NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelebihan pengundi India di Rantau



oleh: DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH | 08 Apr 2019

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau amat menarik dan penting dalam menentukan sama ada kerjasama Pas dan UMNO akan berpanjangan atau terhenti.

Walaupun MIC sudah menjalinkan kerjasama dengan Pas dan UMNO, tetapi MCA masih belum bersedia. Maka, kerjasama ini sebenarnya melihat kepada skop pengundi Melayu dan India.

Negeri Sembilan merupakan kawasan bercampur di mana tiada politik etnik yang menguasai sesebuah kawasan pasca PRU14.



Apa yang menarik ialah walaupun di Rantau pengundi Melayu 54 peratus, pengundi Cina 19 peratus, pengundi India 27 peratus dan lain-lain 1 peratus, yang menentukan kemenangan calon bukan para pengundi Melayu. Pengundi India yang bakal menentukan kemenangan calon dalam PRK DUN Rantau. Pakatan Harapan sebenarnya mempunyai kelebihan untuk menang jika 70 peratus pengundi Cina dan 70 peratus pengundi India mengundi PH pada hari kejadian.

Tetapi jika kurang daripada 50 peratus pengundi Cina dan kurang daripada 50 peratus pengundi India mengundi PH, maka PH mengalami kesukaran untuk menang. Kedua-dua etnik ini merangkumi 46 peratus pengundi-pengundi yang berdaftar.

Andaian ini benar jika pengundi Melayu berpecah kepada tiga iaitu PH, Pas-UMNO-MIC dan calon Bebas.

Kelebihan PH yang kedua ialah jentera kerajaan dan media massa dalam perang saraf PRK Rantau. Kelebihan ini jika dimanfaatkan boleh menewaskan Tok Mat, dan jika ia berlaku maka harapan untuk UMNO bangkit semakin sukar.

Apabila UMNO kalah, ia menandakan sokongan bukan Melayu kepada kerjasama Pas-UMNO-MIC masih rendah. Malahan sokongan Melayu untuk merealisasikan kerjasama itu juga terjejas berikutan kekalahan tersebut.

Pengundi tegar

Amat penting untuk PH memfokuskan PRK DUN Rantau. Andaian ini benar jika lebih 50 peratus pengundi Melayu mengundi PH dalam PRK DUN Rantau. Peluang untuk Tok Mat mengekalkan kemenangan dengan undi Melayu akan menemui kegagalan. Ini akan memberikan satu implikasi kepada kerjasama Pas-UMNO pada masa depan.

Kelebihan kerjasama PAS-UMNO-MIC hanya dapat direalisasikan jika ia mampu menarik pengundi tegar dan atas pagar dalam kalangan Melayu melebihi 70 peratus dan India 50 peratus untuk memilih Tok Mat dalam PRK DUN Rantau.

Hujah kedua, adalah kelebihan PAS-UMNO-MIC dilihat dari segi kelemahan PH menunaikan janji manifesto, khususnya berkaitan dengan agenda Melayu. Agenda Melayu masih menjadi isu utama dalam kalangan pengundi Melayu dalam soal dasar kerajaan Pusat. Sebarang dasar kerajaan Pusat akan memberikan implikasi ke atas dasar negeri.

Hujah ketiga adalah kelebihan PAS-UMNO-MIC untuk menangguk di air keruh atas kegagalan PH dalam menunaikan konsep keadilan Rawls iaitu hak minoriti dalam minoriti seperti etnik India, orang asli dan lain-lain. Ini disebabkan hak minoriti etnik Cina sahaja yang mengalami perubahan positif yang drastik berbanding etnik minoriti lain dalam masyarakat majmuk negara ini.

Hujah keempat adalah kelebihan PAS-UMNO-MIC atas kelemahan PH untuk menjadi sebuah parti yang moderate dan bersifat terbuka. Ini boleh dilihat dengan beberapa kritikan daripada pemimpin-pemimpin muda PH yang mengatakan PH sudah hilang moderatenya berbanding Pas-UMNO-MIC.

Hujah kelima adalah kelebihan PAS-UMNO-MIC ekoran berlakunya fraksi perpecahan dalam kalangan komponen ahli-ahli PH. Fraksi perpecahan ialah satu perkara lumrah bagi mana-mana individu yang tidak berpuas hati atas keputusan kepimpinan parti di peringkat pusat.

Jika dilihat perkara ini, peluang untuk PH menang tetap ada, tetapi ia agak sukar kerana faktor pengundi tegar dan atas pagar, kesanggupan bukan Melayu untuk keluar mengundi, perpecahan fraksi dan sokongan Melayu.

Untuk Tok Mat menang tidak sukar tetapi beliau masih mempunyai halangan iaitu pengundi bukan Melayu dan pengundi atas pagar. Jika kedua-dua faktor ini dapat ditangani maka laluan untuk menang tetap ada.

Jika diikutkan andaian sebelum PRK Rantau, peluang Tok Mat menang ada. Tetapi kelebihan itu boleh menjadi kelemahan Tok Mat semasa tiba hari mengundi jika PH dapat menanganinya.Pakatan Harapan sebenarnya mempunyai kelebihan untuk menang jika 70 peratus pengundi Cina dan 70 peratus pengundi India mengundi PH pada hari kejadian.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo