NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jadikan Terengganu Negeri Contoh



KUALA TERENGGANU, 19 April – Amanah yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mestilah dilaksanakan dengan sebaiknya agar Terengganu menjadi contoh pada negeri lain.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggungjawab yang telah diamanahkan itu adalah tugasan berat yang harus dipikul bersama bagi mendepani sebarang kecelaruan pentadbiran.

Katanya lagi, anak muda turut berperanan dalam melunaskan harapan tersebut yang akhirnya akan memberikan manfaat pada rakyat Terengganu dan menjadi ikutan negeri-negeri lain serta negara.

"Dalam keadaan suasana di negeri-negeri dan nasional yang bermacam-macam, bercampur-campur seperti pasaran saham, pentadbiran yang tidak stabil, macam-macam isu yang timbul, kita haruslah menunjukkan contoh yang terbaik.

"Bahawa kita Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila diberi amanah menjaga sebuah negeri seperti Terengganu, kita menjadi contoh pentadbiran dan pengurusan terbaik.

"Yang boleh dilihat oleh rakan-rakan kita ataupun rakyat Malaysia di seluruh negara yang akhirnya contoh ini memberikan keyakinan kepada mereka untuk memilih PAS sebagai parti yang akan menerajui ataupun bersama sebagai sebuah kerajaan di peringkat Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Kali Ke-50 di Permai Hotel, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri menerima tabik hormat daripada Jabatan Amal.
Turut hadir Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Buruk, Mohammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), Kamaruzzaman Abdullah serta ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim .

Ahmad Samsuri yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat turut menegaskan bahawa amanah tersebut bukannya hanya sekadar mainan ataupun sesuatu yang harus dibanggakan.

"Kita memerintah bukan kerana sedap-sedap (suka-suka) kita nak tunjuk pada rakyat Terengganu, kita kena jangkau lebih daripada itu dan di situlah peranan kita yang terbesar.

"Supaya menjadi contoh dan menempa sejarah bahawa Terengganu insya-Allah akan menjadi nukleus (pemangkin) kepada PAS untuk menang di Putrajaya.

"Insya-Allah, itulah sebabnya apabila kita diberi amanah di negeri Terengganu ini, kita kena buat yang terbaik," tambah beliau.



Sumber: https://www.teganukita.net/2019/04/laksanakan-amanah-jadikan-terengganu.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo