nasib Felda tidak senasib sekolah-sekolah jenis kebangsaan di sana sini yang diberikan derma khas.

Isu bonus Felda bergema semula apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad disoal mengenai isu itu. Mahathir mengejutkan orang ramai apabila beliau berkata dia tidak tahu tentang status bonus kepada peneroka Felda dan memohon para wartawan merujuk soalan itu kepada Azmin.

Menarik. Mahathir dilihat tidak mahu mencampuri urusan ini dan membiarkan Azmin menjawab isu ini sendiri kerana barangkali mahu mengelakkan konflik jawapan sesama ahli jemaah menteri.

Beliau tentu sedar isu bonus Felda ini satu isu yang panas yang boleh dipolitikkan oleh pembangkang. Ini jelas kelihatan kerana tiada satu pun ahli jemaah menteri yang mencampuri urusan Azmin dalam isu ini.

Di saat peluang keemasan untuk meletakkan Azmin dalam kedudukan politik yang tidak selesa, cuba teka siapa yang tiba-tiba bangkit merayu bagi pihak Felda?

Sudah tentulah, Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Politik kebetulan ini sudah pasti tiada pembaca terkejut.

Anwar secara terbuka merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian wang tunai kepada peneroka Felda walaupun sedikit.

Cuma hairan, kenapa Anwar tidak mengikut skrip Mahathir yang tidak mahu mencampuri urusan Azmin dalam mengendalikan isu Felda?

Bukankah Anwar baru sahaja selesai berjumpa dengan Mahathir sebelum membuat rayuan tersebut secara terbuka. Apakah Anwar ada merayu pada Mahathir untuk memberikan bonus kepada peneroka dalam perjumpaannya?

Jika tidak, kenapa Anwar tidak berbuat demikian bila ada peluang keemasan tersebut? Rayuan ini boleh dibuat secara tertutup. Azmin timbalan presiden partinya, dan Mahathir perdana menteri yang beliau baru berjumpa.

Sepatutnya dalam isu yang sebegitu panas ini, semua ahli PH bersama mempertahankan keputusan yang ada supaya tidak lagi berlaku pusingan U.

Oh ya, kenapa tiada yang membuat rayuan serupa untuk para nelayan, petani, dan penoreh getah yang turut terjejas dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?

Kalau nak jadi hero, elok jadi hero kepada semua, jangan hero berpolitik sahaja.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo