NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia cari jalan buka pejabat kedutaan di Palestin


KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Malaysia berusaha mencari jalan kemungkinan membuka pejabat kedutaan di Palestin, meskipun sedar ia bukanlah satu perkara mudah, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, walaupun pada masa sekarang dari segi praktikalitinya usaha itu bukanlah mudah, namun ia penting bagi membolehkan Malaysia terus membantu rakyat Palestin yang sejak berdekad lalu dicengkam kezaliman rejim Tel Aviv.

"Bila? Itu soal kedua. Tetapi cita-cita mesti ada, komitmen mesti ada dan persiapan atau usaha mesti dimulakan.

"Ia tugas dan tanggungjawab sebuah negara berdaulat (seperti Malaysia) membantu negara yang berdepan masalah, menolong rakyat mana-mana negara yang telah bertahun-tahun dizalimi iaitu sejak 1948 (apabila Israel dibentuk)," katanya kepada Bernama selepas rakaman program Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC) di sini Isnin.

Ujar Saifuddin, buat masa ini pihaknya masih belum berhasrat membawa cadangan itu ke peringkat kabinet.

Namun, katanya, kaedah yang akan digunakan untuk menjayakan pembukaan kedutaan itu sudah semestinya tidak melibatkan Israel.

"Ada negara lain membuka kedutaan (di Palestin) seolah terdapat persetujuan daripada Israel sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita tidak mahu ikut cara seperti itu. Sudah tentu pendekatan yang kita gunakan mengikut kaedah Palestin," jelas beliau.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Saifuddin berkata, cadangan itu bukan sahaja penting sebagai sokongan moral kepada rakyat Palestin, tetapi juga diharap dapat membantu memudahkan proses untuk rakyat Palestin di Malaysia yang ingin pulang ke negara asal mereka di masa hadapan.

"Pada kita, buka kedutaan itu biasa. Tetapi bagi orang tertindas, ia suatu kemenangan moral luar biasa. Membuka kedutaan suatu pengiktirafan (kepada mereka)," katanya.

Ditanya andai cadangan itu bakal mencetuskan konflik dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang telah memindahkan pejabat kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Saifuddin berkata, sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan akan mengambil kira kepentingan nasional dan bukan atas faktor "favour" atau takut kepada negara lain.

Cadangan membuka pejabat kedutaan Malaysia di Palestin diutarakan Saifuddin dalam jawapannya kepada soalan lisan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), minggu lepas di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan itu, Saifuddin berkata, pihaknya sedang memulakan usaha mengumpul semua maklumat penting berhubung cadangan berkenaan, selain mendapatkan pandangan pihak yang mempunyai pejabat atau wakil di Palestin.

Sehingga kini terdapat lebih 30 pejabat diplomatik dan organisasi antarabangsa dibuka di Palestin sama ada di Ramallah atau Gaza.

Ramallah terletak di Tebing Barat merupakan pusat pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin. Namun demikian Ramallah dan Wilayah Tebing Barat serta Gaza masih merupakan wilayah diduduki Israel.

Kebanyakan negara yang membuka pejabat di Ramallah terdiri negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel atau sebelum ini pernah menjalin hubungan terhad dengan rejim zionis itu.

Terdapat juga negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu mempunyai pejabat diplomatik di Ramallah.

Ketika ini, Palestin mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur. Sebaliknya, Duta Malaysia ke Mesir ditauliahkan serentak ke Palestin. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo