Peribahasa alat komunikasi berlapik


oleh: Muhammad Daud (Munsyi Dewan)

PERIBAHASA merupakan salah satu cabang sastera lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Ia digunakan sebagai alat berkomunikasi sama ada untuk menegur perbuatan yang tidak elok, memberi harapan, motivasi, menyindir, memberi arahan dan sebagainya.

Kita boleh mengenali gaya hidup sesuatu bangsa dengan merujuk kepada cara mereka berbahasa.


Sebelum melangkah lebih jauh, eloklah kita mengenali maksud peribahasa itu dahulu.

Peribahasa merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan lengkap serta pengertian tertentu yang terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah, perbilangan dan lain-lain.

Berdasarkan definisi dan peranan peribahasa yang dijelaskan, amatlah wajar jika peribahasa diiktiraf sebagai khazanah Melayu yang amat bernilai.

Orang Melayu wajib mempertahankan kelestarian peribahasa lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang terlalu taksub kepada perkembangan teknologi maklumat ini.

Memang tidak dinafikan peribahasa mempunyai banyak peranan, tetapi peranan sebagai medium penerapan aspek pendidikan dianggap paling penting berbanding peranan-peranan lain.

Orang Melayu merupakan bangsa yang amat mementingkan hubungan sesama manusia. Hal ini menyebabkan orang Melayu amat berhati-hati ketika menyampaikan pendidikan lebih-lebih lagi pendidikan disampaikan dengan cara teguran.

Dalam aspek komunikasi orang Melayu, sesuatu komunikasi itu dianggap gagal jika kata-kata kita dapat menggores perasaan orang lain. Oleh itu, penyampaian pendidikan amat sesuai disampaikan melalui peribahasa.

Peribahasa digunakan oleh orang Melayu untuk menyampaikan pendidikan secara tersirat. Maksud yang hendak disampaikan biasanya dilambangkan dengan sesuatu aspek lain khususnya perlambangan alam.

Peribahasa jenis perbilangan “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah” berperanan untuk menyampaikan pendidikan supaya setiap orang mentaati adat dan perlu sedar bahawa setiap orang juga akan mati.

Begitu juga dengan peribahasa “ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya” yang mendidik masyarakat Melayu agar tidak sombong dengan kelebihan diri sebaliknya sentiasa merendah diri kerana perbuatan merendah diri tidak sesekali menyebabkan kehebatan seseorang itu terjejas.

Apabila melihat senario remaja kini, kita berasa amat dukacita kerana penghayatan bakal pemimpin negara ini semakin longgar terhadap peribahasa.

Rata-rata remaja terutama yang berada di bangku sekolah amat tidak berminat untuk berbincang tentang peribahasa. Senario ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana banyak peribahasa menggunakan unsur-unsur alam yang tidak mampu dijangkau oleh pemikiran mereka.

Bagaimanakah mereka dapat menghayati konsep pendidikan supaya kita semakin merendah diri apabila semakin berilmu yang cuba disampaikan melalui peribahasa “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk” kerana mereka sendiri tidak pernah melihat padi?

Bagaimanakah mereka dapat mengaitkan simpulan bahasa “tangkai jering” dengan sifat manusia yang amat kedekut kerana mereka sendiri tidak pernah melihat buah jering apatah lagi tangkainya?

Dunia hari ini bergerak pantas. Semua perkara perlu dilakukan pantas menyebabkan remaja terpaksa berkomunikasi dengan cepat dan ringkas.

Ini bukanlah suatu petanda yang positif untuk menggalakkan perkembangan peribahasa. Jika tiada usaha yang berkesan dilakukan, sudah pasti peribahasa akan hilang daripada dakapan jiwa remaja.

Usaha Kementerian Pendidikan melalui Lembaga Peperiksaan yang memasukkan soalan peribahasa dalam Bahasa Melayu Kertas 2 di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia amatlah dipuji kerana hendak tak hendak, pelajar-pelajar terpaksa belajar tentang peribahasa walaupun markah yang ditawarkan bernilai enam sahaja.

Nilainya mungkin kecil tetapi maknanya amat besar kepada kelestarian khazanah Melayu yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.


* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget