NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usah ulang kesilapan rakan parti



BANGI, 9 Syaaban 1440H, Isnin – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin Jamal atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor ke-17.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, Naib Presiden UMNO itu berharap agar Dr Sahruddin dapat menggalas amanah itu dengan baik dan penuh bertanggungjawab.

"Sebagai rakyat Johor, sudah tentulah secara peribadi, saya juga mahukan yang terbaik untuk negeri ini. Semoga kepimpinan beliau akan meletakkan kepentingan rakyat dan keperluan Johor sebagai keutamaan tertinggi," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan supaya Dr Sahruddin tidak mengambil pendekatan dan mengulangi kesilapan rakan daripada partinya sebelum ini yang telah menimbulkan banyak kontroversi sehingga membawa kepada peletakan jawatannya.

"Akhir sekali, saya mendoakan agar segalanya dipermudah dan diberkati oleh Allah swt. Tahniah dan selamat menjalankan tugas," katanya.

Dr Sahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 9.30 pagi, semalam.

Beliau dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/15/usah-ulang-kesilapan-rakan-parti/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo