Presiden PAS terima anugerah Tokoh Mursyid Ummah



KUALA TERENGGANU - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima anugerah Tokoh Mursyid Ummah, pada Himpunan Tokoh Pendidik Islam 6 yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Anugerah tertinggi itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada himpunan tersebut.

Abdul Hadi yang berusia 72 tahun dipilih sebagai penerima anugerah itu atas jasa bakti dan pembabitan beliau ke arah memartabatkan dan menerajui ummah khususnya dalam tarbiah Islamiah dan pembangunan kerohanian berteraskan maqasid syariah.

Selain Ahli Parlimen Marang itu, turut menerima anugerah pada majlis berkenaan ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, 80.

Beliau dianugerahkan Tokoh Murabbi Ummah atas peranannya sebagai murabbi dalam gerakan Islam, serta keilmuan dan pengalaman luas, juga peranan besar dan berterusan dalam pembinaan generasi robbani.

Pada himpunan yang dihadiri lebih 1,000 pendidik berkenaan, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Halimah Ali, 59 dipilih sebagai Tokoh Pendidik Muslimat manakala Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Johari Mat, 67, menerima Anugerah Tokoh Pendidik.

Selain penyampaian anugerah, himpunan itu merumuskan tujuh deklarasi pendidikan antaranya menyokong sekretariat Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPIM) dalam memperkasa sekolah agama rakyat dan tahfiz di seluruh negara.

Selain itu himpunan berkenaan turut menyokong keputusan kerajaan menolak United Examination Certificate (UEC) kerana ia jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.


Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget