NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kian terungkai kita dengan Sabah, Sarawak

oleh: Subky Latif

HARI demi hari kini Malaysia ini bertemu dengan berita kian jarak dan terungkainya hubngan dengan Sabah dan Sarawak. Malah kadang-kadang dirasakan Sabah lebih longgar dari Sarawak.

Kedua-duanya lantang mengadu mahukan hak-hak yang dikatakan tidak dipenuhi mengikut perjanjian antara kerajaan menjelang pembentukan Malaysia hendaklah dipenuhkan.

Hempas pulaslah PM Najib dulu dan PM Mahathir sekarang menangkis dan membendungnya. Masing-masing menggunakan diplomasi sepenuhnya untuk memenuhi keinginan saudara sebelah timur itu.

Ia mengembalikan perkiraan awal pembentukan Malaysia dulu. Sekaliannya ghairah akan gagasan Malaysia Tunku itu terutama British betapa semua tanah jajahan British di Asia Tenggara senang merdeka melalui Malaysia. Apa lagilah Umno.

Akan tetapi beberapa kerat pemimpin tinggi, pertengahan Umno seperti Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, Ungku Mohsin Abdul Kadir, Tun Fatimah Hashim dan Datuk Hussein Nordin setelah mendapat penjelasan dan analisis pegawai tinggi kerajaan seperti Tun Abdullah Ayub dan lain-lain menggambarkan amat tingginya risiko dan beban yang bakal dipikul Tanah Melayu atas projek itu.

Malaysia sudah hendak dibentuk. Semua amaran itu telah mereka bentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno hingga Tunku dikatakan cuak dengan apa yang dijangka. Bahkan Tunku dikatakan sedia mengkaji semula cadangannya.

Tetapi Tun Razak menegaskan, ‘Never work for failure’.

Sebarang keputusan Umno membatalkannya seperti menolak pimpinan Tunku.

Albar dikatakan dalam majlis itu bertanya Tun Razak, bagaimana kami jadikan anda Perdana Menteri?

Jawab Tun Razak, saya bersama Tunku. Tun Dr. Ismail pula ditanya, bagaimana anda dijadikan Perdana Menteri. Jawabnya, dia juga bersama Tunku dan Tun Razak.

Maka jadilah Malaysia dibentuk.

Dalam perjanjiian Malaysia itu diperuntukkan setiap sepuluh tahun perjanjian akan dibincangkan.

Secara jiwa besarnya kajian semula setiap sepuluh tahun itu ialah bagaimana kekeluargaan Malaysia itu dapat diperkukuh supaya tiada lagi rendah dan tinggi di antara Semenanjung dan dua wilayah itu. Bahkan Singapura juga tertakluk atas cita-cita itu.

Hinggalah tiba masanya nanti Sabah tidak dikenali lagi sebagai Sabahnya dan Sarawak dikenali sebagai Sarawaknya. Sekaliannya adalah Malaysia yang kita tidak ketahui wilayah mana asalnya.

Demikianlah setiap sepuluh tahun tembok pemisahan itu diroboh sedikit demi sedikit. Pengiriman Tun Datu Mustapa dan Tun Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak adalah demi memperkasa keluarga Malaysia itu.

Akan tetapi di mana sangkutnya, kajian setiap sepuluh tahun dijadikan bagaimana keluarga Malaysia itu boleh dilonggarkan hingga ia dirungkai, dirungkai dan kian dirungkai hingga kita tidak tahu apa hujungnya.

Selat yang memisahkan Semenanjung dan Sabah/Sarawak kian jarak dan lebar. Kita tidak mungkin dapat menghidupkan semula Tunku, Tun Razak, Tun Mustapa dan Tun Rahman Yaakub untuk mengkisahkan pembentukan Malaysia itu.

Jika PM Dr. Mahathir dilihat cemas menongkah arus dan gelombang Sabah dan Sarawak itu, siapa yang kita harap?

Formula penyatuan yang Allah gariskan ialah Islam. Tetapi siapa yang percaya kepada Islam selain PAS. Kini sudah dimahu Umno dengan gagasan penyatuan ummah. Tetapi kaum jahiliah dalam Islam dan luar Islam mengira Islamlah yang jadi pemecah.

Semua jahiliah berkata, sebelumnya Islam yang hendak diketengah itu semua kita jahiliah. Tetapi tidak ada yang tanya sebelum jahiliah itu apa?

Tidakkah Islam yang dibawa Adam, Nuh, Ibrahim dan terakhir Rasulullah SAW? – HARAKAHDAILY 9/4/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo