NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PH dan kisah gembala kambing


oleh: Edwin Michael

Tanyalah sesiapa sahaja, kanak-kanak kecil pun akan tahu kisah si pengembala kambing. Kisah di mana si pengembala kambing kebosanan dan lalu menjerit meminta tolong kononnya kambing belaannya diserang serigala.

Lalu, berkejaranlah penduduk kampung untuk membantu menyelamatkan nyawa dan kambingnya. Sebaliknya, si pengembala ini tertawakan penduduk kampung yang berniat baik ini dan menyatakan pada mereka betapa mereka menipu mereka hidup-hidup.

Tetapi keesokan harinya, si pengembala ini mengulangi semula perbuatan jahatnya itu dengan niat yang sama iaitu untuk menipu penduduk kampung. Sekali lagi penduduk kampung yang berniat untuk membantunya pulang dengan kekecewaan bercampur marah.

Selepas beberapa kali penduduk kampung menjadi mangsa penipuan si pengembala kambing ini, suatu hari seekor serigala benar-benar menyerang kambingnya dan jeritan meminta bantuannya langsung tidak diendahkan penduduk kampung. Tragisnya apabila semua kambingnya dibunuh serigala tersebut.

Jujurlah kepada rakyat

Bukan sekali Pakatan Harapan (PH) salahkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kelemahan dan kegagalan mentadbir negara, tetapi berulang-kali. Tuduhan ke atas Najib hanya menjadikan PH ini seperti si pengembala kambing yang tidak serik menipu penduduk kampungnya.

Jika sebelum pilihan raya umum ke 14 yang lalu, sebarang perjanjian ekonomi dengan kuasa besar China adalah satu usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjual kedaulatan wilayah negara ini, maka mengapa perjanjian ekonomi yang sama kini dipanggil sebagai kerjasama ekonomi 2 hala?

Malah mustahil keputusan kerajaan PH yang mahu memperkenalkan cukai gula, cukai levi penerbangan dan cukai digital juga salah Najib?

Hutang negara yang dari RM686.6 bilion di bawah pemerintahan kerajaan BN meningkat kepada RM741 bilion di bawah pemerintahan PH ini juga harus disalahkan Najib? Bloomberg dalam laporannya pada 16 April 2019 yang mengesahkan Bursa Saham Malaysia adalah yang paling teruk di dunia di bawah pemerintahan PH ini bagaimana pula? Kemungkinan FTSE Russell yang akan mengeluarkan Malaysia daripada World Government Bond Index ini pula salah siapa? Juga salah Najib?

Masa depan Malaysia suram

Hampir setahun di bawah pemerintahan PH, rakyat tidak disajikan apa-apa polisi yang benar-benar menguntungkan rakyat marhaen. Ekonomi negara terus suram tanpa apa-apa jaminan kerajaan kepada rakyat akibat kegagalan PH merencanakan ekonomi negara dengan polisi yang jelas.

Kegagalan kerajaan PH dalam menangani perdebatan isu statut Rom dan institusi beraja juga menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan Persekutuan. Salah siapa semua ini?

Kasihanilah rakyat wahai si pengembala kambing.

Edwin Michael ialah pensyarah sains politik dan kewartawanan.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo