NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘PH janjikan harga minyak turun RM1.50, tapi hibah TH yang turun’


BANGI, 29 Rejab 1440H, Jumaat – "Janji harga minyak turun ke RM1.50… rupanya, hibah yang turun ke 1.25%," kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengulas pengumuman hibah atau dividen Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

Petang tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Mujahid yang memberitahu bahawa TH kini mempunyai lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, menyalahkan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menjadi punca dividen terendah dalam sejarah TH.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyindir Mujahid kerana berulang kali menyalahkan BN, tetapi tidak mahu mengaku bahawa TH mengalami kerugian pada 2018, apabila harga saham jatuh teruk selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Menteri sebut lagi bahawa defisit terkumpul RM4.1 bilion telah diselewengkan pada tempoh 4 tahun yang lalu dan mengakibatkan defisit ini walaupun dakwaan sebenar ialah BN telah terlalu kejam untuk terlebih bayar dividen untuk 4 tahun sebelum ini.

"Wang RM4.1 bilion ini bukan dicuri, dirompak atau rugi. Yang aneh ialah tidak ada seorang juruaudit untuk tempoh 4 tahun ini didakwa atau dipersalahkan bahawa mereka telah tersalah membuat audit," katanya.

Beliau berkata, TH dianggarkan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM10 bilion untuk tahun 2018, tetapi BN tetap dipersalahkan walaupun ini ialah akibat kejatuhan indeks Bursa Malaysia dan ekonomi yang merosot setelah PRU14 di bawah PH.

"Tidak sekalipun menteri jaga agama mengaku bahawa nilai saham yang dipegang TH telah merosot selepas PRU14. Yang disebut berulang-kali oleh menteri itu ialah 'semua salah BN'.

"Kadar 1.25% untuk tahun 2018 di bawah PM ke-7 adalah paling rendah dalam sejarah TH. Ini ialah keadaan yang sama seperti dividen-dividen tahun 2018 untuk ASB, ASN dan sebagainya yang juga paling rendah dalam sejarah," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengunjurkan hibah TH untuk tahun-tahun yang akan datang tidak akan tinggi lagi kerana:

1. Keadaan TH hari ini yang memerlukan jaminan kerajaan untuk menampung kerugian sebanyak RM10 bilion untuk tahun 2018;

2. SPV yang telah mengambil alih aset RM19.9 bilion daripada TH dengan hanya membayar faedah sukuk sebanyak 2.5 peratus setiap tahun; dan

3. Hala tuju TH untuk tidak lagi akan mementingkan pelaburan ekuiti tetapi akan melabur dalam bon dan simpanan tetap yang memberi faedah tetap yang rendah.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/05/ph-janji-harga-minyak-turun-rm1-50-tapi-hibah-th-yang-turun/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo