NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persatuan Linguistik Malaysia tolak pengiktirafan UEC

KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bertegas untuk tidak menerima pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus mengkritik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan yang bernada mengisytiharkan pengiktirafan kerajaan.

Penasihatnya, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata apatah lagi Kementerian Pendidikan sendiri masih lagi menjalankan kajian berkaitan UEC.

Awang berkata, pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan menyokong pernyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa hanya kerajaan yang boleh memberi pengiktirafan kepada UEC atau sebaliknya.

Beliau berkata, pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan tidak dapat menerima pengiktirafan UEC atas sebab yang konkrit termasuk sijil UEC dikeluarkan badan persendirian yang tidak jelas ciri kenegaraannya.

Katanya, pengiktirafan UEC akan mewujudkan sijil substandard di negara, sekali gus mencacatkan mutu pentaksiran, penilaian dan pendidikan negara yang dikendalikan badan berwibawa, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Selain itu, UEC dikendalikan badan yang sejarah awalnya berkiblat ke Taiwan dan hingga kini tidak jelas sama ada sistem, kurikulum, latihan guru, buku teks selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

“Pengiktirafan terhadap UEC akan mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan yang menurut acuan kenegaraan dalam hal kurikulum, latihan guru, buku teks, peperiksaan dan yang lain,” katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Mac lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji cadangan pengiktirafan UEC akan menyerahkan laporan akhir kajian kepada Kementerian Pendidikan, Julai ini.

Maszlee berkata, laporan kajian itu penting untuk mendengar pendapat semua pihak bagi memastikan kesepakatan dicapai berhubung cadangan berkenaan tanpa menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini, kemudian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) menjalankan kajian bermula Oktober lalu sehingga Julai ini dan setakat ini, 46 sesi temu bual dengan tokoh, termasuk dari bidang pendidikan serta pihak berkepentingan, pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang dijemput khusus, sudah dijalankan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo