NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wujud Konspirasi Ubah Naratif Kematian Adib?


KUALA LUMPUR – Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang menerusi afidavit mengatakan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bukan disebabkan oleh perusuh memukulnya menimbulkan tanda-tanya dan mengesahkan wujudnya konspirasi.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berkata, ia jelas bercanggah dengan undang-undang apabila keputusan seolah-olah diperolehi lebih awal meskipun prosiding inkues belum selesai dan difahamkan berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Melalui perkembangan semasa ini, beliau merumuskan wujud gerakan untuk mengubah naratif kematian Adib.

“Kami merasa begitu (wujud cubaan ubah). Seolah-olah ada satu konspirasi yang dibuat oleh pihak tertentu, pihak atasan, untuk mengatakan bahawa arwah Adib ini bukan mati disebabkan dipukul tetapi disebabkan dilanggar kenderaan yang berada di lokasi berkenaan.

“Ini berdasarkan kalau betul jujur seharusnya inkues ini prosesnya dibiarkan habis dahulu baru dikemukakan afidavit.

“Tapi sekarang inkues masih berjalan kenapa dikeluarkan keputusan bahawa Adib tidak dipukul ini bagi itu memberi tanda tanya yang besar apa sebenarnya di belakang ini kenapa keputusan dibuat sedemikian rupa?” katanya pada sidang media hari ini di pejabat NGO itu.

“Kita ada bukti-bukti dikeluarkan media, pihak polis pun katakan, klasifikasikan ini kes bunuh, daripada bomba sendiri,” tambah Timbalannya kamaruzaman Mohamad pula.

Afidavit daripada Pejabat Peguam Negara ini tambah beliau, pada akhirnya mengelirukan rakyat yang mengikuti perkembangan prosiding inkues.

Kerajaan pada 27 Disember menubuhkan inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian anggota bomba itu.

“Kenapa perlu adakan inkues kalau keputusan sudah ada, ini bermakna inkues ini hanya menjadi satu alat untuk mengaburi tindakan Peguam Negara yang sudah membuat keputusan awal, mendahului proses keadilan yang sepatutnya melalui proses mahkamah.

“Ini memperlihatkan seolah-olah bahawa Peguam Negara sudah ada ‘agenda setting’ sendiri untuk kes Adib dan keputusan dibuat tanpa menggunakan proses perundangan, kehakiman yang sepatutnya dibuat,” tambah Aminuddin.

Justeru Ummah menggesa agar Tommy yang bertanggungjawab memfailkan afidavit menariknya semula dan meletakkan jawatan kerana intergriti beliau kini menimbulkan kecurigaan.

“Ummah menuntut AG menarik balik afidavit dan lebih serius lagi oleh kerana kesilapan ini dibuat pejabat beliau, beliau harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara, itu tuntutan kita pada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan NGO tersebut menerusi peguam belanya memohon untuk afidavit didedahkan kepada umum agar dapat memberi penjelasan dan membuktikan ketelusan.

“Walaupun kita tidak dapat melihat afidavit itu kita cuba mohon untuk dapatkan juga tapi laporan ini mengatakan Adib bukan mati disebabkan dipukul oleh orang yang berada di situ,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, afidavit yang disahkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Hamdan Hamzah, menyatakan kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo