NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Tommy Thomas cabar kedaulatan Perlembagaan

BANGI, 27 Rejab 1440H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyifatkan tindakan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pengiktirafan oleh Tommy Thomas yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LKPUM), sepatutnya perlu melalui mesyuarat Kabinet, bukan dilakukan terburu-buru tanpa pengetahuan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, tindakan ini hanya akan mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan negara serta melemahkan usaha memperkasa sekolah kebangsaan.

"iGuru melihat pengiktirafan ini membawa kepada pelebaran jurang perpaduan antara semua kaum manakala usaha memupuk perpaduan melalui wadah pendidikan sukar direalisasikan.

"Bahkan ia menganaktirikan anak-anak murid yang telah melalui sistem pendidikan arus perdana terutama di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKCT)," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Mohd Azizee berkata, sekolah kebangsaan perlu diperkasa sebagai sekolah pilihan semua kaum.

"iGuru berharap kebenaran lepasan UEC menduduki PSAG ini perlu mengambil kira pandangan semua pihak dan tidak menyentuh sensitiviti kaum yang boleh gugat keharmonian negara.

"Pada masa sama, iGuru juga mendesak supaya pihak yang berkaitan menangani segera isu graduan undang-undang USIM yang masih belum diiktiraf dan mendapat kelulusan penuh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang untuk bekerja di Mahkamah Sivil," katanya.

Terdahulu, Tommy berkata, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap 'Senior Middle 3' untuk tujuan itu mulai 1 Januari 2021.

Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang, dan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK) mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

UEC adalah sijil Sekolah Swasta (SMPC) yang dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong. Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/03/uec-tommy-thomas-cabar-kedaulatan-perlembagaan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo