Sematkan Niat yang Benar - Ustazah Wan Hasrina



Penulis : Iffahtun

Kesedaran politik di kalangan wanita masa kini semakin meningkat dan meluas kesan dari teknologi dan capaian informasi yang mudah tanpa batasan. Namun begitu, persiapan diri dalam menangani isu - isu semasa dalam dan luar negara masih diperlukan bagi mereka yang menceburkan diri dalam kerjaya politik penuh cabaran ini.

Antara persiapan diri yang diperlukan bagi penggerak Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai kecukupan informasi mengenai isu - isu semasa agar setiap satu mampu dikupas dengan hujah dan fakta yang kukuh. Bagi mendokong aspirasi ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah menganjurkan beberapa siri program Jelajah Saidatina Khadijah (JELAS) bagi memberi penerangan dan maklumat - maklumat mengenai isu - isu semasa kepada para muslimat PAS.

Suri Hati Pilihan DMPM kali ini menampilkan seorang figura penting yang merintis program JELAS iaitu Ustazah Wan Hasrina binti Wan Hassan. Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan DMPM bagi sesi 2017 - 2019 turut memegang amanah sebagai Ketua Muslimat Negeri Selangor selama 10 tahun berturut - turut sejak 1999.

Berbekalkan semangat yang berkobar - kobar dan jiwa yang kental, Ustazah Wan Hasrina sentiasa memastikan segala amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah dan Komunikasi, figura politik ini juga antara penggerak DMPM yang mengasaskan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) pada tahun 2008.

Selain bergerak aktif di arena politik, beliau yang juga dikenali sebagai Kak Wan sering menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dalam program - program kebajikan sejak dari usia muda lagi iaitu semasa meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar tahun 1970an sehingga kini.

Selain dari itu, Kak Wan juga telah lama mengusahakan sebuah penginapan desa yang diberi nama D’ Puncak Lui Resort di Hulu Langat. Pelbagai program riadah yang telah dianjurkan di penginapan tersebut dan telah mendapat maklum balas yang sangat baik daripada para pengunjung. Begitulah impian dan cita - cita beliau iaitu ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya seperti Saidatina Khadijah r.a.

Meskipun mempunyai jadual harian yang sibuk, ibu kepada 6 orang anak ini tidak pernah mengabaikan tangunggjawabnya terhadap keluarga. Apabila hadir masa lapang, beliau lebih gemar melancong melihat alam semulajadi yang indah dan mengeratkan hubungan kasih sayang sesama ahli keluarganya. Beliau juga mempunyai bakat dan minat yang terpendam dalam seni jahitan pakaian. Bakatnya itu turut diajarkan kepada anak - anak perempuannya yang kini telah pandai menjahit pakaian adik - beradik mereka yang lain.

Mengharungi rencah politik seawal zaman pengajian sehinggalah mutakhir ini, Ustazah Wan Hasrina tidak pernah jemu memberikan komitmen yang terbaik demi merealisasikan misi dan visi PAS iaitu menegakkan syiar Islam di Malaysia. Pelbagai pengalaman menarik yang dialaminya dan perkara yang paling indah baginya adalah pada setiap kali musim pilihanraya umum. Ketika itu, segala kerja - kerja pilihanraya yang dilakukan akan benar - benar menguji kesabaran dan ukhuwah sesama petugas PAS. Ukhuwah ini tidak boleh sama sekali dibeli tetapi diperolehi daripada penyatuan dan ikatan hati sesama para mukmin.

Mendepani cabaran dan tribulasi arena politik Malaysia yang bakal mendatang, Ustazah Wan Hasrina meninggalkan 3 pesanan penting buat para amilin khususnya kepada generasi muslimat muda masa kini.

Perkara paling utama yang perlu dipasakkan dalam jiwa para pejuang adalah dengan meletakkan niat yang benar untuk melaksanakan tugas ini. Sepertimana yang telah diceritakan dalam sebuah hadith, maksudnya:

Daripada Abu Musa al-Asy’ari berkata, “Seorang Arabi telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang berperang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang, dan orang yang berperang kerana mahu namanya dikenang, dan orang yang berperang kerana ingin diangkat kedudukannya. Siapakah antara mereka yang berperang di jalan Allah? Jawab baginda: Siapa yang berperang semata - mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah) maka itulah fisabilillah." (Sahih al Bukhari, 3126)

Selain itu, generasi muslimat muda perlulah sentiasa menambah ilmu dan pengalaman yang ada terutamanya daripada perkongsian pengalaman golongan pakar yang lebih veteran agar setiap gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ustazah juga sempat berpesan, "Perjuangan yang dilalui PAS ini bukanlah mudah dan perjalanan yang panjang ini bakal dipenuhi dengan mehnah dan fitnah. Oleh itu, kesabaran dan keazaman yang tinggi perlu disematkan dalam diri masing - masing sepanjang menelusuri perjuangan ini."

Semoga perkongsian kali ini menjadi pemangkin semangat buat para pejuang dalam bersama-sama membangunkan syiar Islam di muka bumi ini. Nantikan perkongsian yang lebih menarik dalam segmen Suri Hati Pilihan DMPM pada edisi yang akan datang. Inshaa Allah!



#shdmpm #surihati #surihatipilihan #iconmuslimat #muslimatPAS


Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget