NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas adun Kelaboran meninggal dunia di Makkah


Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim meninggal dunia di Mekah, hari ini.

Perkara itu disahkan isterinya Raihan Zaki Yusof melalui satu hantaran di Facebook kira-kira jam lapan malam tadi.

"Allah lebih mengasihi dia. Dijemput kembali ke Rahmatullah di hari Jumaat, akhir Ramadhan di tanah suci Mekah.

"Jam 2.45 petang waktu Arab Saudi (jam 7.45 malam waktu tempatan). Pemergian yang dicemburui, kami reda dengan pemergianmu," katanya.

Menurut Harian Metro semalam, Mohd Zaki dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Aziz pada 29 Mei lalu berikutan komplikasi kencing manis yang dihadapi.

Allahyarham menunaikan umrah bersama isteri dan empat anaknya dan dijadual pulang ke tanah air pada 6 Jun ini (2 Syawal).

Mohd Zaki mula menjadi Adun Kelaboran di Kelantan pada PRU 2004, apabila menewaskan calon BN Wan Johani Wan Hussein. Beliau mengekalkan kemenangannya pada PRU 2008 dan PRU 2013, kedua-duanya dengan menewaskan calon BN Wan Hanapi Wan Yaakob.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding pada PRU ke-14 pada tahun lalu.

Pengajaran bermakna titipan BSL


APA yang sudah terjadi kepada British Steel Limited (BSL)? Itulah persoalan yang menguasai berita sensasi di Britain sejak seminggu lalu. BSL ialah gergasi kedua terbesar dalam industri besi di Britain. Pada 2016, Greybull Capital membeli BSL dengan harga £1 (RM5.32) daripada Tata Steel.

Selepas pembelian tersebut, syarikat itu yang berpangkalan di Scunthorpe, selain memiliki kilang di Teeside, Cumbria dan North Yorkshire, menerima suntikan dana £400 juta (RM2.128 bilion). Greybull Capital kemudiannya mendabik dada kononnya BSL akan untung berlipatganda hanya selepas beberapa bulan diambil alih.

Ini kerana antara pelanggan terbesar BSL ialah Network Rail. Sekitar 95 peratus besi bagi membina laluan keretapi dibeli daripada BSL. Malangnya, BSL yang mempunyai 323,000 pekerja pada 1971, kini tersungkur menyembah bumi.

Operasinya terhenti dan BSL kini hanya tinggal nama. Walhal BSL ialah pengeluar tunggal besi rel keretapi di Britain. Paling menarik, industri besi dan pembuatan daripada besi ialah antara yang menawarkan pakej gaji menarik di negara tersebut.

Besi ialah satu elemen terpenting dalam pembinaan Britain dan di dunia berdekad lamanya. Kita semua tentu masih ingat penutupan Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja). Perwaja ialah syarikat gergasi pengeluar besi terbesar di Malaysia yang mewakili kejayaan Dasar Perindustrian Berat Negara (PBN) 1982. Selepas beberapa kali bertukar tangan, riwayat Perwaja tamat jua akhirnya sekalipun banyak usaha dilakukan untuk menyelamatkannya.

Apakah sebenarnya yang berlaku sehingga memaksa Perwaja dan BSL terpaksa ditutup walhal besi menjadi elemen terpenting dalam dunia pembinaan. Adakah ini bermakna penggunaan besi akan berkurangan dalam industri kejuruteraan pembangunan akan datang atau semuanya berkaitan dengan isu pengurusan?

ALLAH SWT telah menyatakan kehebatan penggunaan besi menandakan kekuatan secara simboliknya dalam surah Shaad [38:30-33] maksudnya, “Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya); (ingatlah) ketika dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang di waktu berhenti dan cepat waktu berlari pada waktu petang (selepas di pasangkan ladam besi pada kaki kuda);

Maka ia berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang daripada pandangan; bawalah semua kuda itu kembali kepadaku. Lalu ia potong kaki (dipasangkan ladam besi) dan leher kuda itu.


”Penulis meramal penggunaan besi dan keluli akan terus menjadi resipi terpenting dalam dunia pembinaan kerana ALLAH telah mengisahkannya dalam al-Quran, Taurat dan Injil tentang seorang pemuda bernama Zulqarnain yang diutuskan ALLAH bagi mengajak kaumnya beriman kepada Penciptanya tetapi mendapat tentangan Ya’juj dan Ma’juj.

ALLAH mengurniakan Zulqarnain kekuasaan dan ilmu untuk memerintah bumi pada waktu itu. Sebagaimana kenyataan-Nya di dalam surah al-Kahf [18:95-96] bermaksud, “Zulkarnain berkata: Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhan ku kepada Ku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka; Berilah aku potongan-potongan besi, hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu) hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu.”

Penulis membuat rumusan BSL dan Perwaja sebenarnya tidak diurus dengan baik. Semua bukti menunjukkan BSL menerima banyak pesanan pembelian daripada pelbagai pihak termasuk Network Rail. Penutupan Perwaja dan BSL juga tidak bermakna industri besi yang kurang relevan dalam pembinaan sesuatu bangunan. Seharusnya teknik pengurusan mantap mengikut panduan yang diberikan Rasulullah SAW diterapkan dalam sesebuah organisasi.

Tidak sampai setahun lalu, penulis membaca kisah penutupan operasi Carillion, sebuah gergasi pembinaan yang dipalit hutang £1.5 bilion (RM7.98 bilion). Kini, Britain terus dirundung malang dengan gugurnya BSL yang menjadi kebanggaan negara tersebut bertahun lamanya.

Sesungguhnya bencana yang menimpa BSL boleh berlaku di Malaysia dan kita harus mula mencari punca dan ubat bagi mengatasi bencana ini.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Hujah yang sengaja dicampur-aduk


oleh:  Abdul Muein Abadi 

MENJELANG hari kemenangan umat Islam 1 Syawal tahun ini, kita dikejutkan dengan kenyataan kontroversi terkini seorang selebriti media sosial. Dalam satu coretan beliau di laman Facebook, selebriti tersebut memperagakan gambar beliau sekeluarga melancong di Tel Aviv, ibu negara Israel.

Beliau kemudiannya mempromosikan perkhidmatan syarikat pelancongan beliau untuk membawa pelancong dari Malaysia yang berminat untuk masuk sehingga ke jantung Israel (Kibbutz) dan berziarah sehingga ke Hebron, Batlehem, Jaffa, Jerrico dan banyak lagi selama tujuh hari.

Terdapat lima kesalahan yang telah dilakukan oleh selebriti tersebut. Pertama, beliau cuba menjustifikasikan tindakan melancong ke Tel Aviv dan mempromosikan pelancongan ke ‘Kibbutz, Hebron, Batlehem, Jaffa, Jerrico dan banyak lagi’ yang dijajah Israel dengan justifikasi melawat Masjid al-Aqsa.Tindakan ini adalah salah sama sekali.

Seperti mana kenyataan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkfli al-Bakri melalui 'Bayan Linnas Siri Ke-15: Hukum Menziarahi Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa Pada Masa Kini' pada Mac 2015: 'Pergi ke sana semata-mata untuk solat di Masjidil Aqsa seperti mana yang dinaskan dalam hadis bukan di tempat yang lain' dan 'Bukan ziarah untuk melancong ke tempat-tempat yang lain'.

Jelas bahawa perbuatan pergi melawat dan solat di Masjidil Aqsa itu tidak salah, yang salah adalah apabila selebriti tersebut sengaja mencampur-aduk hujah yang membenarkan melawat Masjidil Aqsa dengan hujah melancong ke tempat-tempat lain di Israel yang hakikatnya dijajah Zionis.

Kedua, kenyataan selebriti tersebut tentang rule of absence adalah terlalu simplistik dan menyeleweng. Pertama ialah dari segi pentafsiran sejarah yang silap dalam kenyataan berikut: 'Bagaimana Tel Aviv menjadi Israel? Mereka gunakan rule of absence. Bermakna, jika tiada orang di tanah itu untuk satu jangka masa, mereka boleh claim tanah itu'.

Kedua, kenyataan berikut: 'Rule of Absense ini juga menjelaskan mengapa kebakaran sekecil-kecil kebakaran di al-Aqsa semasa saya di sana dilapor seperti sangat besar dan tidak stabil dalam media antarabangsa sedangkan saya sendiri berada di tempat kebakaran itu dan terasa 'just a small thing'.

Kenyataan selebriti itu bukan sahaja menunjukkan bahawa beliau tidak memahami implementasi rule of absence Israel bahkan juga tidak menguasai sejarah tragedi penjajahan Zionis ke atas Palestin sejak 1948.

Malah, beliau cuba memperkecilkan pula penjajahan dan pembunuhan Zionis ke atas umat Islam Palestin dengan menggunakan contoh terpencil peristiwa ‘kebakaran yang diperbesar-besarkan’.

Inilah kesalahan ketiga beliau iaitu menggunakan hujah falasi hasty generalization atau overgeneralization fallacy. Hanya kerana satu contoh kecil, habis keseluruhan penindasan Zionis ke atas umat Islam cuba diremehkan.

Tiada salah untuk cuba mempromosikan perkhidmatan syarikat beliau untuk membawa pelancong Malaysia menziarahi Masjidil Aqsa tetapi tidak perlu hingga ke tahap meremehkan serta memperkecilkan penindasan Zionis.

Kesilapan keempat beliau ialah apabila sekali lagi menggunakan hujah berfalasi hasty generalization apabila menyatakan bahawa ‘orang Israel hampir semua mahukan keamanan’ dan cuba memperkecilkan hakikat majoriti warga Israel adalah penyokong tegar Zionis yang kini memberi undi jelas kepada kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu.

Seluruh warga Zionis hari ini sedar bahawa seluruh negara Israel itu ialah hakikatnya tanah jajahan dan mereka tidak berhak walau satu inci pun untuk berada di sana.

Orang Yahudi yang benar-benar cintakan keamanan tidak akan menjadikan Israel sebagai tempat tinggal mereka, sebaliknya mereka lebih rela tinggal di negara-negara lain.

Kesilapan kelima selebriti itu ialah kejahilan beliau dalam memahami realiti geopolitik.

Jika beliau tahu apa itu Zionis dan Zionisme, bagaimana lobi Zionis di UK berjaya merampas tanah Palestin, bagaimana lobi Zionis di Amerika Syarikat berjaya mendapatkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel dan membekalkan berbilion Dolar persenjataan kepada mereka, bagaimana lobi Zionis di PBB berjaya mendiamkan mulut masyarakat antarabangsa di saat mereka menyembelih umat Islam Palestin, tentulah beliau tidak akan tergamak untuk mensucikan Zionis Israel sebegini rupa.

Semoga beliau segera bertaubat dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Muliakan Ramadhan Dan Islam, Jangan Ambil Kesempatan Di Atasnya.


Ramadhan ini sepatutnya kita gunakan sepenuhnya untuk beribadah dan berbuat amal soleh. Ramadhan ini juga sebaik – baik peluang untuk kita pamerkan kebaikan Islam dan umatnya, memperbetulkan kembali naratif buruk dan tanggapan negatif yang selama ini di lemparkan ke atas Islam dan umatnya yang kita kenali sebagai Islamophobia.

Menjadi kewajipan bagi kita umat Islam untuk mengajak orang bukan Islam untuk mengenali Islam dengan betul dari segi hukumnya, dasarnya, matlamatnya, kebaikannya malah kebajikannya yang bukan sahaja untuk umat Islam namun untuk semua umat manusia. Namun adakalanya disebabkan kita ghairah tanpa terlebih dahulu bertanya malah menyelidik dari sumber yang betul, tanpa kita sedar kita telah melebihi malah melanggar adab dan tatasusila Islam itu sendiri.

Ada banyak cara dan kaedah kita boleh meraikan orang bukan Islam dalam bulan Ramadhan dengan tujuan untuk mendidik malah memperkenalkan Islam lebih dekat kepada mereka agar tidak ada was –was mahupun salah anggap terhadap Islam. Namun dalam usaha tersebut, jangan kita melangkah lebih jauh dari apa yang telah lazim di amalkan sejak dahulu lagi.

Saya berpendapat YB Akmal Nasurullah perlu mengambil pengajaran setelah apa yang berlaku. Seharusnya sebagai seorang pemimpin politik, pelbagai pandangan & pertimbangan harus di ambil kira terutamanya dari alim ulama sebelum membuat keputusan untuk menghadiri program berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam.

Sebagai seorang Islam, setiap perbuatan kita ada batasnya yang telah di tetapkan oleh syariat agar kita tidak terpesong akidah mahupun iman. Apa yang nampak pada umum, YB Akmal Nasrullah cuba mengambil kesempatan untuk menarik sokongan orang bukan Islam dengan menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah kuil Sikh. Malah pada pandangan umum, perbuatan tersebut salah serta melampaui batas sebagai seorang Islam.

Teguran pelbagai pihak, para alim ulama termasuk Mufti Wilayah Persekutuan perlu di jadikan pedoman. Sebagai pemimpin, jangan sangka semua perbuatan kita betul dan terimalah pandangan apabila di tegur. Namun hari ini apabila AJK Kuil tersebut mengatakan mereka sendiri tidak tahu menahu tentang program tersebut, sudah lain pula jadinya cerita ini. Apakah Ramadhan di gunakan untuk kepentingan politik atau apa saja jadi dan di gunakan asal kepentingan poltik tercapai ?

Cukuplah Islam di burukkan dan umatnya di pandang hina & keji, jangan kita tambah lagi kehinaan tersebut.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Ketua Pemuda,Dewan Pemuda PAS Malaysia.

https://www.facebook.com/526079594114224/posts/2201688599886640/

Usah Ambil Keuntungan Politik Di Atas Pemberian Zakat.

Apabila pemberian wang zakat atau apa sahaja berkaitan zakat cuba di ambil keuntungan politik terutamanya oleh pemimpin bukan Islam, ia adalah sesuatu yang serius dan perlu di ambil perhatian. Ini adalah kerana di dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia di ambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan di uruskan oleh orang Islam.

Namun apabila tularnya di media sosial mengenai ADUN Pulau Tikus , Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penerima zakat, saya merasakan ia sangat tidak wajar di lakukan malah belum pernah berlaku sebelum ini di dalam negara. Isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya.



Saya di fahamkan juga perkara sama turut di lakukan oleh beberapa lagi wakil rakyat bukan beragama Islam di Pulau Pinang. Ia seharusnya tidak berlaku dan wajib di tegur malah di pantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan tidak berlaku lagi. Malah ia juga boleh mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam di dalam negara.

Adalah lebih baik jika wakil rakyat yang bukan Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai-pegawai mereka yang beragama Islam. Ia akan jadi lebih mudah dan tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah. Perkara sebegini harus di pantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.

Saya menyeru kepada umat Islam di dalam negara agar sama – sama menghayati Ramadhan dan menjaga agama Islam agar tiada yang mengambil kesempatan ke atasnya di bulan yang mulia ini. Islam wajar di pelihara kesuciannya agar tidak di perkotak – katikkan dan di ambil kesempatan ke atasnya. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan ?

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2200277586694408&id=526079594114224

Sidang Media UMMAH sempena laporan polis isu Almarhum Adib




Belasungkawa Buat Prof. Dr Khazani Abdullah: Permata Jamaah Di hati Kami



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Dr Khazani Abdullah dilahirkan di Terengganu pada tahun 1968. Beliau merupakan antara anak Melayu yang mendapat pendidikan Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Missouri, Rolla USA pada tahun 1991 sehingga 1993. Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik sejak zaman persekolahan beliau di Terengganu ini disempurnakan dengan beliau menamatkan Ijazah PhD di Universiti Malaya pada tahun 1999. Dr Khazani Abdullah yang merupakan aktivis PAS semenjak zaman belajar, merupakan seorang pakar dalam bidang Fiber Optic, di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Muda Negara pada tahun 2001 dengan pelbagai sumbangan beliau dalam bidang Fiber Optic.

Beliau telah memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa kerana kecemerlangan dan kesungguhan beliau dalam bidang ini. Beliau terlibat dalam pelbagai penerbitan jurnal antarabangsa dalam bidang beliau, di mana tokoh ini juga Professor Adjunct di UNITEN, dan beliau juga telah menyelenggarakan pelbagai tesis kesarjanaan dan juga di peringkat PhD.

Semasa zaman remaja, almarhum mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1981 sehingga tahun 1983. Sebuah sekolah tersohor dan elit yang ditubuhkan di zaman British pada tahun 1925 yang melahirkan ramai tokoh-tokoh berjasa kepada negara termasuk Yang DiPertuan Agong sebelum ini, Raja Mizan. Di sekolah ternama ini, Khazani yang berasal daripada kampong Kuala Ibai lebih merupakan "ulat buku" berbanding reputasi dalam bidang sukan atau aktiviti pasukan beruniform yang lain.

Menurut YB Ustaz Afiffin Deraman (ADUN Alor Limbat yang memperolehi ijazah dalam bidang konvensional dan agama), Dr Khazani telah menjadi pelajar terbaik SMSS dalam peperiksaan awam SRP pada tahun 1983. Beliau akhirnya telah menyambung pelajaran menengahnya di MRSM Kuantan sehingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1985. Peminat gerakan Islam semenjak remaja ini akhirnya bermukim ilmu ke negara "Uncle Sam", terdedah dengan lebih luas di medan amal Islami.

Beliau antara tenaga pemikir dalam jamaah PAS, bersama-sama dengan Prof.Madya Dr Shamsuri Mokhtar, pakar aero angkasa Malaysia,Prof Dr Khazani menjadi "inner circle" Tuan Guru Haji Abdul Hadi semenjak tahun 2003. Dengan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, beliau lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu.

Almarhum terlibat dengan NGO Perantau Terengganu dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Presiden Perantau Terengganu. Khazani antara pengasas NGO Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekia yang mempunyai fikrah Islam dan bernuansa dakwah. Di peringkat kepimpinan PAS Pusat, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat untuk sesi 2015-2017 dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat, di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani.

Kejayaan beliau juga dengan menjadi pemikir utama dalam PAS di bilik strategik, ISP. Badan pemikir PAS ini juga merangka WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera) serta melakar "road map" PAS ke arah kejayaan PRU ke-14. Saya sebagaimana ahli-ahli PAS dan pimpinan yang lain, akan terus mengenang Dr Khazani sebagai sosok yang serius dengan kerja buat di medan amal Islami, hadir dalam mesyuarat PAS Pusat dan Lujnah Politik Pusat dengan idea-idea serta pembentangan fakta yang bertunjangkan kajian.

Dr Khazani sentiasa bersalut aura positif, tidak lokek masa dan harta untuk perjuangan Islam. Beliau juga pengasas kepada SRITI Bangi, sebuah institusi pendidikan yang kini mula menjadi fenomena baru kepada ibubapa dan pelajar. Ilmuan Islam ini akan kekal terpahat dihati kami, abnaul harakah, menjadi pencetus kebangkitan PAS pasca krisis 2015 dengan BPMS. Saya melihat kembali whatsapp peribadi antara saya dengan Khazani, kata-kata motivasinya, pesan-pesan penghargaannya dan akhirnya hati menjadi basah. Seorang teman yang menghargai persahabatan dan sentiasa bertanya apakah lagi ruang untuk menyumbang kepada perjuangan Islam. Damailah di sana wahai sang pejuang dan kami juga akan menyusurimu di alam sana. Alfatihah!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

Jabatan Amal Yang Dicemburui Lawan


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Entahlah!, aku juga tidak memahami kegilaan manusia dizaman edan ini. Kebencian tanpa sebab hatta atas alasan yang paling kecil sekali pun. Dicarut, dimaki dan diseranah sesedap mulut dan jari dipapan kekunci. Isunya berakar daripada kes jenayah membakar kereta Mufti Perlis, tanpa perlu melepasi proses siasatan dan penghakiman, pembenci terus memuntahkan kebencian mereka pada Jabatan Amal atau dahulunya kenali sebagai Unit Amal.

RBA dan juga macai terus galak menyerang dan menuduh tanpa bukti, meminta kerajaan mengharamkan JAM. Mereka menista dan melabel dengan galak sehingga aku merasa sedih, mengapa hodohnya perut manusia. Walhal reputasi Amal sangat cemerlang sehingga diiktiraf oleh pelbagai agensi kerajaan dalam usaha membantu manusia dan kemanusiaan. Politik itu juga jika dimasuki dengan pintu yang salah, maka natijahnya cukup hancing dan memualkan. Itulah yang aku perhatikan pada sebahagian aktivis dakwah (dulunya gemar meratib rukun baiah, akhlak Islam) yang dulunya kelihatan sopan dan warak namun bertukar watak seperti serigala gila bila berada dimedan siasah. Mereka penyokong tegar harbi yang secara terangan menentang apa sahaja citra Islami.




Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini. Cinta dan pengorbanan.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam.

Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor lanskap lulusan UiTM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.

Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai.




Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960an dan 1970an.

Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan alasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.

Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.

Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.

Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka 'beruniform merah' ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.

Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran.

Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

Hargai Nikmat Islam Kurniaan Allah S.W.T




KUALA TERENGGANU, 30 Mei- Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dianugerahkan Allah S.W.T dengan dengan nikmat yang tiada tandingannya iaitu nikmat Islam.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, terlalu banyak nikmat Allah S.W.T kurniakan kepada manusia semasa hidup di dunia tetapi Islam itu nikmat yang tidak boleh dibandingkan dengan segala nikmat lain.

Katanya, antara nikmat lain termasuk sihat fizikal dan mental, selamat daripada musibah, ilmu pengetahuan, kemerdekaan, keamanan serta kemakmuran tetapi nikmat Islam hanya dimiliki mereka yang diberikan hidayah oleh Allah S.W.T.



"Kita patut bersyukur kerana Allah S.W.T kurniakan nikmat Islam itu kepada kita.

"Sedangkan ada dalam kalangan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W tidak mendapat hidayah untuk memeluk Islam," ujarnya ketika menyampaikan tazkirah pada program Tausiah Lailatul Qadar Sempena Madinah Ramadan di Padang Taman Awam Batu Burok, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.

Sementara itu, beliau turut menitipkan pesan agar umat Islam tidak melepaskan peluang untuk memburu malam-malam terakhir Ramadan terutama malam Lailatul Qadar tatkala berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu.




"Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran yang menjadi pentunjuk kepada manusia dan Lailatul Qadar adalah malam yang cukup istimewa yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

"Marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan amalan kebaikan, mudah-mudahan kita diberkati Allah S.W.T, diberi taufik dan hidayah supaya sentiasa mengerjakan amal yang soleh dan Allah S.W.T jauhkan kita daripada perkara buruk dan keji yang dimurkaiNya," ujar beliau. - TEGANUKITE

MPAG Tolak Sampul Raya Berimej Babi


KUALA LUMPUR – Sampul duit hari raya Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang mempunyai seolah-oleh imej babi yang tular di media sosial merupakan satu kesilapan cetakan.
MPAG dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihak majlis telah menolak cetakan tersebut.

Menurutnya, pihak tidak bertanggungjawa telah menularkan cetakan yang silap tersebut di media sosial.

“Merujuk kepada isu sampul dan kad raya yang telah diviralkan baru-baru ini dimaklumkan terdapat kesilapan dalam cetakkan dan pihak Majlis telah menolak dan reject cetakkan tersebut.

“Namun ia telah diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pihak majlis memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku,” kata kenyataan itu.

Sampul duit hari raya MPAG yang mempunyai cetakan seolah-oleh imej babi menjadi tular di media sosial dan menjadi buah mulut netizen yang berpendapat ia tidak seharusnya berlaku.

“Jagalah sensitiviti semua kaum di Malaysia. Kenapa Majlis Perbandaran Alor Gajah nak keluarkan sampul duit hari raya dengan muka babi?

“Siapa yang design (reka) dan adakah semakan design dibuat sebelum cetak? Jangan sekadar minta maaf hanya kerana isu ini menjadi viral. Investigate (siasat),” kata seorang pengguna Facebook bernama Sujita Soorian. – UTUSAN ONLINE

Dr M cadang mata wang baru berasaskan emas



TOKYO: Malaysia mencadangkan mata wang baru berasaskan emas memandangkan ia lebih stabil berbanding dagangan dalam mata wang semasa yang bersifat manipulatif, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata logam berharga itu boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara di Asia Timur.

"Kita boleh membuat penyelesaian menggunakan mata wang (baru) ini (emas). Mata wang itu perlu berkait dengan mata wang tempatan sebagai rujukan kepada kadar tukaran, sesuatu yang boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.

"Berdasarkan kaedah ini, kita akan tahu jumlah hutang, jumlah yang perlu dibayar dalam mata wang khas Asia Timur," katanya pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) hari ini.

Dr Mahathir tiba di Tokyo semalam untuk lawatan kerja 3 hari.

Perdana menteri berkata mata wang baru itu juga boleh dipanjangkan kepada negara lain di luar kawasan Asia Timur.

"Di timur jauh, jika anda mahu bersatu, kita patut mulakan dengan mata wang seragam untuk perdagangan, bukan untuk penggunaan dalam negara, sebaliknya untuk tujuan penyelesaian dagangan".

Beliau berkata pada masa ini pasaran global terikat kepada dolar AS, yang membuka ruang untuk dimanipulasi.

"Hanya kerana sebuah negara terjejas, ia menular ke negara lain. Kedudukan Malaysia sangat stabil pada 1997… namun disebabkan masalah berlaku di Thailand (semasa krisis kewangan Asia), mereka berkata Malaysia juga perlu menambat mata wangnya.

"Apa berlaku? Pedagang mata wang menjual mata wang Malaysia, menyebabkan mata wang Malaysia susut nilai.

"Mereka tiada pun wang, mereka tidak ada pun mata wang Malaysia, namun mereka dapat menjual kuantiti besar mata wang Malaysia, dan apabila harga jatuh, sudah pasti mereka membeli dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi apabila nilainya meningkat," katanya.

"Apabila susut nilai, sudah pasti anda boleh membeli dan menjual pada harga yang lebih tinggi apabila harga meningkat. Dagangan mata wang ini bukanlah sesuatu yang sihat kerana ia bukan menunjukkan prestasi (ekonomi) sesebuah negara, sebaliknya ia merupakan manipulasi.

"Apa sahaja yang ada berlebihan, akan hilang nilainya. Jika bekalan kurang, nilai akan meningkat dan mereka jual dalam kuantiti wang yang besar yang mereka tidak ada pun, dan disebabkan jumlahnya sangat besar, berlakulah penyusutan nilai," katanya.

Perdana menteri menjelaskan jika (penarafan) negara diturunkan atau dinaikkan, ia sewajarnya dilakukan oleh forum antarabangsa yang tidak komited dan bukan oleh mana-mana negara.

Bidas AS label negara

Atas kedudukan ini, beliau membidas Amerika Syarikat (AS) kerana melabelkan negara-negara.

"AS suka melabelkan negara itu tidak bagus, negara ini tidak baik dan memberitahu negara-negara mengenai cara untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Anda tidak demokratik. Bukan mana-mana negara tunggal mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Jika anda mahu tinggal di negara yang bersatu, dunia yang stabil, kita mesti memilih kemampanan menerusi perjanjian antara semua negara yang mempunyai kepentingan dalam sebarang masalah".

Ditanya sama ada yen Jepun atau yuan China boleh digunakan sebagai mata wang seragam di Asia, Mahathir menjawab: "Jika kita cuba mempromosi mata wang kita sendiri, akan berlaku konflik".

"Namun jika ada mata wang seragam untuk Asia Timur, mata wang dagangan yang sama yang digunakan di setiap negara untuk penyelesaian dagangan, akan wujud kestabilan.

"Namun untuk mempromosikan yen atau yuan, bukanlah caranya," katanya.

Isu agihan zakat: Usah jual agama untuk harga murah

BANGI, 25 Ramadan 1440H, Khamis – Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) memberi peringatan kepada institusi Islam tertentu, yang seolah-olah menyokong tindakan pemimpin DAP mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam baru-baru ini supaya tidak menjual agama untuk harga yang murah.

Naib Presiden Berjasa, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menegaskan, tindakan itu bermakna institusi berkenaan secara tersirat menghalalkan promosi fahaman mungkar sekularisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme yang diperjuangkan DAP sejak puluhan tahun dahulu.

"Ini juga bermakna institusi Islam itu menyucikan imej ahli-ahli politik DAP yang menentang konsep negara Islam dan memperjuangkan konsep negara sekular," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam di Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Chun Kit dalam status dimuat naik di laman Facebook menjelaskan, kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Bagaimanapun, tindakannya menyerahkan kit bantuan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatan itu sebagai mencampuri hal ehwal agama Islam.

Bagaimanapun semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, dari sudut feqah adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

"Ini hanya yang berkaitan dengan mu'amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah. Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain," katanya.

Beliau berpandangan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang yang tular dalam media sosial tidak perlu dijadikan isu, asalkan ia tidak diselewengkan.

Dalam pada itu Ustaz Hazizi menegaskan, perjuangan sekularisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme adalah perjuangan mungkar, wajib dicegah.

"Sesiapa yang mempromosikan perjuangan itu turut sama melakukan kemungkaran. DAP sememangnya sedia maklum memperjuangkan segala fahaman itu untuk direalisasikan dalam negara kita sejak puluhan tahun dahulu. Mempromosikan DAP seperti mempromosikan kemungkaran fahaman perjuangan mereka.

"Amat jelas sekali dan tanpa ragu bahawa ahli politik DAP turut agih zakat demi mempromosikan parti mereka kepada orang Islam yang majoritinya masih belum menerima perjuangan batil mereka," kata beliau.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/05/30/isu-agihan-zakat-usah-jual-agama-untuk-harga-murah/

Ke Mana Hala Tuju Inkues Allahyarham Adib?


oleh: Haji Ahmad Amzad Bin Hashim
30 Mei 2019/ 25 Ramadhan 1440H

1. Tindakan peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Muhammad Adib menarik diri sudah pasti sangat mengejutkan, namun lebih mengejutkan alasan-alasan Peguam Negara (AG) yang masih boleh dipertikai.

2. Persoalan besar yang masih gagal ditanggapi AG dengan alasan-alasan beliau adalah, mengapa perlu sekarang "bantahan" beliau dikemukakan terhadap peguam Syazlin Mansor, ketika inkues berada di fasa-fasa akhir?

3. Tambahan lagi, bagaimana alasan konflik kepentingan boleh timbul jika seorang peguam itu mewakili KPKT, JBPM dan juga mewakili keluarga Adib dalam satu masa, sedangkan ketiga-tiga pihak mempunyai kepentingan yang sama iaitu untuk mencari keadilan kepada Adib.

4. Bagaimana pula alasan "tindakan agresif" peguam Syazlin dikatakan "memalukan dirinya" kerana dilihat "bertentangan dengan pendirian Pendakwa Raya" (bawah AG juga), sedangkan tujuan inkues adalah mencari sebab kematian, bukan memulakan prosiding pendakwaan lagi?

5. Malah, bagaimana alasan suami Syazlin adalah SU Akhbar kepada Menteri KPKT dianggap "kukuh" untuk menggugurkan beliau pada saat-saat akhir?

6. Jelas alasan ini memperlihatkan sikap tidak profesional AG malah boleh dianggap sebagai "cuai".

7. Akhirnya ke mana kesimpulan inkues Adib yang akan bersidang semula Jun depan?

8. Ia masih bersifat spekulatif dan telahan kasar. Cuma jika diperhatikan "puzzle" yang ada, ia seakan-akan menggambarkan kemungkinan tersebut.

9. Pertama, sejak awal lagi kes Adib menimbulkan keresahan ramai. Ketika AG mengarahkan inkues, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mahariamman telah mengumumkan Adib mati disebabkan kemalangan. Namun, ia disangkal (bekas) Ketua Polis Negara.

10. Kedua, afidavit AG bertarikh 3 April yang mengatakan Adib mati kemalangan. Laporan media menjelaskan afidavit itu memasukkan keterangan saksi inkues yang mengatakan Adib mati kemalangan.

11. Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman sejak dari awal memohon supaya menjadi pihak dalam prosiding inkues.

12. Permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Koroner pada Februari kerana mereka tiada "real, substantive dan reasonable" untuk turut serta sebagai pihak dalam inkues ini.

13. Kes tersebut dibawa sehingga ke Mahkamah Rayuan, namun pihak Jawatankuasa Kuil menarik balik rayuan pada pertengahan April kerana menerima afidavit tersebut.

14. Afidavit itu mengatakan Adib bukan mati akibat dipukul tetapi kerana kemalangan. Mengapa pihak AG membuat kesimpulan sedemikian sedangkan inkues yang bertujuan mencari punca kematian Adib masih berjalan?



15. Ketiga, penarikan diri saat akhir peguam Syazlin Mansor.

16. Berlaku pertembungan dua pandangan pakar di antara Dr. Ahmad Hafizam (saksi ke-24), pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur dengan Prof Dr. Shahrom, bekas perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (saksi ke-29) sepanjang inkues berlangsung.

17. Dr. Ahmad Hafizam menjelaskan bahawa "kecederaan Adib tidak sepadan dengan kesan dipukul". Beliau juga berpandangan Adib keluar sendiri daripada van EMRS dan dilanggar yang mengakibatkan kepatahan tujuh tulang rusuknya.

18. Sebaliknya Prof Shahrom menolak pandangan Dr Ahmad Hafizam serta menjelaskan Adib ditarik keluar dan dihentak ke pintu. Malah, jika beliau terhimpit seperti dakwaan Dr. Ahmad Hafizam, sudah pasti kemungkinan besar Adib akan mati ditempat kejadian.

19. Justeru, dengan penarikan diri peguam Syazlin, apakah kedudukan saksi Prof Shahrom juga akan turut terbatal seperti yang dimaklumkan peguam Syazlin tempoh hari ketika pengumuman penarikan diri beliau?

20. Jika begitu, sejauhmana keterangan Prof Shahrom akan diambil kira kelak dalam menentukan kesimpulan inkues ini?

21. Maka, ketiga-tiga situasi ini seperti sedang diasak kepada kesimpulan yang sama - kematian Adib hanya suatu kemalangan.

22. Kita tidak berhak mempersoalkan inkues yang sedang berjalan mahupun pandangan yang dikeluarkan oleh para pakar kerana ia hanya jalan yang tinggal bagi mendapatkan keadilan kepada keluarga si mati.

23. Namun perjalanan inkues tidak seharusnya dibiarkan mempunyai unsur-unsur yang meragukan serta boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya, apatah lagi seolah-olah ada tangan yang sedang menentukan hala tujunya.

24. Semoga keadilan tetap bersama Allahyarham Adib dan keluarganya.

"Islam Memimpin"

Haji Ahmad Amzad Bin Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Muktamar PAS catat sejarah, Empat MB, tujuh bekas MB hadir



KUANTAN: Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang, ceria dibanjiri kehijauan apabila para perwakilan dan pemerhati Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 65 mula membanjiri pekarangannya seawal jam 7.30 pagi, sementara para tetamu jemputan mula mengambil tempat masing-masing kira-kira jam 8.30 pagi. 

Para pemerhati tidak ketinggalan mengambil tempat di ruang atas stadium untuk bersama-sama mengikuti majlis perasmian selain mengambil peluang mendengar mutiara berharga ucapan dasar presiden kali ini. 

Pembarisan Jabatan Amal Malaysia segak bergaya berpakaian rasmi, siap siaga, tampan menanti ketibaan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awa g bersama kepimpinan utama PAS Pusat bersedia seawal 7.00 pagi di pintu masuk stadium di mana Tuan Guru bersama rombongan masuk ke dewan muktamar kira-kira jam 9.00 pagi sebelumnya beliau diberi penghormatan pemeriksaan dan tabik hormat Jabatan Amal Malaysia. 

Lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS bergema menaikkan lagi semangat hadirin yang sejak awal lagi memenuhi ruang Stadium Tertutup SUKPA. 

Suasana ceria yang bukan sahaja diwarnai dengan kehijauan namun keunikan kehadiran tetamu jemputan menjadikan ia penuh warna warni dan secara tidak langsung menjadi nilai tambah kepada kemeriahan majlis berkenaan. 

Antara tetamu jemputan hadir kali ini termasuklah menteri-menteri besar (MB) dari perpaduan ummah iaitu Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob, Menteri Besar Terangganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Azlan Man. 

Bekas Menteri Besar yang hadir selain Tuan Guru Abdul Hadi (Terengganu) ialah Dato’ Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (Johor) dan Dato’ Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Kedah), Dato’ Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Selangor).. 

Selain itu delegasi Pergerakan Umno Malaysia yang diketua oleh Pemangku Presidennya, Dato' Seri Mohamad Hassan turut hadir menambahkan keceriaan majlis berprestij ini. 

Majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 65 ini juga dihadiri deligasi luar negara seperti Amerika, Indonesia, Palestin dan lain-lain, di samping pemimpin Gagasan Sejahtera, Parti Sahabat, Presiden MIC bersama rombongannya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Assabiqun serta lain-lain lagi. 

Majlis perasmian kali ini dikendalikan oleh Pengerusi Tetap PAS Pusat, Husin Ismail.

Ringgit jatuh antaranya disebabkan menteri tidak bijak berkomunikasi - Tun Daim



KUALA LUMPUR: Notis cukai pendapatan yang terlalu banyak dihantar kepada orang ramai membuatkan rakyat takut berbelanja hingga menyebabkan ringgit mengalami kejatuhan, kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Daim berkata perkara itu diburukkan lagi apabila penghantaran notis cukai itu diumumkan kepada orang ramai hingga menyebabkan mereka takut berbelanja.

"Income tax tak perlulah kacau orang. Kalau hantar notis mereka takut nak belanja, patut jangan kacau rakyat.

"Sebelum ini tidak pernah umum, bila Pakatan Harapan jadi kerajaan, hantar notis sampai lapan juta.

"Lapan juta notis kalau seorang isteri dan seorang suami sudah 16 juta, kacau ni. Anda bunuh keyakinan. Dulu mereka keluar makan, sekarang mereka takut nak keluar," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.

Beliau menasihatkan menteri-menteri Kabinet supaya berbincang terlebih dahulu dengan Setiausaha Akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Kalau nak buat kenyataan, bincang tengok apa kesannya, bincang dengan pegawai kemudian bincang menteri dengan menteri. Bukan seronok-seronok buat kenyataan.

"Kalau positif keluar kenyataan, kalau negatif jangan keluar kenyataan, kalau negatif nak umum juga, bodoh lah," katanya.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ringgit-jatuh-antaranya-disebabkan-menteri-tidak-bijak-berkomunikasi-daim-208891

Keadilan untuk Muhammad Adib



Seperti ramai rakan-rakan yang lain, saya turut tertanya-tanya dengan penjelasan yang diberikan bahawa arahan supaya Syazlin Mansor menarik diri dari mewakili KPKT dan JPBM dalam prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim adalah kerana wujudnya konflik kepentingan kerana Syazlin juga turut mewakili keluarga Muhammad Adib.

Lantikan Syazlin dibuat oleh KPKT dan diumumkan sendiri oleh Menterinya pada 24 Disember 2018 di mana beliau dilaporkan berkata Syazlin “akan memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Muhammad Adib dan JBPM” dan “akan turut membantu Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut”.

Seperti ramai rakan-rakan yang lain, malah seperti Setiausaha Politik Menteri sendiri, saya turut tertanya-tanya mengapa arahan menarik diri hanya diberi pada 23 Mei 2019 dan mengapa tiada sebarang bantahan dibuat sebelum ini sedangkan lantikan ini diumumkan secara meluas dan prosiding inkues juga sudah bermula pada 11 Februari 2019 lagi.

Saya turut tertanya-tanya apa bentuk konflik kepentingan yang boleh timbul antara KPKT, JPBM dan keluarga Muhammad Adib kerana pandangan umum adalah kesemua tiga entiti ini mempunyai kepentingan yang sama, iaitu untuk melihat keadilan diberikan kepada Muhammad Adib sama ada selaku kakitangan mahupun sebagai ahli keluarga mereka.

Tidak boleh disalahkan masyarakat umum jika mereka merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan pengendalian dan hala tuju prosiding inkues ini, khususnya dengan melihat kepada perkembangan mutakhir yang sedang berlaku beberapa hari ini.

Apatah lagi bila Perdana Menteri sendiri, selepas menziarahi Muhammad Adib yang sedang menerima rawatan di IJN pada 28 November 2018, berkata bahawa “melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh”.

Begitu juga dengan blogger berpengaruh Datuk A Kadir Jasin yang menulis pada 21 Disember 2018 bahawa “penjenayah atau kumpulan penjenayah yang menyebabkan kematian beliau, tidak kira bangsa atau agama, wajib diburu dan dijatuhkan hukuman yang setimpal”.

Apa pun, marilah kita berdoa semoga keadilan akan diperolehi oleh Muhammad Adib.

“Inkues Adib: Peguam Negara Perlu Dipecat”


oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD

1. Sejak 17 Disember 2018, seluruh negara tertunggu-tunggu dapatan fakta tentang punca kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang bekas anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Subang Jaya, yang cedera parah sewaktu bertugas dalam satu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafiled USJ 25, pada awal pagi 27 November 2018.

2. Dalam keadaan prosiding inkues yang telah berlangsung selama hampir 5 bulan sejak 18.1.2019, dan hampir mencapai garis penamat selepas Mahkamah Koroner telah mendengar keterangan dari 29 saksi selama 36 hari prosiding, negara dikejutkan dengan berita penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Allayarham Adib. Penarikan diri Peguam Syazlin Mansor tersebut turut menimbulkan misteri pembatalan sambungan keterangan tambahan oleh Pakar Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrum Abd Wahid, seorang saksi yang dijangkakan akan menjadi saksi terakhir prosiding tersebut.

3.  Kenyataan Akhbar Setiausaha Politik YB Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad bertarikh 28.5.2019 telah menjelaskan bahawa Peguam Syazlin Mansor telah diarahkan menarik diri dari mewakili Jabatan Bomba & Penyelamat serta KPKT dari prosiding inkues tersebut, selepas menerima surat dari Peguam Negara bertarikh 23.5.2019.

4.  Beberapa jam selepas itu, Jabatan Peguam Negara juga telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar bagi menjelaskan “nasihat” kepada KPKT dan Jabatan Bomba bagi menamatkan khidmat Peguam Syazlin Mansor, dengan menarik diri dari prosiding inkues.

5.  Berdasarkan Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara, 2 alasan utama yang menjadi sandaran kepada “nasihat” tersebut dikeluarkan ialah kerana kononnya “wujud konflik kepentingan” untuk Peguam Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak (termasuk keluarga Adib), dan peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin dalam prosiding itu yang dikatakan seringkali mengambil pendirian yang bertentangan dengan “Pendakwaraya”, justeru telah mengakibatkan keaiban terhadap beliau atas kapasitinya selaku Peguam kepada Kementerian.

6. Dalam bahasa mudahnya, inkues adalah merupakan satu siasatan awam secara kehakiman (a judicial inquiry) untuk menentukan sesuatu kejadian, atau dalam konteks Seksyen 337 Kanun Acara Jenayah, adalah untuk menentukan punca atau keadaan (bila, bagaimana, dimana dan cara kematian) kematian seseorang atau samada sesuatu kematian itu melibatkan unsur jenayah. Inkues adalah bersifat “inquisition”, iaitu siasatan awam terbuka untuk membolehkan Mahkamah Koroner membuat dapatan fakta (fact finding) terhadap punca kematian dan keadaan kematian tersebut. Perlu diingat bahawa inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah, bukan satu bentuk pendakwaan terhadap mana-mana pihak, justeru tiada apa-apa sabitan terhadap mana-mana pihak, bahkan tiada pihak yang akan menang atau kalah pada penghujung prosiding inkues.

7.  Ia adalah padang yang terbuka untuk menjemput masyarakat awam yang mempunyai kaitan dan kepentingan langsung bagi mengemukakan bukti-bukti untuk dinilai oleh Koroner. Berdasarkan laporan media, KPKT dan Jabatan Bomba mempunyai kecenderungan untuk mempercayai teori bahawa kematian Adib adalah disebabkan kecederaan akibat dipukul oleh perusuh. Kepercayaan ini turut dikuatkan oleh Allayarham Adib sendiri sewaktu menjawab 11 dari 15 soalan yang dikemukakan kepadanya sewaktu dirawat di Institut Jantung Negara dengan mendakwa dirinya dipukul dengan peralatan dan ditarik dari van Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS). Atas asas ini, sejak awal lagi KPKT dan Jabatan Bomba telah bertindak melantik Peguam sendiri, Syazlin Mansor untuk turut serta dalam inkues tersebut.

8. Perlantikan dan penyertaan Peguam Syazlin sedari awal prosiding inkues dimulakan, sejak 18.1.2019 tidak pernah dibantah oleh Peguam Negara, walau Peguam Negara mempunyai masa yang sangat luas untuk membantah, sebagaimana bantahan yang dilakukan terhadap Peguam-Peguam yang mewakili 50 penganut Hindu dan Jawatankuasa Kuil Sri Mariamman. Bantahan ini kekal walau selepas melibatkan prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

9. Atas asas ini sahaja, dan dengan sifat prosiding inkues yang terbuka untuk tujuan siasatan awam, dan bukannya bersifat satu perbicaraan jenayah yang matlamat akhirnya adalah kalah dan menang (sabitan jenayah), alasan kononnya “wujud konflik kepentingan” yang dikemukakan oleh Peguam Negara untuk menasihati “penarikan diri” Peguam Syazlin pada saat akhir selepas Peguam Syazlin “memainkan peranan aktif” untuk menyokong teori kematian yang mungkin bertentangan dengan teori Jabatan Peguam Negara adalah suatu tindakan yang bersifat lepas fikir (afterthought). Alasan konflik kepentingan adalah sangat lemah kerana pastinya KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang bercanggah melainkan untuk sama-sama membantu Mahkamah Koroner membuat dapatan fakta yang betul selaras dengan kredibiliti dan bukti yang dikemukakan. Malang sekali seolah-olah Peguam Negara terlepas pandang perbezaan antara inkues dan perbicaraan jenayah.

10. Dalam keadaan prosiding yang bersifat siasatan terbuka untuk membuat dapatan fakta yang tepat, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan inkues melalui Pegawai Pengendali (conducting officer) tidak sewajarnya tampil dengan kesimpulan awal tentang punca kematian Adib, serta cuba memaksa pendirian tersebut untuk diterima oleh KPKT dan Jabatan Bomba. Jika pun Peguam Negara mempunyai kesimpulan awal berdasarkan siasatan polis dan forensik bahawa Adib mengalami kecederaan akibat kemalangan (dan bukannya dipukul), Peguam Negara tidak sewajarnya menghalang pihak-pihak lain yang mempunyai teori berbeza untuk menguji teori itu di hadapan Mahkamah Koroner dengan mengemukakan bukti dan keterangan yang relevan dan sesuai. Ironinya, tindakan Peguam Negara yang “menasihati” KPKT untuk mengarahkan Peguam Syazlin menarik diri kerana “peranan aktifnya” untuk menyokong teori kematian yang tidak konsisten dengan pendirian Peguam Negara, adalah bersifat satu langkah yang berupaya menghalang proses keadilan dilaksanakan dalam prosiding inkues.

11. Justeru alasan Peguam Negara kononnya “peranan aktif” Peguam Syazlin yang sentiasa mengambil pendirian yang bertentangan dengan Pegawai Pengendali inkues tentang teori kematian Adib, dan menyebabkan “keaiban” sebagai Peguam KPKT, hanyalah alasan lemah yang tidak sejajar dengan prinsip undang-undang berkenaan pengendalian sesuatu inkues. Sekali lagi, Peguam Negara kelihatan teraba-raba dalam mencari titik sempadan antara sifat prosiding inkues dan perbicaraan jenayah.

12. Sepatutnya, ketekunan dan kerja-keras serta peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin untuk mengemukakan teori alternatif bagi kematian Adib, dengan mengemukakan bukti yang sangat kredible melalui keterangan Prof Dr Shahrum Abd Wahid, perlu disanjung dan dipampas dengan sewajarnya kerana usaha keras itu akan dapat membantu Koroner membuat pertimbangan yang lebih menyeluruh serta dapatan fakta yang lebih adil bagi menepati maksud sebenar kenapa inkues perlu dijalankan.

13.  Amat malang lagi, alasan keempat yang dikemukakan oleh Peguam Negara tentang status Peguam Syazlin selaku isteri kepada Pegawai Akhbar YB Menteri KPKT, tanpa apa-apa penjelasan lanjut, hanya menyerlahkan niat serong untuk memperlekehkan peribadi Peguam Syazlin dan meletakkan denai pembunuhan karektor yang sangat tidak wajar dan tidak beretika. Mustahil keseluruhan Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui hubungan ini seawal Peguam Syazlin dilantik mewakili KPKT? Apakah kaitan hubungan suami isteri Setiausaha Akhbar Menteri dengan kepentingan prosiding inkues Adib?

14. Oleh yang demikian berdasarkan keseluruhan naratif diatas, DPPM berpandangan bahawa tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang “mengarahkan” KPKT dan Jabatan Bomba untuk menamatkan khidmat Peguam yang sedang mengendalikan prosiding inkues yang sudah berada pada penghujungnya, tanpa alasan yang munasabah bahkan kelihatan bersifat lepas fikir (afterthought) untuk menutup kelemahan sendiri, hanyalah melengkap siri-siri kelemahan Peguam Negara dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini. Justeru tiada pilihan yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas diPECAT serta-merta dari jawatan tersebut!

“Terus Mara"
"Islam Memimpin"

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia

https://www.facebook.com/479387615411779/posts/2789549587728892/

Kenapa arah Syazlin tarik diri selepas 5 bulan, Umno-PAS soal peguam negara



KUALA LUMPUR: Umno dan PAS hari ini mempertikaikan keputusan peguam negara mengarahkan Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hampir selesai.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Peguam Negara sepatutnya membantah pelantikan Syazlin ketika inkues itu bermula 3 bulan lalu, bukannya selepas timbul percanggahan pendapat atau pertikaian antara pengendali inkues dan peguam kerajaan."Kenapa selepas 5 bulan baru minta Syazlin tarik diri? 

Sebelum ini, peguam yang hendak mewakili Kuil Sri Maha Mariamman dibantah, tetapi peguam mewakili kementerian tidak pernah dibantah. Tommy bertindak di luar batasan kuasanya.

"Kita hendak beritahu Tommy, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri. Jabatan itu ada peraturan dan aturannya. Jangan buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di sini, hari ini.

Syazlin ialah satu-satunya peguam KPKT dan JBPM, tetapi pada masa sama, beliau turut mewakili keluarga Adib bersama 4 peguam lain.

Inkues itu diadakan susulan kontroversi berhubung punca kematian Adib yang parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada November 2018.

Berita lanjut menyusul. - FMT

Inkues Adib dianggap konspirasi


Inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan dianggap sebagai konspirasi sekiranya Peguam Negara, Tommy Thomas gagal mengetengahkan penjelasan meyakinkan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata perkara tersebut akan berlaku berikutan wujud spekulasi bahawa Syazlin telah diarahkan supaya mengundur diri selepas Tommy menghantar surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Ahmad Amzad, surat tersebut konon menyatakan peguam wanita itu telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Adakah kerana keterangan saksi Prof. Shahrom Abdul Wahid yang menyatakan punca kecederaan Allahyarham Muhammad Adib kerana ditarik keluar dan dipukul bertentangan dengan keterangan saksi pakar forensik?

“Semua mengetahui Syazlin berjaya menjejaskan kredibiliti pakar forensik apabila beliau mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah bahkan beliau turut mendakwa Allahyarham Muhammad Adib keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang mengundur,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata dakwaan tersebut merupakan sesuatu yang serius kerana menjejaskan kepercayaan masyarakat awam terhadap keputusan inkues.


“Sudahlah sebelum ini Pejabat Peguam Negara menfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Muhammad Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai,” katanya.

Terdahulu, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JBPM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Keputusan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner pada prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner, Kuala Lumpur.

Wartawan Watan-Online

Masuk campur kes Adib: Pembangkang desak AG letak jawatan


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Peguam Negara (AG), Tommy Thomas supaya meletakkan jawatan selepas dilihat masuk campur dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya turut mendesak supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Tommy.

“Malangnya pegawai daripada Jabatan Peguam Negara, Hamdan Hamzah telah membuat afidavit dalam mahkamah bahawa kematian Adib bukan disebabkan dipukul oleh mana-mana individu. Ini menunjukkan bahawa pihak AG mempunyai pemikiran dan telah membuat keputusan sebelum koroner selesai menjalankan inkues.

“Kami berpandangan bahawa ia campur tangan yang amat jelas dan ketara termasuk terbaharu apabila peguam mewakili kementerian, bomba dan keluarga diarah untuk tarik diri.

“Jadi nampak jelas bahawa campur tangan dalam isu ini dan kita merasakan bahawa AG bertindak di luar kuasa yang ada sekali gus ini merupakan kegagalan daripada AG,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/masuk-campur-kes-adib-pembangkang-desak-ag-letak-jawatan-208873

Kesan Tidur Selepas Subuh Pada Waktu Puasa


oleh: Dr Zubaidi

Kebanyakan kita akan bangun awal pada setiap untuk bersahur. Malangnya ada di antara kita tidur semula selepas subuh selama sejam kerana mengikut nafsu untuk tidur dengan alasan untuk mendapat kesegaran di tempat kerja.

Pola kehidupan sedemikian akan mengganggu pusingan biologi di dalam badan dan ini akan menambahkan keletihan seseorang. Keadaan ini disebabkan gangguan ke atas pengeluaran hormon kortisol yang berfungsi sebagai hormon kecergasan bagi seseorang.

Apabila seseorang bangun daripada tidur setiap pagi pada pukul lima pagi untuk bersahur, rutin ini akan merangsang pengeluaran hormon kortisol pada pukul tiga atau empat pagi dan akan memuncak pada pukul 11 pagi.

Apabila rutin ini ditukarkan secara tiba-tiba, dengan tidur semula selepas subuh, pengeluaran hormon ini akan terganggu dan kita keletihan sepanjang hari berpuasa.

Jika mahu tidur sebentar, saya cadangkan masa yg sesuai antara tiga puluh minit sebelum zohor. Ambil masa 10-15 minit saja.
Selepas berwudhu dan solat zohor berjemaah, insha ALLAH kita akan berasa segar walaupun berpuasa..

#ramadhankaremdrzubaidi
#HealthDrZubaidi

Bonus Felda: Kenapa tiada rayuan bagi penoreh getah, petani, nelayan?


oleh: Timmy Say

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiada bonus buat warga peneroka Felda tahun ini.

Semua senyap. Sunyi sepi ini menandakan keputusan ini bukan keputusan peribadi Azmin dan ini kemungkinan satu keputusan yang dipersetujui jemaah menteri.

Berita ini semestinya mengejutkan warga Felda kerana tahun lepas kerajaan Barisan Nasional yang dituduh sebagai kerajaan kleptokrat mampu memberikan insentif Aidilfitri RM450 kepada 112,653 peneroka Felda, kenapa kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan tidak kleptokrat gagal melakukan perkara sama?

Datanglah rayuan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang sebelum ini sering memberikan harapan kepada para peneroka bahawa hidup mereka akan lebih baik selepas tumbangnya BN. Beliau selaku pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) merayu kepada kerajaan PH agar bonus diberikan kepada para peneroka.

Namun, tiada sesiapa yang endahkan. Dunia Felda tetap sunyi sepi. Tiada satu pun duit syiling yang jatuh daripada Kementerian Kewangan. Nasib Felda tidak senasib sekolah-sekolah jenis kebangsaan di sana sini yang diberikan derma khas.

Isu bonus Felda bergema semula apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad disoal mengenai isu itu. Mahathir mengejutkan orang ramai apabila beliau berkata dia tidak tahu tentang status bonus kepada peneroka Felda dan memohon para wartawan merujuk soalan itu kepada Azmin.

Menarik. Mahathir dilihat tidak mahu mencampuri urusan ini dan membiarkan Azmin menjawab isu ini sendiri kerana barangkali mahu mengelakkan konflik jawapan sesama ahli jemaah menteri.

Beliau tentu sedar isu bonus Felda ini satu isu yang panas yang boleh dipolitikkan oleh pembangkang. Ini jelas kelihatan kerana tiada satu pun ahli jemaah menteri yang mencampuri urusan Azmin dalam isu ini.

Di saat peluang keemasan untuk meletakkan Azmin dalam kedudukan politik yang tidak selesa, cuba teka siapa yang tiba-tiba bangkit merayu bagi pihak Felda?

Sudah tentulah, Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Politik kebetulan ini sudah pasti tiada pembaca terkejut.

Anwar secara terbuka merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian wang tunai kepada peneroka Felda walaupun sedikit.

Cuma hairan, kenapa Anwar tidak mengikut skrip Mahathir yang tidak mahu mencampuri urusan Azmin dalam mengendalikan isu Felda?

Bukankah Anwar baru sahaja selesai berjumpa dengan Mahathir sebelum membuat rayuan tersebut secara terbuka. Apakah Anwar ada merayu pada Mahathir untuk memberikan bonus kepada peneroka dalam perjumpaannya?

Jika tidak, kenapa Anwar tidak berbuat demikian bila ada peluang keemasan tersebut? Rayuan ini boleh dibuat secara tertutup. Azmin timbalan presiden partinya, dan Mahathir perdana menteri yang beliau baru berjumpa.

Sepatutnya dalam isu yang sebegitu panas ini, semua ahli PH bersama mempertahankan keputusan yang ada supaya tidak lagi berlaku pusingan U.

Oh ya, kenapa tiada yang membuat rayuan serupa untuk para nelayan, petani, dan penoreh getah yang turut terjejas dengan kos sara hidup yang semakin meningkat?

Kalau nak jadi hero, elok jadi hero kepada semua, jangan hero berpolitik sahaja.

Zahid bidas 'lakonan' agih zakat wakil rakyat DAP


Presiden Umno Zahid Hamidi membidas wakil rakyat DAP Chris Lee Chun Kit yang memuat naik gambarnya “mengagihkan zakat” di Pulau Tikus, Pulau Pinang, kelmarin.

Zahid menyifatkan perkara itu sebagai lakonan kerana zakat adalah urusan umat Islam dan tiada kena mengena dengan golongan bukan Islam.

“Ia merupakan ibadat khusus yang disyariatkan, diambil daripada org Islam dan diserah/diagih kepada orang Islam atau asnaf yang berhak.



“Bila orang bukan Islam yg mengurus atau yang mengagih? Lakonan apakah yang sedang dimainkan itu?" soal Zahid yang sedang bercuti sebagai peneraju parti itu.

Beliau memuat naik tangkap layar Chris di Facebook berkaitan pengagihan zakat Pulau Pinang, hamper dan kuih raya di sekitar Pulau Tikus.

Chris juga memuat naik beberapa keping gambarnya menyerahkan bantuan.

Peguam Muslim Malaysia: Kenyataan Akhbar Terhadap Penarikan Diri Peguam Didalam Proses Inkues Adib


KENYATAAN AKHBAR
PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA
BERTARIKH 28 MEI 2019


1. Negara semalam dikejutkan dengan penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Syazlin Mansor di dalam prosiding inkues Allahyarham Mohd Adib Kasim setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi.

2. Dilaporkan penarikan balik tersebut dibuat kerana pihak kerajaan telahpun diwakili oleh Jabatan Peguam Negara yang menjadikan Syazlin sebagai peguam swasta bersifat kelewahan (redundant). Terdapat juga pelbagai perkara lain yang ditularkan mengundang kegelisahan awam tetapi tidak dapat disahkan.

3. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) musykil sekiranya benar alasan yang dilaporkan kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berlangsung barulah tindakan ini diambil. Prosiding tersebut pula hanya berbaki dua hari sahaja lagi. Daripada catatan prosiding inkues ini adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan KPKT keterangannya sangat berbeza dari keterangan diberikan saksi dikemukakan Jabatan Peguam Negara. Timbul persoalan di sini adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta matan kepada prosiding tersebut tidak diberi pertimbangan coroner?

4. Malah ditularkan juga terdapat arahan pihak tertentu mendesak Syazlin menarik diri. Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini supaya kegusaran ramai tentang ketelusan prosiding ini dapat diredakan. Malah Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman masih berada di dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak.

5. PPMM memahami Syazlin terpaksa menarik diri atas arahan daripada anakguamnya dan tidak boleh mengabaikan arahan tersebut. PPMM mengucapkan terima kaseh atas perkhidmatan yang diberikan bagi membawa keadilan kepada Allahyarham Mohd Adib. Namun pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan yang tuntas berkaitan hal ini.

6. Pada 24 Disember 2018 Menteri KPKT Zuraida Kamarudin dilapor Bernama sebagai berkata selain memberi nasihat guaman Syazlin dilantik bagi turut membantu PDRM dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding tersebut. Malah Zuraida menegaskan sekiranya terdapat perkara dianggap terlepas pandang atau perlu diberi penelitian dan sebagainya Syazlin boleh memberi pandangan dan input untuk kebaikan semua.

7. Namun semalam pada 27 Mei 2019 Menteri yang sama dilaporkan berkata Syazlin tidak perlu lagi mewakili mereka kerana Jabatan Peguam Negara mewakili pihak Kerajaan walaupun dahulu beliau mahukan semua perkara diambilkira.

8. Melalui penelitian PPMM dalam prosiding tersebut, Syazlin telah bekerja keras membawa kes beliau dan membantu koroner dengan pelbagai input dan keterangan yang tidak disentuh oleh Jabatan Peguam Negara. Inilah peranan yang dimainkan Syazlin sebagaimana yang dikehendaki Menteri KPKT melalui siaran medianya pada 24 Disember 2018 walaupun beliau kemudiannya dilaporkan berubah pendirian.

9. Peguam Negara perlu menjelaskan hal ini dengan terperinci kenapa tindakan sebegini diambil dan telus di dalam menjalankan amanah beliau. Jika benar Syazlin adalah bersifat kelewahan kenapa dari awal prosiding Syazlin dibenarkan membantu koroner di dalam prosiding tersebut.

10. Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah segala keterangan yang diambil koroner sebelum ini dibuat secara bersumpah di dalam suatu prosiding yang sah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian keterangan-keterangan tersebut tidak boleh dibuang begitu sahaja semata-mata kerana peguam menarik diri. Koroner mesti mengambil kira segala keterangan yang diambil walaupun peguam telah menarik diri.

11. Persoalan kini adakah apabila pegawai Jabatan Peguam Negara mengambil alih tugas Syazlin pegawai tersebut boleh memohon kepada koroner untuk membuang apa-apa keterangan yang telah diterima masuk oleh koroner tersebut? Implikasinya pula ia akan mengakibatkan inferens bertentangan (adverse inference) berkenaan fakta pihak pendakwaan atau mana-mana pihak berkepentingan termasuk keterangan yang telah membangkitkan secara langsung dan tidak langsung berkaitan ketiadaan kerdibiliti fakta kes pendakwaan mahupun pihak berkepentingan selain daripada kepentingan Allahyarham Mohd Adib. Adakah terdapat motif tertentu apabila tiba-tiba sahaja penukaran peguam dibuat?

12. Malah kita juga masih ingat di mana Peguam Negara telah memfailkan suatu affidavit yang bersetuju dengan pandangan seorang saksi yang menyatakan Allahyarham Mohd Adib meninggal dunia akibat kemalangan bertentangan dengan pandangan saksi yang menyatakan sebaliknya walhal mahkamah koroner masih lagi bersidang dan belum membuat sebarang dapatan. Hal yang demikian menzahirkan pihak Peguam Negara telah mengambil alih peranan mahkamah koroner walaupun prosiding masih belum selesai.

13. Perlu difahami bahawa inkues bukanlah suatu prosiding dimana ada pihak yang bertentangan atau berlawan, ada yang menang atau kalah, tujuan inkues adalah untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi. Oleh itu jika semua fakta dan pandangan tidak dizahirkan sepenuhnya adakah matlamat inkues ini dapat dicapai?

14. PPMM kesal dengan tindakan tidak profesional seperti ini dan keadilan mestilah dilakukan kepada Mohd Adib Kassim. Peguam Negara perlu menjelaskan sepenuhnya apa yang berlaku tanpa berselindung disebalik kuasa yang ada pada beliau.


Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

UMMAH: Kenyataan Akhbar Terhadap Penarikan Diri Peguam Didalam Proses Inkues Adib

GERAKAN PEMBELA UMMAH (UMMAH)

KENYATAAN AKHBAR TERHAD PENARIKAN DIRI PEGUAM SYAZLIN MANSOR
DIDALAM PROSES INKUES ALLAHYARHAM MOHAMAD ADIB MOHD KASSIM

1. Sejak dari awal UMMAH mempersoalkan kewajaran untuk diadakan inkues terhadap kes kematian Allahyarham Mohd Adib memandangkan pihak polis sudah menyelesaikan siasatan dan mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pihak tertuduh (4 orang) telah dikenalpasti dan ditangkap namun kemudian dilepaskan dengan ikat jamin oleh pihak polis. Dimana keberadaan mereka ini tidak dapat dikenalpasti sehingga hari ini.

2. Kebimbangan UMMAH jelas terbukti apabila keputusan inkues seolah2 sudah disusun aturkan lebih awal supaya menampakkan bahawa kes ini bukan lagi kes bunuh tetapi kemalangan. Ini di sahkan apabila Pejabat Peguam Negara telah memfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Mohd Adib tidak dipukul, walaupun inkues masih berlangsung. UMMAH mensyakki seolah ada KONSPIRASI oleh pihak tertentu bagi menentukan keputusan inkues.

3. Semalam, 27 Mei 2019 kebimbangan UMMAH lebih terserlah apabila diberitakan peguam yang mewakili KPKT dan pihak bomba Syazlin Mansor menarik diri secara tiba-tiba walaupun inkues masih berjalan. Menurut sebahgian laporan media sosial penarikan diri ini adalah disebabkan oleh faktor “keselamatan”.

4. Penarikan diri peguam Syazlin Mansor ini menimbulkan banyak persoalan daripada jawaban yang perlu dijawab antaranya :-
a. Kenapa penarikan diri berlaku disaat-saat akhir inkues yang dikatakan akan berakhir tidak beberapa hari lagi?
b. Kenapa dikatakan alasan penarikan diri ini adalah disebabkan factor keselamatan? Adakah ada unsur-unsur ugutan yang diberikan kepada Syazlin Mansor? Kenapa pihak keselamatan tidak mengambil tindakan untuk melindungi beliau?
c. Dimaklumkan arahan menarik diri oleh peguam Syazlin Mansor adalah hasil dari sepucuk surat dari pihak “tertentu”, siapa yang menulis surat tersebut?
d. Peguam Syazlin Mansor juga menyatakan pengunduran diri setelah beliau bertemu dengan Menteri KPKT YB Zuraidah. Jadi rakyat nak tahu apakah arahan YB Zuraidah kepada peguam dan siapa pulak yang mengarahkan YB Zuraidah supaya meminta Syazlin Mansor menarik diri?
e. Adakah pihak Peguam Negara terlibat dalam penarikan diri Syazlin Mansor dan adakah disana berlaku salah guna kuasa oleh pihak Peguam Negara?
f. Kenapa Menteri KPKT membuat kenyataan secara tiba-tiba bahawa peranan peguam Syazlin Mansor adalah “redundant” dengan peranan pihak Peguam Negara walhal selama ini ia tidak dipersoalkan?
g. Adakah penarikan diri peguam Syazlin Mansor ini akan menyebabkan bukti dari saksi utama Allahyarham Mohd Adib; Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid tidak lagi boleh dijadikan bahan bukti? Jika benar maka ia jelas membuktikan memang keputusan inkues sudah dibuat awal walaupun bukti yang diberikan oleh Prof Dr Shahrom secara saintifik membuktikan Allahyarham tidak dilanggar tetapi sebaliknya dipukul.

5. UMMAH, bagi pihak rakyat keseluruhannya dengan ini menuntut supaya :-
a. Surat yang mengarahkan penarikan diri peguam Syazlin Mansor didedahkan supaya rakyat tahu siapa yang menulis dan atas sebab sebenar kenapa penarikan diri itu berlaku
b. Mendesak supaya peguam Syazlin Mansor, Menteri KPKT, YB Zuraida dan Peguam Negara dipanggil sebagai saksi-saksi dalam prosiding inkues tersebut, supaya Mahkamah dapat menyelidik jika terdapat sebarang bentuk tekanan dan arahan jahat dari pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat integriti proses inkues tersebut;
c. Menuntut saksi pakar patologi Prof Dr Shahrom dipanggil kembali untuk memberikan keterangan lanjut, seperti yang dijadualkan pada awalnya.
d. Peguam negara MESTI MELETAKKAN JAWATAN kerana tidak lagi bersifat “impartial” didalam tugasannya

6. UMMAH tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan selanjutnya demi memastikan keadilan diberikan kepada keluarga Allahyarham Mohd Adib. Ini termasuk, jika terdapat bukti yang kukuh terhadap salahguna kuasa, untuk melaporkan kepada pihak SPRM untuk diadakan siasatan terhadap pihak yang terlibat.

7. UMMAH juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan HIMPUNAN RAKYAT DEMI KEADILAN UNTUK ADIB secara besar-besaran jika tidak ada tindakan yang positif dari pihak yang bertanggungjawab.

Sekian

Aminuddin Yahaya
Pengerusi UMMAH
28 Mei 2019

Isu Berbuka Puasa di Kuil Gurdwara


oleh:Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1. Apabila timbul isu berbuka puasa di Kuil Gurdwara ini, teringat saya kisah Saidina Umar yang dipelawa untuk solat di dalam Gereja oleh Paderi di Jerusalem. Apabila ditanya oleh Paderi tersebut: Mengapa engkau tidak solat sahaja di dalam gereja ini? Jawab Saidina Umar:

Ł„Łˆ ŲµŁ„ŁŠŲŖُ ŲÆŲ§Ų®Ł„ Ų§Ł„ŁƒŁ†ŁŠŲ³Ų© Ų£Ų®Ų°Ł‡Ų§ Ų§Ł„Ł…Ų³Ł„Ł…ŁˆŁ† ŲØŲ¹ŲÆŁŠ ŁˆŁ‚Ų§Ł„ŁˆŲ§ Ł‡Ł†Ų§ ŲµŁ„َّŁ‰ Ų¹Ł…Ų±

“Kalau aku solat di dalam Gereja ini, kaum Muslimin selepas aku nanti akan berkata: Di sinilah Umar solat (iaitu di dalam Gereja).” (Tarikh Ibn Khaldun. Kisah ini terdapat pertikaian dari aspek pengriwayatannya).

Riwayat ini menggambarkan bagaimana Umar berasa bimbang akan perlakuan seorang pemimpin itu boleh memberikan kesan terhadap kefahaman masyarakat Muslim.

2. Benar, pada hakikatnya tidak salah untuk kita berbuat baik kepada non Muslim, namun perlakuan seorang Pemimpin dibimbangi akan menjadi ikutan buat umat selepas dari itu.

Atas dasar itu Saidina Umar dilihat bersikap tegas terhadap perkara yang mempunyai elemen kekufuran. Ibadah Islam tidak dilakukan di dalam rumah ibadah yang mempunyai unsur syirik dan kekufuran. Kata Umar:

Ų„ِŁ†َّŲ§ Ł„َŲ§ Ł†َŲÆْŲ®ُŁ„ُ ŁƒَŁ†َŲ§Ų¦ِŲ³َŁƒُŁ…ْ Ł…ِŁ†ْ Ų£َŲ¬ْŁ„ِ Ų§Ł„ŲŖَّŁ…َŲ§Ų«ِŁŠŁ„ِ Ų§Ł„َّŲŖِŁŠ ŁِŁŠŁ‡َŲ§ Ų§Ł„ŲµُّŁˆَŲ±ُ

“Kami tidak masuk ke gereja kamu disebabkan patung-patung serta gambar-gambar yang terkandung di dalamnya (iaitu yang mempunyai unsur syirik).

3. Malah berhubung mendirikan solat di dalam Gereja dan Biara, Mufti Wilayah di dalam artikelnya menegaskan bahawa:

“Kami berpendapat, makruh solat di gereja adalah lebih kuat berdasarkan kepada pendapat jumhur dan juga Mazhab Syafi’e. Dalam konteks di malaysia, kami berpendapat tidak sewajarnya seseorang itu solat di gereja tatkala negara kita yang agama Islam sebagai agama persekutuan mempunyai banyak masjid, surau dan kemudahan tempat solat yang telah dikhususkan untuk umat Islam. Oleh itu, mengelakkan diri daripada solat di gereja adalah perlu diambil kira.”

Lihat: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2519-irsyad-al-fatwa-siri-ke-238-hukum-solat-di-gereja-dan-biara



4. Pemimpin Muslim boleh, malah mesti melakukan dan membina hubungan baik dengan Muslim dan Non Muslim. Namun, apabila melibatkan sesuatu yang dinilai sensitif berhubung ibadah orang Islam, adalah amat wajar sekiranya para pemimpin itu meminta pandangan mereka yang berautoriti dalam perkara ini.

Semoga Allah membimbing kita semua.


© all rights reserved
made with by templateszoo