NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa Himpunan Solidariti Kedamaian anjuran kerajaan gagal


Himpunan Solidariti Kedamaian yang diadakan baru-baru ini gagal mencapai sasaran kehadiran yang disasarkan. Walaupun melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri, diberikan liputan yang meluas oleh TV dan media-media utama negara dan dihadiri oleh kedutaan asing, namun tetap gagal menarik minat rakyat untuk hadir bersama.

Dikatakan kehadiran hanyalah sekitar 500 orang ataupun kalau nak lebih pun hanyalah sekitar 1,000 peserta sahaja. Ini sudah pasti sesuatu yang memalukan bagi menteri agama yang begitu bersungguh-sungguh untuk mengadakan himpunan berkenaan.

Ada juga khabarnya menteri-menteri lain yang pada awalnya hendak hadir tetapi apabila dimaklumkan peserta yang hadir adalah sedikit, mereka membatalkan niat kerana takut dimalukan. Akhirnya himpunan menjadi begitu hambar sehingga ada pihak penyokong mereka terpaksa menggunakan pelbagai helah untuk membuktikan bahawa himpunan itu berjaya. Ada juga akhbar yang menulis bahawa Dataran Merdeka DIBANJIRI oleh peserta walhal jumlah yang sebenarnya adalah sebaliknya.

Apa yang lebih parah lagi ialah kurangnya peserta dari kaum Cina dan India. Malah dikhabarkan 95 peratus dari jumlah peserta terdiri dari orang-orang Melayu walhal isu ini sepatutnya adalah isu kepentingan untuk semua kaum. Tetapi kenapa mereka tidak hadir? Ini persoalan yang ditanya-tanya oleh rakyat.

Menurut perspektif lain, jumlah kehadiran ini memang telah dijangkakan. Ini bukan kerana rakyat prejudis tetapi sejak dari awal lagi niat dan matlamat himpunan adalah kurang jelas.

Kenapa tiba-tiba saja peristiwa di Christchurch itu menarik minat menteri sedangkan umat Islam dibunuh di serata dunia setiap hari seperti di Rakhine, China, Palestin, Selatan Thai dan lain-lain? Dalam masa yang sama tidak pula kedengaran desakan supaya tindakan yang tegas perlu diambil kepada pembunuh atau kepada mana-mana kumpulan pelampau kulit putih. Tidak ada juga kedengaran laungan supaya barat menghentikan keganasan kepada umat islam di seluruh dunia.

Ini semua menyebabkan rakyat sangsi apakah tujuan sebenar himpunan ini diadakan ataupun hanya sekadar untuk menangguk di air keruh demi kepentingan politik? Atau untuk menaikkan imej menteri yang sudah banyak tercalar dari pandangan sebahagian besar umat Islam di negara ini?

Atau memberi mesej supaya umat islam di negara ini tidak marah dan mengambil tindakan jika sekiranya Islam dihina atau ditohmah kerana kononnya Islam adalah agama kedamaian dan sebab itu kita mesti bersabar?

Jelas, himpunan ini menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.

Keraguan banyak pihak ternyata terbukti apabila tidak ada apa-apa kesan yang positif terhadap toleransi agama di negara ini. Hubungan antara agama masih tegang.

Umat Islam saja yang dilihat bersungguh-sungguh mempromosikan toleransi agama sedangkan pihak lain tidak kelihatan pula ada kenyataan yang mempamerkan kesediaan untuk memohon maaf ataupun bersedia menerima Islam sebagai agama negara.

Walaupun sudah diwujudkan kementerian yang khusus untuk perpaduan sejak beberapa tahun dahulu namun hasilnya hampir tiada. Malah sekiranya Akta Harmoni yang dibuat oleh kementerian berkenaan yang dicadangkan untuk dibentang dan diluluskan parlimen maka keabsahan kedudukan Islam akan lebih tergugat.

Apakah ini yang dikatakan rahmatan lil alamin?

Kalau sebelum ini mereka sentiasa menuduh himpunan dan demonstrasi oleh NGO sebagai satu agenda politik (walaupun sebenarnya adalah sebaliknya), maka saya juga sangat yakin dan pasti bahawa himpunan solidariti ini yang dianjurkan oleh orang politik sememangnya berunsurkan dan bermotifkan politik.

Mungkin ini adalah tanda-tanda bahawa khidmat menteri agama (Mujahid) sudah berada di penghujungnya.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo