NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang mahu tuntut pampasan RM17.1 bilion daripada kerajaan pusat




KUANTAN, 17 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang bercadang untuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan pampasan bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia melibatkan kawasan seluas satu juta hektar yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

“Sementara itu untuk Empangan Kelau yang ‘dikorbankan’ untuk membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor (PPAMPS), kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, miniral, premium tanah sawit dan cukai tanah melibatkan kawasan seluas 33,000 hektar.

“Saya ingin tegaskan bahawa bagi kawasan hutan simpan yang digunakan kawasan tadahan air, kos melepas yang terpaksa ditanggung RM16.4 bilion, manakala untuk kawasan Empangan Kelau, kos melepas yang ditanggung adalah RM692 juta.

“Jadi jumlah keseluruhan kos melepas yang ditanggung ialah RM17.1 bilion, sehubungan itu kita akan berjumpa dengan kerajaan persekutuan untuk meminta jumlah ini ditolak daripada hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 bilion,” katanya pada persidangan penggal kedua Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada ketika menjawab soalan tambahan oleh Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menuntut pampasan tertentu dari kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung sebelum ini.

Sementara itu Wan Rosdy turut memaklumkan kepada anggota dewan bahawa kerajaan negeri juga telah menghantar permohonan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapus kira pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus daripada jumlah pinjaman semasa.

Menurut beliau surat permohonan itu telah dikemukakan pada 25 Okt tahun lepas dan untuk baki pinjaman kerajaan negeri yang tidak dihapus kira, akan diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) .

“Sebagai balasannya kerajaan negeri akan memindahkan aset tak alih yang nilai bersamaan dengan jumlah pinjaman yang diambil alih oleh PAAB bagi tempoh 45 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Yong Syefura Othman (DAP-Ketari) yang mahukan penjelasan berhubung maklumat terkini tentang langkah penstrukturan hutang kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata hutang bekalan air kerajaan negeri akan distrukturkan semula menerusi penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang dan ia adalah tertakluk kepada terma-terma tawaran daripada kerajaan persekutuan serta rundingan bersama.

Bagaimanapun setakat ini, katanya kerajaan negeri masih belum menerima tawaran ini daripada kerajaan pusat.

-- BERNAMA



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo