NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelaksanaan 'PPSMI baharu' dikhuatiri wujudkan dualisme pemikiran



KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekali lagi menimbulkan perdebatan dalam kalangan ahli akademik dan pejuang bahasa.

Biarpun sekolah diberi pilihan sama ada mahu melaksanakan atau tidak, perkembangan itu dikhuatiri akan mewujudkan dua kelompok yang berbeza cara fikir mengikut 'kiblat bahasa' masing-masing.

“Apabila kerajaan benarkan pelajar memilih untuk pelajari sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, ini akan menghasilkan dualisme pemikiran dan daya bertindak.

“Jadi mereka mempunyai cara yang berbeza, mereka mungkin akan mengasingkan diri dengan aliran mereka sendiri, nanti hasilnya tiada perpaduan antara murid di dalam sekolah. Ini yang saya khuatir,” tegas Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Ali Hassan ketika dihubungiAstro AWANI pada Selasa.

Dr. Mohd Ali sekali lagi menegaskan alasan sama mengapa beliau menolak idea tersebut kerana melihat dasar itu sebenarnya tidak banyak membantu dalam penguasaan bahasa Inggeris, apatah lagi Sains dan Matematik.

Menurut beliau, apa yang lebih baik ialah memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris daripada menerapkannya dalam subjek lain.

“Cara mengajarnya, guru bahasa Inggerisnya, pembelajaran secara amali dengan bertutur bahasa Inggeris, ini perlu diperkasakan dalam kelas bahasa Inggeris.

“Di negara lain juga seperti Jepun atau tamadun Arab dahulu mereka menekankan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing,” jelas beliau lagi.

Berbeza pendapat, tokoh akademik Dr. Shaari Isa melihat pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah perlu supaya pelajar tidak ketinggalan jauh dalam perkembangan dunia sains dan teknologi.

Dalam masa sama, beliau tidak gemar untuk membandingkan Malaysia dengan negara maju seperti Jepun, Korea atau Jerman kerana budaya tinggi mereka mempelopori dan meneraju ilmu bidang tersebut.

“Kita jangan banding kita dengan Jepun. Mereka tidak berapa mahir bahasa Inggeris, tetapi di perpustakaan mereka ada banyak buku keilmuan dalam bahasa Jepun,” kata Dr. Shaari.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelemahan pelaksanaan perlu diperbetulkan terlebih dahulu supaya usaha dan hasrat murni untuk memperkasakan penguasaan bidang Sains, Matematik dan bahasa Inggeris benar-benar berkesan.

“Masalah utamanya adalah guru yang mengajar Sains dan Matematik itu tidak tahu bahasa Inggeris. Guru subjek ini sepatutnya mahir dalam bahasa Inggeris. Kalau mereka mahir dalam Sains dan Matematik tapi tidak fasih bahasa Inggeris, tak guna juga,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah.

Pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan juga, jelas Dr. Mahathir, tetap diteruskan.

Kata Dr. Mahathir, pendekatan itu diambil kerana terdapat dua pihak yang menyokong dan menolak pelaksanaan itu selain mengambil kira pendapat ramai bahawa bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelaksanaan-ppsmi-baharu-dikhuatiri-wujudkan-dualisme-pemikiran-203915

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo