NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlembagaan Johor Dan Terengganu Terbatal?


oleh: Dr Muhammad Fathi Yusof
Pensyarah Polisi dan Undang-undang
UTM KL

1. Negeri-negeri di Malaysia mempunyai Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh masing-masing. Dalam konteks sistem federalisme, kewujudan perlembagaan ini penting kerana kerajaan negeri memerlukan asas perundangan sebagai entiti kerajaan. Kewujudan kerajaan negeri dibuktikan melalui kewujudan Perlembagaan Negeri. Oleh itu penubuhan kerajaan Persekutuan tidak membatalkan perlembagaan negeri kerana kewujudan negeri-negeri adalah sebahagian daripada elemen dalam sistem Persekutuan.

2. Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri mengandungi peruntukan yang berkaitan kedudukan dan takhta Raja-raja Melayu, badan pentadbiran negeri, badan perundangan, kewangan dan sebagainya. Selama ini perlembagaan negeri berkuatkuasa sebagai undang-undang yang sah di setiap negeri termasuk Johor dan Terengganu tanpa sebarang pertikaian.

3. Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan menyebut secara jelas menyentuh berkaitan jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa hak dan kepentingan negeri khususnya yang berkaitan kedudukan Raja-raja mestilah berasaskan Perlembagaan Negeri masing-masing.

4. Peristiwa Malayan Union iaitu apabila Raja-raja Melayu menandatangani Perjanjian MacMichael yang kemudiannya dibatalkan selepas bantahan rakyat tidak membatalkan perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu. Malayan Union tidak pernah terlaksana, maka tidak timbul soal pembatalan perlembagaan negeri.

5. Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 juga tidak membatalkan Perlembagaan Negeri bahkan peranan perlembagaan negeri diperkukuh melalui pengiktirafan perjanjian Persekutuan 1948. Selain itu kuasa persekutuan mengikut format 1948 adalah terlalu kecil untuk kita membuat kesimpulan bahawa perlembagaan negeri terhapus kerana kewujudan persekutuan. Bahkan kewujudan jenis-jenis negeri kepada negeri bersekutu, tidak bersekutu dan negeri selat menggambarkan bahawa kewujudan pemerintahan pada waktu itu amat bergantung kepada kewujudan perlembagaan negeri termasuk di Johor dan Terengganu.

6. Kita hairan kenapa isu ini tiba-tiba timbul sedangkan selama ini kewujudan dan kuatkuasa perlembagaan negeri-negeri tidak pernah menjadi pertikaian. Kita harapkan perbezaan pendapat yang berlaku diselesaikan berasaskan ilmu secara matang demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo