Pemimpin dunia kutuk pengeboman gereja, hotel di Sri Lanka


ANKARA, 22 April (Bernama) -- Komuniti antarabangsa telah memberikan reaksi terhadap insiden pengeboman di Sri Lanka pada Ahad, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 207 orang maut manakala beratus-ratus lagi cedera, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pengeboman itu menyasarkan lapan lokasi termasuk gereja di mana para penganut Kristian sedang meraikan Hari Easter dan beberapa hotel lima bintang di ibu kota komersial Colombo.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan itu "sekeras-kerasnya" dalam satu kenyataan bertulis.

"Ini adalah satu serangan ke atas semua umat manusia. Bagi pihak rakyat Turki, saya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat Sri Lanka, serta mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh," kata Erdogan.

Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan, dalam akaun Twitter berkata "(Saya) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang dahsyat di Sri Lanka pada Hari Easter yang menyebabkan kehilangan nyawa yang berharga serta beratus-ratus lagi cedera. Ucapan setinggi-tinggi takziah saya kepada saudara kita di Sri Lanka. Pakistan berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka ketika ia berdepan masa-masa yang sukar ketika ini."

Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengecam letupan maut itu dengan berkata "Tiada tempat untuk keganasan sedemikian di rantau ini. India berdiri dalam solidariti bersama-sama rakyat Sri Lanka. Doa dan ingatan saya bersama-sama keluarga yang kehilangan, begitu juga dengan mereka yang cedera."

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani turut mengutuk serangan itu dan berkata “Menyerang gereja dan hotel serta menyasarkan penganut agama adalah suatu perbuatan yang menjijikkan dan Afghanistan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas yang keji ini. Ingatan dan doa kami untuk mangsa dan keluarga mereka, dan kami berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka pada waktu yang sukar ini.”

Dalam satu kenyataan Twitter, jurucakap Canselor Jerman Angela Merkel, Steffen Seibert, berkata mereka "terkejut dengan berita bahawa penganut Kristian di Sri Lanka diserang dan dibunuh ketika upacara Easter."

Perdana Menteri Britain Theresa May pula berkata serangan di Sri Lanka adalah "benar-benar keji".

"Ucapan simpati paling mendalam kepada mereka yang terjejas dalam insiden yang tragik ini," katanya.

Presiden Rusia Vladimir Putin, dalam satu kenyataan mengucapkan "setinggi-tinggi takziah berkaitan kesan tragik beberapa siri serangan pengganas" di Sri Lanka, menurut agensi berita rasmi Tass.

Menegaskan bahawa Moscow kekal sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai Sri Lanka dalam memerangi keganasan antarabangsa, beliau berkata "saya menjangkakan pelaku dan dalang jenayah sinikal dan kejam ini. yang melakukannya semasa upacara sambutan Easter, akan mendapat balasan yang setimpal."

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dalam akaun Twitter, menulis "AS mengucapkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada penduduk Sri Lanka yang hebat. Kami sedia menghulurkan bantuan."

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata "PBB berdiri dalam solidariti bersama-sama Sri Lanka ketika komuniti global memerangi kebencian dan keganasan ekstremisme bersama-sama."

Gurerres menegaskan bahawa tapak suci perlu dihormati.

Presiden Serbia Aleksandar Vucic dan Perdana Menteri Croatia Andrej Plenkovic mengutuk serangan ganas itu dan melahirkan solidariti mereka bersama-sama Sri Lanka.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu dan berharap pihak yang bertanggungjawab melakukan “jenayah kejam itu” akan diheret ke muka pengadilan.

Kementerian Luar Indonesia turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Mengesahkan bahawa tiada rakyat Indonesia yang menjadi korban dalam tragedi itu, kementerian tersebut menggesa rakyatnya di Sri Lanka kekal waspada dan berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan tempatan.

"Kerajaan Indonesia percaya kerajaan Sri Lanka boleh menangani situasi itu dengan baik, dan juga bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan," menurut kementerian itu.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengutuk serangan "ke atas mereka yang tidak bersalah" manakala Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata "melihat serangan di Sri Lanka ketika orang ramai berada di gereja dan hotel adalah sesuatu yang meluluhkan hati.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengutuk "tindakan menjelekkan itu" di Sri Lanka.

"Kami berdiri bersama-sama rakyat Sri Lanka dan doa serta ingatan kami untuk orang tersayang mangsa yang terkorban pada Hari Easter itu," katanya.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Federica Mogherini, Presiden Austria Alexander Van der Bellen, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Presiden Montenegrin Milo Djukanovic turut mengutuk serangan itu.

-- BERNAMA

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget