NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuasa negara dan Harimau Asia


ISU kenegaraan yang hangat diperdebatkan minggu ini ialah Inisiatif Harimau Asia. Berbeza dengan kebanyakan analisis yang hadir dari perspektif ekonomi, analisis ini menawarkan sudut pandang kuasa negara.

Analisis ini mengguna pakai kerangka empat komponen yang diajukan oleh Fareed Zakaria dalam karya beliau iaitu From Wealth to Power terbitan Princeton University Press pada 1998: Autonomi (state autonomy), skop tanggungjawab (state scope), keupayaan mengekstrak sumber (state’s ability to extract wealth), dan kesepaduan (state cohesion).

Menurut kerangka State-centered Realism yang diajukan Fareed Zakaria, sesebuah kerajaan yang kuat dicirikan oleh kerajaan yang berautonomi tinggi, memiliki skop tanggungjawab yang luas, berkeinginan (dan mampu) mengekstrak sumber dalam skala besar, dan bersepadu.

Kerajaan yang lemah pula dicirikan oleh autonomi yang rendah, memiliki skop tanggungjawab yang sempit, tidak berkeinginan mengekstrak sumber dalam skala besar, dan tidak bersepadu.

Mengapakah penting bagi kita untuk memahami tahap kekuatan kerajaan berdasarkan kesemua dimensi yang digariskan oleh Fareed Zakaria ini dalam memacu negara menjadi Harimau Asia?

Sebenarnya, kesemua empat komponen kuasa kerajaan ini cukup penting daripada perspektif geopolitik dan geostrategi dalam jangka masa panjang.

Menurut Fareed Zakaria: 'sesebuah negara hanya mampu untuk meluaskan kepentingan politik mereka ke luar negara apabila terdapat peningkatan relatif dalam kuasa kerajaan mereka.'

Dari segi komponen yang pertama iaitu ‘autonomi kerajaan’, kita boleh menilainya dengan menyoal ‘berapa bebaskah kuasa kerajaan hari ini dalam membuat keputusan berbanding tekanan dan desakan lain dari dalam dan juga luar negara?’.


Kerajaan PH umumnya dilihat agak mudah melakukan keputusan yang dianggap bersifat U-turn.

Disebabkan terlalu banyak keputusan bersifat U-turn ini, ia menimbulkan persoalan mengenai autonomi kerajaan; adakah kecenderungan (atau keterpaksaan) kerajaan PH untuk U-turn ini melambangkan banyaknya rundingan ‘pintu belakang’ yang menekan mereka untuk mengubah keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu? Jika benar inilah halnya, maka jelas autonomi kerajaan tidak berada pada paras yang sewajarnya.

Dari segi komponen kedua kuasa kerajaan iaitu ‘kesepaduan kerajaan’ pula, persoalan yang perlu ditanya bagi mengukur kedudukan kerajaan PH dari sudut ini ialah ‘sejauh manakah berlakunya persaingan dalam kalangan agensi-agensi birokrasi, atau sesama cabang kerajaan, atau antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri?’.

Tanpa keupayaan pembuatan keputusan yang terpusat, sesebuah kerajaan itu tidak boleh dianggap sebagai bersifat kuat.

Dalam kes kerajaan PH setakat ini, langkah menyemak semula status Sabah dan Sarawak susulan pentafsiran ke atas Perjanjian Malaysia 1963 dipandang bahaya kerana berpotensi untuk melemahkan kuasa kerajaan Persekutuan dalam jangka masa panjang – di samping membuka ruang kepada unsur subversif seperti gerakan Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Komponen ketiga iaitu keupayaan kerajaan untuk mengekstrak sumber pula ialah satu komponen yang cukup penting.

Menurut Theda Skocpol, 'keupayaan sesebuah kerajaan untuk mendapatkan serta menggunakan sumber kewangannya memberi gambaran akan keupayaannya bagi mengukuhkan organisasi-organisasi kerajaan, untuk menggaji kakitangan, untuk mewujudkan sokongan politik, untuk memberi subsidi kepada perusahaan ekonomi, serta untuk mendanai program-program sosial.'

Dari satu sisi, keupayaan kerajaan PH mengekstrak sebanyak RM80 bilion daripada Petronas untuk tahun 2018 sahaja (berbanding RM16 bilion pada tahun 2017 di bawah BN) menunjukkan bahawa kuasa kerajaan masih utuh – meski pun langkah ini menerima pelbagai reaksi.

Pengenalan cukai SST menggantikan GST pula bukan sahaja mengurangkan pendapatan kerajaan, malah turut meningkatkan kos sekitar 10 peratus.

Demikian juga cara PH mengumpul dana melalui bon kerajaan, iaitu REIT yang dijangka menyebabkan kerajaan berdepan kemungkinan risiko kerugian.

Komponen terakhir, iaitu ‘skop’ kerajaan berhubung kait dengan persoalan ‘sebesar manakah kerajaan mendefinisikan tanggungjawabnya?’.

Seperti mana gaya pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terdahulu (1981-2003), pentadbiran beliau hari ini juga masih mengamalkan kecenderungan ke arah penswastaan dan pengurangan komitmen kerajaan.

Contohnya ialah penjualan beberapa aset Khazanah, aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera, aset UEM, dan juga perancangan menjual syarikat penerbangan negara MAS (kini MAB).

Ringkasnya, masih banyak yang perlu diperbaiki bagi melonjakkan semula kuasa negara ke arah menjadi Harimau Asia.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo