NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBS sah bertanding di PRK Sandakan


KOTA KINABALU: Blok pembangkang di Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengesahkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada bulan hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan berkenaan diambil selepas mesyuarat pemimpin yang diadakan hari ini yang sebulat suara menetapkan penyertaan mereka untuk PRK tersebut pada 11 Mei itu nanti.

Beliau berkata, keputusan penyertaan dalam pilihan raya kecil itu sebagai menyahut cabaran dan sokongan daripada akar umbi untuk menguji sejauh mana kekuatan parti yang pernah mendominasi politik tempatan tersebut sebelum ini.

"Parti sedang mengenalpasti senarai dan berharap akan membuat pengumuman terhadap siapa calon daripada kami sebelum hari penamaan.

"Kami mempunyai senarai yang panjang berhubung calon berpotensi dan nama mereka kini sedang diserahkan oleh rakan-rakan serta akar umbi di Sandakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya pada hari ini di Kota Kinabalu.

Menurut Maximus, pihaknya amat teruja untuk turut serta dalam PRK berkenaan susulan PBS yang kini berdiri atas bendera sendiri selepas bertindak keluar daripada parti kompenen Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Sandakan itu kosong selepas penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Stephen menyandang kerusi Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas PRU14 lalu.

Dalam PRU14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.


Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/pbs-sah-bertanding-di-prk-sandakan-205541

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo