Pameran teknologi 5G beri peluang kepada rakyat Malaysia - SKMM

KUALA LUMPUR: Pameran teknologi mudah alih generasi kelima (5G) pada 18 April ini, akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat dan menikmati secara langsung manfaat daripada teknologi tersebut dan kesan positif terhadap kehidupan mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata pameran 5G itu akan diadakan di Putrajaya sempena sambutan ulang tahun ke-20 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menghadiri majlis tersebut.

Sementara itu, pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak dalam kenyataan sama, berkata pihaknya sangat berbesar hati diberi peluang untuk meneraju pengenalan 5G di negara ini.

"5G bukan sekadar kelajuan data lebih tinggi dan keupayaan jaringan lebih meluas, malah ia turut menghubungkan berjuta-juta peranti, membina perkhidmatan baharu dan menyokong penggunaan aplikasi secara lebih meluas yang dapat memberi kesan positif kepada operasi perniagaan dan kerajaan serta aktiviti seharian pengguna.

"Pameran ini bertujuan memberi satu gambaran mengenai apakah bakal menanti pada masa hadapan dan penerimaan rakyat. Oleh itu, sukacita saya maklumkan Malaysia merupakan salah satu negara di Asia yang menerajui teknologi mudah alih generasi kelima ini," katanya.

Al-Ishsal berkata 5G juga selari dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) kerajaan untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Antara aplikasi dalam kehidupan sebenar yang bakal dipamerkan termasuk konsultasi dan diagnosis penjagaan kesihatan dari jauh, proses pembelajaran menggunakan simulasi dan e-sukan masa nyata dengan kepelbagaian paparan 4K.

Pada November 2018, SKMM menubuhkan sebuah pasukan petugas 5G kebangsaan untuk mengkaji dan membuat syor-syor strategi yang holistik untuk pelaksanaan 5G secara menyeluruh di Malaysia.

Pada 4 Mac lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata Cyberjaya dan Putrajaya akan menjadi bandar pintar pertama di Malaysia yang menerima kemudahan teknologi 5G apabila ujian awal rangkaian perkhidmatan itu bermula pada April ini.

Semasa tempoh itu, beliau berkata syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan pemain industri akan menjalankan ujian teknologi 5G masing-masing dengan dibantu SKMM.

-- BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget