NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Langkah LPQB tidak selari dasar kerajaan – Zainul Rijal


KUALA LUMPUR 4 April – Langkah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) mengiktiraf Sijil Pe­periksaan Bersepadu (UEC) bagi menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP) dianggap tidak selari dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, badan profesional itu sebaliknya harus melaksanakan dasar yang diperuntukkan kerajaan.

Beliau malah memberitahu, keputusan LPQB tidak boleh bercanggah dengan keputusan kerajaan termasuk yang sudah termaktub dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Keputusan LPQB tidak boleh bercanggah dengan keputusan kerajaan apatah lagi peruntukan undang-undang, walaupun kuasa menentukan siapa orang berkelayakan di dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 itu diberikan kepada LPQB. LPQB harus melaksanakan dasar kerajaan.

"Pihak kerajaan adalah badan yang bertanggungjawab mengiktiraf sesuatu kelulusan itu se­perti JPA. Namun, badan-badan lain perlu menggunakan pengiktirafan JPA tersebut dalam membuat sesuatu keputusan termasuklah LPQB," katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pada 30 Mac lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas mengumumkan UEC sudah boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan tujuan menduduki peperiksaan CLP.

Tommy yang juga Pengerusi LPQB berkata, CLP akan mene­rima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 bagi tujuan tersebut mulai 1 Januari 2021.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Ma­laysia, Prof. Dr. Ah­mad Marthada Mohamed berkata, LPQB seharusnya mengambil kira pandangan kerajaan terlebih dahulu sebelum mengiktiraf UEC dalam CLP.

Katanya, hal ini bercanggah di peringkat Kementerian Pendidikan yang masih belum mengiktiraf UEC yang bukannya berada dalam sistem pendidikan nasional.

"LPQB merupakan badan profesional swasta yang perlu akur kepada dasar-dasar kerajaan ke­rana ia boleh memberi implikasi besar terhadap kerajaan.

"Bagi saya, ia tidak sepatutnya berlaku (mengiktiraf UEC). Mereka perlu mengambil kira pandangan kerajaan terlebih dahulu," ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uec-langkah-lpqb-tidak-selari-dasar-kerajaan-8211-zainul-rijal-1.876721#ixzz5kC3lSbo2

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo