NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

YB harus kuasai Bahasa Kebangsaan

oleh: Johari Yap

WALAUPUN sudah lebih dari 60 tahun merdeka, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik sungguhpun lahir dan tinggal berpuluh-puluh tahun di Malaysia.

Ia mungkin boleh dimaafkan jika melibatkan mereka yang tidak mendapat pendidikan formal dan kurang bergaul dengan masyarakat luar.

Bagaimanapun, amat menyedihkan kerana ia turut membabitkan golongan profesional apatah lagi ahli politik, terutama yang ingin bertanding sebagai wakil rakyat, baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Saya berpendirian bahawa rakyat Malaysia yang ingin menjadi wakil rakyat dan bergelar Yang Berhormat (YB) perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana ia merupakan bahasa kebangsaan kita.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pada Ogos 2018 telah menasihatkan semua wakil rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa Melayu selain berbahas secara beradab, terutama mereka yang baru menjadi wakil rakyat.

Menurut Speaker Dewan Rakyat itu, unsur sastera dalam politik termasuk berbalas pantun di Parlimen dapat menenangkan keadaan dan adalah lebih baik berbanding berbaling kerusi.

Selain beliau, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, turut mengingatkan seluruh wakil rakyat untuk menguasai bahasa Melayu agar perbahasan berjalan lancar.

Gesaan ini turut dipersetujui oleh Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menegur beberapa menteri dan ahli Parlimen yang masih belum menguasai bahasa Melayu dan meminta mereka berusaha ke arah itu.

Ia disuarakan ketika menyampaikan syarahan bertajuk Malaysia Baharu: Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa sempena Syarahan Negarawan 2018 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka pada September 2018.

Wakil rakyat mempunyai peranan yang besar kerana mereka merupakan pemimpin yang mewakili sesuatu kawasan. Mereka haruslah mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu walau di mana berada, lebih-lebih lagi dalam persidangan DUN mahupun Parlimen.

Calon wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu seharusnya diketepikan. Jika bahasa kebangsaan negara pun tidak dapat mereka kuasai, mana mungkin mereka diangkat sebagai wakil rakyat untuk segala urusan dengan kerajaan.

Kita perlu mendahulukan mereka yang menguasai bahasa Melayu dengan baik jika mahu bahasa Melayu terus berkembang dan perkasa.

Bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dianaktirikan walaupun bahasa lain juga penting, terutama bahasa Inggeris yang merupakan bahasa utama dunia. Mungkin sudah tiba masanya untuk diadakan ujian penguasaan bahasa Melayu bagi mereka yang mahu atau bakal menjadi calon wakil rakyat.

Bagi mereka yang sudah bergelar wakil rakyat tetapi tahap bahasa Melayu masih di peringkat sekolah rendah, haruslah diwajibkan mereka mengikuti kursus bahasa Melayu secara intensif.

Bahasa Melayu bukanlah susah untuk dikuasai. Jika orang luar atau asing, terutama yang masuk ke Malaysia sebagai pekerja kolar biru, mampu bercakap bahasa Melayu walaupun baru beberapa bulan tiba di Malaysia, adalah memalukan bagi rakyat Malaysia sendiri yang kononnya berpendidikan tinggi jika penguasaan bahasa Melayu mereka lebih teruk daripada pekerja stesen minyak atau buruh kasar.

Saya pernah mendengar ucapan Ahli Parlimen Segambut, yang juga Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, YB Hannah Yeoh, ketika beliau merasmikan Karnival YOKUK 2018 di pejabat YOKUK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Saya kagum dengan penguasaan bahasa Melayu Hannah yang amat baik. Selain beliau, bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, turut fasih berbahasa Melayu. Kita juga tidak kurang tokoh Cina yang bukan sahaja fasih, malah turut memperjuangkan bahasa Melayu seperti Dr Lim Swee Tin dan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong. Adalah janggal dan sangat ironi jika seseorang itu bertaraf warganegara Malaysia tetapi tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berharap setiap bakal wakil rakyat dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik demi menjaga kualiti perdebatan di Parlimen dan DUN, mahupun ketika menyampaikan ucapan, sidang akhbar dan berkomunikasi dengan rakyat.

Setiap wakil rakyat perlu menggalas tanggungjawab memperkasakan Bahasa Kebangsaan selain membantu menyampaikan permintaan dan memenuhi keperluan rakyat.

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo