NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Maszlee gesa Tommy lulus permohonan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM




Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Rejab 1440H, Rabu – Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) digesa meluluskan permohonan pengecualian menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, beliau dimaklumkan bahawa Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan oleh pihak LKPUM.

Namun, katanya, LKPUM yang bersidang pada awal bulan lalu, tidak membincangkan permohonan USIM itu.

"Lawatan pihak LPQB pada tahun 2017 telah meminta pihak FSU, USIM untuk mengadakan kursus tambahan selama enam (6) bulan bagi empat (4) kursus kepada pelajar-pelajar yang bergraduasi pada tahun 2017.

"Masalah timbul, kerana sehingga kini pihak LPQB masih belum memutuskan tarikh kursus tambahan berkenaan perlu bermula," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas bertindak adil dan saksama memberi pengiktirafan penuh LKPUM kepada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari USIM.

Exco Biro Akademik dan Mahasiswa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, gesaan memberi pengiktirafan itu wajar supaya graduan program daripada USIM tidak perlu lagi menduduki peperiksaan PSAG untuk mengamalkan undang-undang di negara ini.

Permintaan itu dibuat susulan tindakan LKPUM mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina untuk digunakan dalam kelayakan PSAG.

Tommy yang juga Pengerusi LKPUM sebelum ini berkata, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap 'Senior Middle 3' untuk tujuan itu mulai 1 Januari 2021.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, LKPUM perlu memberi keutamaan dalam perkara itu kerana USIM sudah menunggu lama dan telah menyediakan dokumen lengkap bersama-sama modul cadangan untuk mempercepat proses berkaitan.

"Sehubungan itu, saya memohon untuk pihak LKPUM segera melihat isu membabitkan USIM ini dan memberikan kelulusan sewajarnya bagi membolehkan pelajar-pelajar berkenaan dapat mengikuti pengajian dengan teratur," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/03/uec-maszlee-gesa-tommy-lulus-permohonan-fakulti-syariah-dan-undang-undang-usim/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo