NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC Dan Lulusan Undang-Undang Usim: Nasib Yang Tak Sama Di Bawah Langit Malaysia Merdeka.



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Bala dan gerah datang bertindan tindah semenjak pasca 9 Mei 2018, angin perubahan yang kelihatan meremehkan Islam dan juga kaum Bumiputera. Terkini dengan isu sijil UEC untuk CLP, di mana Peguam Negara membuka ruang untuk pemegang sijil ini menaiki mobiliti sosial manakala keputusan Peguam Negara disambut dengan penuh kecerian oleh Timbalan Menteri Pendidikan. Kecacamerbaan Kementerian Pendidikan dapat dihidu semenjak awal Kabinet dibentuk dengan sikap Timbalan Menteri yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib satu kaum dan menjadi wira bagi kaum tertentu.

Nasib pelajar-pelajar Fakulti Undang- Undang dan Syariah USIM pula sangat malang sekali. Ambilan pertama sejak Jun 2005 / 2006 dan pada 22 Disember 2009 mendapat pengiktirafan daripada JPA. Pada 16 Mac 2010, pihak USIM telah memohon pengiktirafan pengecualian menduduki CLP (Certificate in Legal Practice daripada LPQB (Legal Profession Qualifying Board). Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak USIM untuk merayu dan membolehkan graduan fakulti undang-undang melepasi CLP, termasuk pada 15 Januari 2019, menghantar cadangan melalui modul khas latihan dan kemahiran praktikal profesion Undang-Undang bagi pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan profesion kepada Sarjana Muda Undang-Undang Dan Syariah dengan kepujian.

Sehingga kini, USIM masih belum menerima apa-apa respon daripada IPQB berkaitan modul yang mereka telah syaratkan sebelum pengiktirafan. Setakat ini program Undang-Undang dan Syariah USIM telah mencapai KOHOT yang ke 13, namun malangnya mereka masih belum mendapat pengiktirafan penuh. Sehingga kini seramai 399 orang pelajar telah bergraduat dalam bidang Undang-Undang dan Syariah daripada USIM. Bayangkan, semenjak 2010 memohon,bahkan dengan pelbagai karenah birokrasi dan red tape, namun akhirkan agenda pihak berkepentingan, UEC pula didahulukan dan dibelai manja!.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah Cina swasta, sekolah yang mekar di zaman penjajahan British untuk mengekalkan jati diri Etnik Cina walaupun jauh terpisah daripada Tanah Besar China. Masyarakat pelombong Cina pada abad ke-19 bagi melindungi identiti bangsa telah berusaha membangunkan Pendidikan Cina. Bagi memastikan berlakunya mobiliti sosial berlaku sijil persekolahan disediakan bahkan lepasan sekolah-sekolah Cina dapat melanjutkan pendidikan tinggi ke Taiwan dan China.

Mengapa kita tidak boleh mengiktiraf sijil ini di negara kita dan apakah kerugian mengiktiraf UEC terhadap sistem pendidikan negara ini? Walaupun taraf UEC lebih tinggi penarafannya berbanding STPM, tetapi kita akan hilang identiti sebuah negara bangsa bahkan meremahkan sistem penarafan pendidikan yang sedia ada.

Sekolah Swasta Cina menggunakan silibus dari China, menggunakan sejarah Negara China, menggunakan Mandarin sebagai bahasa rasmi mereka dengan matlamat pengukuhan jati diri bangsa malah melahirkan sikap etnosentrism.

Dengan latar belakang ini, adakah mereka ini akan mempunyai rasa kasih dan sayang yang sejati kepada Malaysia, bahkan mampu merapat jurang intergrasi antara kaum? Mengapa perlu mengiktiraf persijilan mereka sekiranya ia merupakan pilihan mereka untuk bersekolah Swasta Cina seterusnya membina tembok kaca antara kaum. Kita telah merdeka lebih 60 tahun, namun hubungan antara kaum tetap suram dan hambar.

Mengiktiraf UEC bermakna, kita telah melakukan dua kesilapan besar iaitu pertamanya, memandang rendah pada sistem sedia ada dan penarafan persijilan serta melonggarkan ikatan negara bangsa yang telah dibina sejak lama dan akan membawa kepada ketiadaan jati diri serta mendobrak kesetiaan kepada negara.

Pengiktirafan UEC ini, bermakna satu lagi benteng negara dan kontrak sosial akan dirombak sedikit demi Kerajaan PH mengheret kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama, mereka memicu kepada kebencian antara kaum.

Apa yang berlaku,dengan campur tangan Peguam Negara serta kelemahan Kementerian Pendidikan dalam isu UEC ini menunjukkan kelemahan kerajaan PH serta dominasi DAP dalam pentadbiran negara. Kelompok etnosentrism ini memanfaatkan seluruh ruang yang ada untuk mereka menjayakan agenda sempit politik mereka. Dalam tempoh kurang setahun ini pelbagai kerosakan, pelanggaran kepada kontrak sosial, memicu api kebencian antara kaum serta watak pemimpin yang berjiwa kerdil yang tak mewakili semua bangsa. Saya terbayangkan wajah adik-adik pelajar Undang-Undang dan Syariah USIM yang menghabiskan masa enam tahun mereka berteleku memerah keringat untuk sekeping kertas maruah harga diri namun dengan penghujung yang sebegini. Mohon Menteri Pendidikan kerajaan PH, jangan terlalu selesa dibilik berhawa dingin, potfolio anda antara yang paling caca merba pasca 9 Mei 2018!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo