NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Yang Di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja Melayu Payung Rakyat Dalam Isu Statut Rom

oleh: Dr Kamarul

Bila kerajaan memutuskan untuk menarik diri dari Statut Rom, terdapat beberapa komentar yang cuba menggambarkan seolah-olah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah mendapat nasihat yang salah mengenainya sehingga tidak memberi perkenan kepadanya.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah berlaku adil dan bertindak bijaksana dengan mempertimbangkan nasihat dari pelbagai pihak, khususnya ahli-ahli akademik, termasuk yang bersetuju dan yang tidak bersetuju ke atasnya.

Selain mendapatkan keterangan ahli-ahli akademik tidak berkepentingan, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah mendapatkan keterangan ahli akademik yang bersetuju ke atasnya, termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Shad Faruqi Saleem yang diketahui amat menyokongnya.

Begitupun, ternyata Yang di-Pertuan Agong, dan kemudiannya Raja-Raja Melayu, lebih menerima keterangan ahli-ahli akademik tidak berkepentingan, lebih-lebih lagi bila salah seorang daripada mereka baru sahaja lulus ijazah PhD dalam isu Statut Rom awal tahun lalu.

Saya sendiri telah berpeluang membaca tesis PhD bertajuk “National prosecution against heads of state of non-state parties to the Rome Statute in Southeast Asia: Challenges and prospects under the complementarity principle” yang dibuat di University of Aberdeen ini.

Tanpa ragu-ragu lagi, penulis tesis PhD ini adalah insan yang paling pakar dan paling layak bercakap mengenai isu Statut Rom di Malaysia, dan kita beruntung kerana beliau turut dititah membuat pembentangan mengenainya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Tesis PhD ini merumuskan belum masanya (not timely) dan tidak berkaitan (not pertinent) untuk negara-negara di Asia Tenggara meratifikasi Statut Rom kerana bidang kuasa ICC ke atas jenayah antarabangsa membabitkan mereka masih boleh dipakai dalam keadaan tertentu.

Tesis PhD ini juga merumuskan ratifikasi akan menyebabkan semua artikel Statut Rom terpakai tanpa pengecualian ke atas mereka dan ratifikasi ini mesti mendapat kelulusan Kabinet, Parlimen dan khasnya Raja-Raja Melayu kerana ia melibatkan imuniti mereka.

Turut dibincangkan dalam tesis PhD ini adalah kaedah-kaedah alternatif yang boleh digunakan untuk pendakwaan jenayah antarabangsa jika ia dilakukan dalam wilayah atau terhadap rakyat negara-negara di Asia Tenggara yang belum meratifikasi Statut Rom.

Tidak syak lagi, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah memainkan peranan selaku payung rakyat dengan cukup berkesan dalam isu Statut Rom, begitu juga dengan Perdana Menteri dan Kabinet yang bertindak bijaksana untuk akur dengan mereka.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo