NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahukah anda? Loji Rawatan Air Sungai Ganda diarah tutup kerana Pencemaran arsenik



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kesal dengan tindakan operator Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik, Perak terus beroperasi walaupun ia terjejas dengan pencemaran arsenik.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada Lembaga Air Perak (LAP) pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Bagaimanapun, katanya, laporan susulan KKM pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat, dan LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda itu.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Klang, berkata, SPAN terpaksa mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ganda ditutup serta-merta pada Selasa lalu.

“Keracunan arsenik ini sangat serius kerana kesannya tak diketahui sekarang, tetapi mungkin dua, tiga atau lima tahun lagi. Ia boleh menyebabkan kanser.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab oleh mana-mana operator air untuk meneruskan operasi LRA walaupun tahu ada pendedahan bahan karsinogenik (kepada pengguna). Ini sangat tidak boleh diterima.

“Pasukan penyiasat SPAN sudah berada di sana dan kita akan membuat laporan terhadap LAP jika mereka didapati melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Charles berkata demikian, mengulas isu pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, Perak yang mula dilaporkan media sejak beberapa hari lalu.


Pada April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di sungai berkenaan. Namun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam, menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah daripada piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekali gus air terawat daripada LRA Sungai Ganda adalah selamat.

Mengulas kenyataan Ahmad Faizal, Charles berkata, SPAN tetap memandang serius isu pencemaran berkenaan kerana lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda ausah terdedah dengan keracunan arsenik sejak Januari lalu.

“Mereka memang sudah terdedah (dengan keracunan arsenik) kerana minum daripada air paip sama ada secara langsung atau tidak.

“Pencemaran ini juga memberi kesan pada ikan dan hidupan lain dalam Sungai Rui dan jika penduduk makan daripada sumber sungai itu, mereka terdedah kepada keracunan arsenik secara berganda,” katanya.

Mengakui pencemaran ini akan memberi kesan lebih buruk pada wanita hamil, Charles berkata, kewujudan arsenik itu berpunca daripada lombong lama yang mengeluarkan bahan beracun itu, sama ada kerana tidak diselenggara dengan baik atau kejadian semula jadi.

“Bagi SPAN, semula jadi atau tidak bukan isu, kerana keutamaan kami ada memastikan rakyat mendapat air bersih dan selamat untuk diminum,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo