NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahmoud Abbas, Fatah bentuk ‘kerajaan pemisah Palestin’



RAMALLAH, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Kerajaan baharu Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) mengangkat sumpah dihadapan Presiden PA, Mahmoud Abbas, semalam.

Pembentukan kerajaan baharu yang ditolak Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang menguasai Semenanjung Gaza itu, diketuai pakar ekonomi yang juga penasihat Abbas, Mohammed Shtayyeh, sebagai Perdana Menteri Palestin, berpangkalan di Tebing Barat.

Menteri Luar, Riyad al-Maliki; dan Menteri Kewangan, Shukri Bishara kekal dengan jawatan yang dipegang sebelum ini.

Shtayyeh diumumkan sebagai Perdana Menteri pada 10 Mac lalu, menggantikan Rami Al-Hamdallah, yang mendapat sokongan Hamas.

Shtayyeh akan turut menjadi Menteri Dalam Negeri dan Menteri Hal Ehwal Agama, sebelum individu lain dilantik bagi dua kerusi itu.

Hamas menyifatkan pembentukan kerajaan itu sebagai satu tamparan kepada usaha menggerakkan perpaduan di kalangan rakyat Palestin yang terputus sejak kedua-dua kumpulan menandatangani perjanjian damai baharu di Kaherah, Mesir pada Oktober 2017, tetapi pertikaian mengenai perkongsian kuasa menyekat pelaksanaan perjanjian itu.

"Ini adalah kerajaan pemisah. Kerajaan ini tidak mempunyai kuasa nasional, sebaliknya akan terus memisahkan Tebing Barat daripada Semenanjung Gaza," kata Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis angkat sumpah kerajaan baharu pimpinan Fatah di Tebing Barat, semalam.

Hamas berkata, kerajaan perpaduan nasional, yang sepatutnya dibentuk oleh Fatah, perlu bertanggungjawab mengadakan pilihan raya presiden, legislatif, dan majlis kebangsaan.

Dua pergerakan di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagaimanapun, enggan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan Shtayyeh.

Cabaran yang bakal dihadapi Shtayyeh adalah mengukuhkan kedudukan tunai PA, yang menjalankan peraturan terhad di bawah perjanjian damai interim dengan rejim pengganas Israel.

Selain itu, cabaran paling besar bakal dihadapi kerajaan baharu PA itu ialah janji sekutu kuat Amerika Syarikat (AS), Benjamin Netanyahu untuk menguasai sepenuhnya Tebing Barat, jika dia dipilih semula menjadi Perdana Menteri Israel bagi penggal kelima.

Netanyahu menang pilihan raya Israel dan jika janjinya dilaksanakan ia menjadi tamparan hebat kepada usaha membentuk sebuah Negara Palestin. – Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/14/mahmoud-abbas-fatah-bentuk-kerajaan-pemisah-palestin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo