Apalah 'dosa' 4 ahli akademik ini?


INGATKAN sudah reda masuk bulan Ramadan penuh barakah ini, rupa-rupanya tak settle juga.

Tak pasti Tumpang hendak bela pihak sebelah mana?

Iaitu empat ahli akademik inikah yang dikatakan telah kemukakan rumusan eksekutif mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Majlis Raja-Raja tempoh hari sehingga dicemuh sebagai punca keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu?

Ataupun barisan panelis yang tanpa segan-silu memperbodohkan mereka di Forum Malaysia & Statut Rom yang berlangsung di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 27 April lalu?

Empat ahli akademik berkenaan ialah Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi.

Sementara forum tersebut menyaksikan kehadiran Peguam Negara, Tommy Thomas; pengasas Gerakan G25, Datuk Noor Farida Ariffin; Pakar Perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi; peguam Lim Wei Jiet dan aktivis Asheeq Ali Sethi Alivi.

Cuma Tumpang percaya kedudukan empat ahli akademik itu lebih ‘terhimpit’, seolah-olah dijadikan ‘kambing hitam’ daripada tiga pihak lain apabila sebaik sahaja Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC 5 April lalu, hujah-hujah yang kedengaran lebih menuding jari salahkan mereka sebagai dalangnya.

Kedudukan ini perlu diperjelaskan. Masyarakat jadi keliru sangkakan Majlis Raja-Raja hanya memanggil empat ahli akademik itu.

Walhal, Majlis Raja-Raja juga mendengar daripada tiga pihak iaitu Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Tommy sendiri.

Polemik ini berlarutan sehinggakan muncul surat terbuka merujuk kepada tindakan empat ahli akademik terbabit yang dikatakan telah melakukan kesalahan sebagai penjawat awam.


TIBA-TIBA U-TURN?

Tumpang difahamkan, Majlis Raja-Raja tidak suruh pun kerajaan tarik balik, cuma menitahkan Statut Rom ini dibawa kepada kajian lebih mendalam dan dibentangkan semula kepada Majlis Raja-Raja.

Yang Tumpang tambah pelik, mengapa nak ditakutkan sangat pada empat ahli akademik ini? Hebat sangatkah mereka hinggakan boleh menyebabkan kerajaan U-Turn? Tak logik jika ini berlaku kerana semacam satu penghinaan pula kepada keintelektualan Majlis Raja-Raja.

Empat ahli akademik ini pada pengamatan Tumpang, hanya ‘orang kecil’. Mereka satu kumpulan yang tidak ada apa-apa kuasa atau hak untuk mengikat dan menukar fikiran Majlis Raja-Raja.

Dan Peguam Negara sendiri, kenapa sampai tidak boleh meyakinkan atau convince Majlis Raja-Raja sehingga boleh menerima ratifikasi Statut Rom? Sebaliknya sudah tentu pula suatu penghormatan besar kepada empat ahli akademik ini kerana berupaya pula berbuat demikian.

Bagaimana pula pandangan Panglima ATM? Mungkinkah Panglima ATM yang serba pakar tentang keselamatan negara ada pandangannya sendiri tentang Statut Rom?

Bagi Tumpang secara peribadi, tidak mungkin empat pensyarah ini didalangi mana-mana pihak. Mereka tidak mewakili NGO. Cuba periksa?

‘PROFESOR KANGKUNG’?

Tumpang juga ingin menanyakan warga ahli akademik, wajarkah Dr. Shad Saleem Faruqi dan Asheeq Ali melemparkan ungkapan bodoh terhadap empat ahli akademik terbabit? Sila buktikan dakwaan empat ahli akademik itu sebagai dishonest intelectual.

Malah, wajarkah Menteri Luar menyifatkan mereka ini ‘profesor kangkung’? Bukankah pandangan berbeza rakyat perlu dimakmurkan?

Isu ratifikasi Statut Rom ini hanya isu interpretasi. Biasanya ahli-ahli akademik menyampaikan pandangan mengikut kepakaran bidang mereka masing-masing.

Shamrahayu misalnya takkanlah bercakap pasal international law. Beliau lebih cenderung/pakar tentang Perlembagaan negara. Macam kerjaya doktor, ada doktor gigi, doktor bersalin dan sebagainya.

Prof. Dr. Rahmat pula, setahu Tumpang, beliau sebelum ini adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO) dari 2008 hingga 2016.

AALCO merupakan sebuah pertubuhan dianggotai 47 negara dengan fungsi membantu negara-negara anggota dalam penggubalan perlembagaan, model perundangan dan perjanjian-perjanjian dua hala, timbang tara, pelantikan dan menyelia hal-hal lain berhubungan dengan timbang tara.

Dr. Rahmat kini Timbalan Naib Canselor UiTM. Dr. Fareed pula, tesisnya memang bertajuk Statut Rom.Difahamkan, mereka yang menemui Majlis Raja-Raja kesemuanya masuk mengadap berselang-seli. Ini sekali gus menunjukkan Majlis Raja-Raja tidak berat sebelah.

Shamrahayu contohnya dipanggil kerana barangkali dia public figure, ada reputasi berikutan kepakarannya mengulas isu-isu berkisar Perlembagaan ditagih oleh media. Mengapa Majlis Raja-Raja tak panggil orang lain?

Dan tambah menghairankan Tumpang lagi, ekoran kerajaan menarik semula keputusan untuk Malaysia menyertai Statut Rom, tiba-tiba pula Menteri Luar pada 7 April lalu mendakwa wujud deep state yang merancang untuk memanipulasi sentimen rakyat.

Lebih kurang kata Saifuddin, menerusi deep state ini, rampasan kuasa (kudeta) boleh terjadi.

Padahal selepas Perdana Menteri umumkan penarikan Statut Rom, Menteri Luar tidak boleh membelakangi Kabinet. Dalam sifat ketanggungjawaban menteri, seseorang menteri itu perlu dilihat united di khalayak ramai.


DEMI KEDAULATAN

Cuma dalam isu Statut Rom ini, Tumpang khuatir barangkali ada parti politik tidak mahu tunjukkan wajah sebenar tetapi sengaja pergunakan NGO.

Mana-mana NGO sewajarnya maklum bahawa isu Statut Rom tidak boleh dimainkan dalam gelanggang politik. Ini bukan soal menguji kekuatan politik. Bukan PH dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO berlawan DAP. Tetapi isunya pasal kedaulatan negara.

Di UM tempoh hari, pentas itu dianjurkan oleh NGO. Katalah empat ahli akademik terbabit ke pentas itu, sudah pasti mereka akan dibuli.

Di situ pula ada kelibat Tommy. Biasanya khalayak lebih cenderung menilai atau melihat kelibat yang petah bercakap. Tak peduli pun pasal Statut Rom.

Rumusannya, Tumpang yakin Majlis Raja-Raya bertindak secara adil apabila memanggil semua yang terlibat. Isu ratifikasi Statut Rom ini lebih berkisar kepada isu kedaulatan negara.

Ia barangkali suatu percubaan undang-undang antarabangsa untuk melebarkan atau membawa dimensi universal agar akhirnya kita di Tanah Melayu ini meninggalkan asal usul dan sejarah kita.

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/apalah-dosa-4-ahli-akademik-ini-1.896300
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget