NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ubah jajaran ECRL ke Negeri Sembilan tidak masuk akal, kata pakar



PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan menolak cadangan untuk mengubah jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Negeri Sembilan dengan berkata, ia tidak masuk akal kerana projek itu bertujuan berperanan sebagai jambatan darat bagi pengangkutan kargo antara Pelabuhan Kuantan di Pahang dan Pelabuhan Klang di Selangor.

Perunding kanan Goh Bok Yen berkata, jajaran sedia ada adalah pilihan terbaik sekiranya Putrajaya mahu mempertahankan objektif tersebut.

"Jika kita mahu menimbangkan landasan kargo untuk industri yang terdapat di Negeri Sembilan, kita tidak harus berfikir untuk mengubah jajaran ECRL," katanya kepada FMT.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu meneruskan rancangan sedia ada untuk membangunkan laluan rel berkembar pesisir yang menghubungkan terminal kargo di Serendah ke Pelabuhan Klang, Senawang dan Port Dickson.

"Adalah lebih munasabah sekiranya dibina satu laluan rel tambahan dari Gombak ke Serendah daripada mengubah jajaran ECRL untuk melalui Negeri Sembilan."

Beliau berkata, cadangan laluan rel pesisir boleh menjadi pemangkin bagi pembangunan berasaskan keretapi dan pelabuhan di kawasan terbabit.

Bagi penumpang, kata Goh, mereka boleh mengakses pusat bandar raya dengan menggunakan perkhidmatan LRT di Gombak, dan dari pusat bandar pergi ke Negeri Sembilan melalui KTM.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook baru-baru ini yang menyebut bahawa jajaran ERCL akan diubah untuk turut meliputi Negeri Sembilan, sekiranya projek berkenaan disambung semula.

Bercakap dalam satu ceramah dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Loke berkata, Putrajaya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan Negeri Sembilan.

Goh, yang berpengalaman 30 tahun sebagai perunding pengangkutan bandar-luar bandar, bagaimanapun berkata, jika kerajaan benar-benar mahu mengubah jajaran ECRL sedia ada, maka ia "mungkin mempunyai sebab munasabah untuk berbuat demikian".

"Setakat ini, kita tidak tahu sebab itu," katanya.

"Jika anda merancang sebuah projek besar pada skala ini, rancangan jajarannya perlu menyokong rancangan jangka panjang berkaitan penggunaan tanah dan pembangunan ekonomi di sepanjang laluan itu."

Beliau berkata, perkhidmatan keretapi laju adalah lebih sesuai bagi kawasan di selatan Semenanjung, terutama Negeri Sembilan berbanding rel kargo kerana terdapatnya rancangan jangka panjang untuk pembangunan kawasan kediaman dan projek berasaskan pendidikan di situ.

Seorang lagi pakar, Rosli Azad Khan, menyifatkan kenyataan Loke sebagai "cakap politik" untuk tujuan berkempen di Rantau, yang merupakan PRK ke-7 selepas pilihan raya umum ke-17 Mei tahun lalu, dan akan berlangsung Sabtu ini.

"Tidak ada nilai benar untuk menghidupkan semula ECRL kerana ia dilihat sebagai projek tidak mapan sejak awal lagi," katanya.

Rosli yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang juruperunding berkata, Putrajaya perlu telus mengenai motif sebenar dalam meneruskan projek ECRL dan terma perjanjiannya.

"Infrastruktur ini tidak diperlukan berdasarkan jumlah wang yang terlibat.

"Sama ada Negeri Sembilan akan mendapat manfaat atau sebaliknya tidak penting, terutama sekali pengundi di Rantau."

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/12/ubah-jajaran-ecrl-ke-negeri-sembilan-tidak-masuk-akal-kata-pakar/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo