Terengganu Tolak Pembelian Bas Amfibia


KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan Terengganu mempertimbang untuk menolak kontrak projek bas Amfibia (Amphicoach) kerana kelewatan projek berkenaan serta keadaan bas tersebut yang tidak menepati spesifikasi dan skop kontrak yang telah ditentukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, tempoh kontrak yang diberikan kepada kontraktor, Alam Perkasa Technology Sdn. Bhd. iaitu daripada 1 Januari 2015 sehingga 30 Ogos 2015 sudah lama berakhir.

"Sehingga kini, kita telah mengeluarkan  Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) yang keenam pada 5 Oktober 2017 kepada kontraktor dan kita tidak akan mengeluarkan EOT baharu.

"Pegawai penguasa yang menilai Amphicoach tersebut tahun lalu iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesyorkan kerajaan menolak kontrak ini dengan mengambil kira saranan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia selepas mendapati bas ini tidak boleh digunakan atas faktor keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Meyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ariffin turut memaklumkan, baki kontrak bernilai RM336,350 yang tinggal tidak perlu dibayar kepada kontraktor.

"Walaupun bayaran masih berbaki, tetapi mengikut klausa Gantirugi Tetap (LAD) kepada pihak kontraktor bernilai RM1,100 sehari, pihak kontraktor perlu membayar kerajaan negeri sebanyak RM596,563 kerana kelewatan selama 542 hari.

"Kos keseluruhan kontrak bernilai RM3.08 juta dan kita telah membayar sebanyak RM 2.7 juta. Mengikut kaedahnya, jika kita menolak pembelian ini, bayaran tersebut perlu dipulangkan semula," katanya.

Bagaimanapun katanya, urusan itu akan diserahkan kepada Pegawai Undang-Undang negeri, Dato' Azhar Abdul Hamid.

Ariffin juga berjanji akan membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diselesaikan secepat mungkin.

Amphicoach merupakan bas 'dua alam' yang ditempah oleh kerajaan negeri pada tahun 2014 dan bertujuan merancakkan industri pelancongan selain bagi kegunaan ketika musim banjir.

Bas berkenaan bagaimanapun hanya tiba pada Januari tahun lalu, lewat tiga tahun dari tarikh asal dan rosak ketika ujian percubaan kali kedua pada Mac 2018 di Sungai Terengganu dan kini ditempatkan di pejabat JKR Terengganu.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget