NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Statut Rom: Kerajaan Usah Cetus Polimik

1. Saya meneliti perkembangan pasca penarikan diri Kerajaan Malaysia daripada Statut Rom yang berlaku pada 5 April 2019. Apa yang dikesalkan adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh kebanyakan ahli kabinet dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah sedang menyalahkan pihak lain dengan tindakan tersebut. 

2. Sedangkan secara asasnya, apa jua keputusan yang dicapai oleh kabinet adalah disifatkan sebagai "collective responsibility". Malangnya itu tidak tercermin dengan kenyataan oleh sebahagian pimpinan PH sendiri.

3. Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu ini telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan wujudnya risiko rampasan kuasa, aparatus yang feudal dan autokratik dalam suatu ciapan beliau pada 7 April 2019. Ini disusuli dengan beberapa kenyataan lain yang boleh mendorong kepada ketidaktenteraman di kalangan rakyat seperti, istilah “bodoh", "bangang" dan sebagainya yang digunakan oleh seorang ahli parlimen DAP. 

4. Lebih mendukacitakan adalah kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan semalam yang menggambarkan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap 4 ahli akademik yang menyampaikan pandangan terhadap Statut Rom. Mereka yang dimaksudkan adalah Prof Dato Dr Rahmat bin Mohamad, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz, Dr. Fareed bin Mohd Hassan serta Saudara Hisham Bin Hanapi.

5. Pertama, apakah kecaman yang bertali arus tersebut ditujukan kepada kalangan kerabat diraja seperti yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim?

6. Di sini jelaslah bahawa sebahagian daripada pimpinan PH itu sendiri menganggap raja-raja sebagai tidak lebih hanya bersifat simbolik di negara ini sehingga teguran Tuanku turut dijadikan bahan kecaman.

7. Kedua, lebih malang adalah Kerajaan sendiri tidak mengambil sikap tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang dicapai, bahkan sebaliknya mengambil langkah menyalahkan pihak lain dengan keputusan penarikan diri daripada keahlian Statut Rom.

8. Ketiga, begitu juga kecaman yang turut dihalakan kepada tokoh akademik dan penyelidik yang mengeluarkan pandangan terhadap Statut Rom. Apakah para pakar akademik tidak dibenarkan bersuara atas nama akademik, sedangkan apa yang mereka bangkitkan adalah dalam bidang kepakaran masing-masing dan sebarang perbezaan pendapat yang dinyatakan adalah masih dibawah perbincangan akademik?

9. Perkara ini menggambarkan bahawa kebebasan akademik yang pernah diperjuangkan oleh sebahagian pimpinan PH sebelum ini hanyalah sampah politik semata-mata.

10. Justeru, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak seharusnya mencetuskan polemik yang berlebihan terhadap penarikan diri daripada Statut Rom ini. Malah, sewajarnya tindakan tersebut diambil dengan penuh rasa tanggungjawab atas mandat yang diberikan oleh rakyat.

Sekian.

Haji Ahmad Amzad Hashima ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu (P036)
9 April 2019/ 4 Syaaban 1441H

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo