Rantau ujian PRK sebenar



MUJIBU ABD MUIS | 04 Apr 2019

SETELAH hampir setahun, akhirnya pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan berlangsung dalam tempoh seminggu lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau diadakan selepas kemenangan tanpa bertanding penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) pada PRU14 dibatalkan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 18 Februari lalu.

Walaupun PRK ini tidak mengubah pentadbiran sedia ada, baik di peringkat negeri dan nasional, ia tetap dianggap penting bagi kedua-dua parti bersaing, baik Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN).

Bagi BN, PRK Rantau membawa beberapa pernyataan terhadap kerelevanan parti itu dalam konteks Malaysia Baharu pasca PRU14. Setelah muram dalam empat PRK terawal, BN kembali bermaya dengan kemenangan bergaya di dua PRK terakhir apabila berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan merampas DUN Semenyih.

Bagi PH pula, prestasi semakin merudum selepas kekalahan dalam dua PRK itu memerlukan remedi dan rejuvenasi politik yang pantas.

Kelebihan menjadi kerajaan memerintah ketika ini masih belum cukup untuk mengekalkan sokongan dan keyakinan rakyat yang semacam kecewa dan tertipu dengan kepemimpinan kerajaan PH.

Pertandingan di Rantau lebih menarik berbanding di PRK sebelumnya. BN sebagai penyandang bukan sahaja mahu mengekalkan kerusi tersebut, tetapi turut mahu mempertahankan maruah parti itu kerana yang bertanding di situ adalah pemangku presidennya.

Setelah berjaya mengepalai BN menang di Cameron Highlands dan Semenyih, Tok Mat bukan sahaja perlu mengetuai BN, malah harus juga menjadi menjadi ayam tambatan dalam pertarungan terpenting BN ketika fasa transisi dan pemulihan parti berjalan.

Justeru, nampaknya Tok Mat harus bekerja dengan lebih keras berbanding sebelumnya kerana sekiranya gagal, bukan sahaja beliau bakal kehilangan kerusi, malah ia akan turut mencemarkan reputasi dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin harapan.

Dalam masa sama ia juga akan menjejaskan moral dan keyakinan ahli parti dalam konteks survival politik BN.

Setakat ini, Tok Mat diramalkan bakal menang atas faktor aura, pesona dan pencapaian cemerlangnya ketika menjadi pemimpin nombor satu di Negeri Sembilan.

Keperibadian, populariti dan faktor anak tempatan antara personaliti Tok Mat yang akan menenggelamkan Dr S.Streram yang kurang dikenali dan bukan anak tempatan.

Namun begitu, kelebihan demografi Rantau seimbang di antara pengundi Melayu-bukan Melayu juga mampu memberi kelebihan kepada Dr S.Streram.

Kalau trend PRU dan PRK sebelumnya diambil kira, kecenderungan pengundi bukan Melayu yang masih betah memilih PH mampu merencatkan perencanaan BN mengekalkan kerusi DUN Rantau.

Kalau BN mampu menang di Cameron Highlands dengan meletakkan calon Orang Asli beragama Islam berbanding calon daripada MIC sepertimana tradisi BN sebelumnya, perkara yang sama tidak mustahil boleh berlaku di Rantau.

PKR juga buat kali pertama meletakkan calon berketurunan India, bertentangan dengan amalan dalam tiga pilihan raya sebelum ini. Sebelumnya, PKR sering meletakkan calon Melayu untuk bertanding di kerusi DUN Rantau sejak 1999.

Di Cameron Highlands, jumlah pengundi Melayu dan Orang Asli yang besar berbanding bukan Melayu menjadi pertimbangan apabila memilih bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor menjadi calon BN.

Strategi PH meletakkan calon ‘kitar semula’ yang tidak sesuai dengan komposisi demografi pengundi antara faktor yang membawa kepada kekalahan PH.

Namun pada kali ini, atas faktor yang serupa PH mengekalkan Dr S.Streram atas perkiraan demografi pengundi yang seimbang antara Melayu-bukan Melayu di Rantau yang sekiranya sentimen semasa pengundi bukan Melayu diambil kira, mampu memberikan kemenangan kepada PH.

Secara umumnya, ada beberapa perkara yang menjadikan PRK Rantau ini penting untuk diperhatikan.

Pertama, mampukah kerjasama UMNO-Pas menerusi formulasi Melayu-Islam yang terbukti berkesan di kawasan majoriti pengundi Melayu untuk terus diterima ataupun sebaliknya?

Dengan PH terutamanya menerusi PKR sering mendominasi kawasan campuran sepertimana di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, apakah perkiraan yang sama masih mampu dikekalkan di Rantau?

Adakah ketokohan dan aura Tok Mat mampu menarik undi buat BN sepertimana Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika PRK Port Dickson lalu? Apa pula kesan kepada pola pengundian etnik, baik dalam kalangan orang Melayu mahupun bukan Melayu dalam persaingan politik angka yang menjadi asas politik pilihan raya?

Atas persoalan-persoalan ini, maka benarlah Rantau boleh dikatakan sebagai medan ujian sebenar politik pilihan raya pasca Malaysia Baharu.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget