Israk Dan Mikraj: Perpaduan Umat



Terang Rembulan (105): Israk Dan Mikraj: Perpaduan Umat
oleh: YB Ustaz Nik Mohammad Abduh

Peristiwa al Israk dan al Mikraj adalah satu peristiwa agung yang berlaku ke atas junjungan besar nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Ia berlaku di kota Mekah selang beberapa bulan sebelum peristiwa penghijrahan baginda ke kota Madinah.

Israk dan Mikraj adalah peristiwa perjalanan baginda al Rasul pada satu malam dengan menembusi alam ghaib bermula dari Masjid al Haram di kota Mekah ke Masjid al Aqsa di bumi Palestin, kemudian darinya ke lapisan-lapisan langit tinggi dengan ditemani oleh malaikat Jibril alaihissalam.

Baginda menaiki kenderaan al Buraq dari Mekah ke Palestin. Manakala darinya ke langit atas, sebahgian ulamak berpendapat baginda telah menaiki tangga ghaibi atau al mikraj. Ia berlangsung semalaman dengan baginda kembali ke kota Mekah sebelum fajar menyinsing.

Sepanjang dua perjalanan tersebut, baginda al Rasul telah diperlihatkan oleh Allah akan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) yang agung di alam ghaib. Dengan erti, apa yang telah didengar dan dikhabarkan kepadanya melalui wahyu oleh Jibril sebelumnya, telah dilihat oleh baginda dengan mata kasarnya sendiri pada malam penuh kemuliaan tersebut.

Hadiah Istimewa

Ia adalah hadiah istimewa yang dikurniai oleh Allah hanya kepada baginda al Rasul berbanding para nabi yang lain. Selain ianya sebagai isyarat pengiktirafan ke atas baginda sebagai penghulu para nabi, matlamat terbesar peristiwa Israk dan Mikraj adalah demi mengukuhkan iman dan sakinah di dalam jiwa al Rasul bagi menempuh segala kesukaran melaksanakan tugas kerasulan yang begitu sengit dan mencabar.

Ia jelas kerana pada saat baginda diisrakkan, masyarakat Quraisy sedang berada di kemuncak permusuhan dan penentangan terhadap dakwah Islam yang dibawa oleh baginda al Rasul. Ia memuncak sehingga baginda mula mengambil inisiatif menukar haluan dakwahnya ke bumi Thaif dengan harapan memperolehi nafas baru untuk dakwah Islam.

Malangnya, perancangan baginda nyata telah ditolak mentah-mentah oleh penduduk Thaif yang telah pun lebih awal melakukan pakatan sulit dengan penduduk di kota Mekah. Baginda telah dihalau dan dibaling dengan batu oleh mereka sebelum sempat memulakan langkah dakwahnya kepada mereka.

Ia adalah saat yang begitu mencengkam dan meragut kekuatan baginda. Terasa dihina, terpinggir, lemah serta hilang upaya dan idea untuk meneruskan dakwah. Baginda lalu mengangkat tangan penuh tadharruk berdoa memohon bantuan dan pelepasan daripada Allah dengan titisan air mata yang mengalir.

Pelepasan Daripada Kesukaran

Pada saat getir itulah, Allah terus menjawab dan memakbulkan doa baginda melalui beberapa kejadian yang melapangkan dan meluaskan jiwa baginda seperti kehadiran sekumpulan jin yang terus beriman dengan al Quran dan juga jaminan keselamatan oleh salah seorang pemimpin Quraisy sendiri untuk baginda memasuki kota Mekah dengan penuh aman tanpa gangguan dan ancaman.

Saat inilah, Allah menunjukkan kekuasaan-Nya yang hebat dengan menjemput baginda al Rasul untuk naik ke lapisan langit tertinggi (al samawat al ula) untuk menjamu baginda dengan hidangan ayat-ayat-Nya yang agung seperti gambaran hakiki dunia yang fana dan tua, tingkatan langit yang tujuh, pertemuan dengan saudara-saudara baginda para nabi, diperlihatkan sebahagian syurga dan neraka serta nikmat dan seksaan-Nya, pohon sidratul muntaha, alam malaikat dan ianya memuncak dengan percakapan Allah secara langsung dengan baginda al Rasul.

Semua itu telah memberikan kekuatan yang begitu tinggi dan hakiki sebagai bekalan terbaik buat baginda untuk kembali menggalas tugas kerasulan dengan penuh yakin dan optimis. Itulah bekalan yang paling diperlukan oleh para nabi dan pendakwah di jalan Allah.

Di antara kekuasaan dan keajaiban yang ditunjukkan pada malam tersebut adalah perjalanan dari bumi Mekah ke bumi Palestin. Ia adalah transit yang penuh makna dan isyarat daripada-Nya untuk al Rasul.

Saat baginda tiba bersama Jibril menaiki al Buraq ke al Masjidil Aqsa, para nabi telah dikerahkan oleh Allah untuk solat di dalamnya dengan diimami oleh baginda al Rasul. Ia adalah satu isyarat yang penuh makna tersirat. Antaranya:

Beberapa Isyarat Utama

Pertama, ia adalah pengiktirafan bahawa nabi Muhammad adalah penghulu para rasul dan nabi. Baginda datang dengan mesej menjadi al Rasul terakhir dari-Nya yang menutup perutusan kenabiaan kepada manusia. Baginda adalah nabi untuk seluruh umat manusia sehinggalah hari kiamat.

Dengan solatnya seluruh para nabi di belakang al Rasul, maka ia adalah perisytiharan terbuka bahawa semua syariat Islam para nabi sebelum baginda telah tamat dan disatukan dalam agama dan syariat Islam yang dibawa oleh baginda.

Kedua, ia menyatukan dua buah masjid utama iaitu al Masjidil Haram dan al Masjidil Aqsa sebagai masjid teragung untuk umat Islam di akhir zaman, selain al Masjid al Nabawy di kota Madinah. Dengan itu, ia menjadi perisytiharan yang nyata bahawa umat Islamlah pemilik sebenar masjid al Aqsa selama-lamanya. Ia sebagai isyarat bahawa hanya agama Islam al hanif daripada baginda-lah yang menjadi agama paling asli dan diredhai daripada Allah berbanding agama-agama langit lain yang telah dirosakkan oleh kejahatan umat sebelumnya.

Kenali Langit Di Masjid

Ketiga, masjid adalah stesyen di bumi untuk keberangkatan ke alam langit. Langit hanya dikenali oleh 'kaki masjid' iaitu orang yang sentiasa bersujud kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya. Umat nabi Muhammad yang menjauhi masjid akan buta alam langit dan berhadapan kesukaran yang dahsyat untuk kembali ke langit selepas matinya bagi menikmati segala nikmat dan kesenangan yang dijanjikan oleh Allah untuk para hamba-Nya yang taat.

Masjid adalah tempat mengenali Allah, menyucikan diri dan menyembah Allah dengan penuh khusyu' melalui ibadah solat. Justeru sekembalinya baginda ke bumi pada malam itu adalah dengan membawa kefarduan solat lima waktu. Ia dilaksanakan di masjid secara berjamaah. Masjid dan langit tidak mungkin terpisah.

Keempat, kesatuan umat adalah matlamat terbesar tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Umat hanya satu dan semuanya mesti menyembah Allah tuhan yang esa. Perpecahan manusia adalah kesalahan yang besar. Ia diakibatkan oleh larinya manusia daripada menyembah Allah kepada menyembah syaitan dan thaghut. Justeru agama Islam menyeru kepada kesatuan manusia, seterusnya menyeru mereka kepada Allah yang esa.

Kesatuan Islam dan Pembebasan al Aqsa

Kelima, umat Islam mestilah membebaskan al Masjidil al Aqsa dan menjaganya sebagaimana al Masjidil Haram dan al Masjidil al Nabawy. Oleh kerana al Masjidil al Aqsa menjadi rebutan agama-agama lain yang kufur, maka menjadi kewajiban umat Islam untuk berjihad mempertahankannya atau membebaskannya apabila terjajah.

Keenam, kehadiran al Rasul ke al Masjidil al Aqsa dengan ditemani para nabi adalah isyarat agar kesatuan Islam mestilah diusahakan. Ia adalah jalan mencapai matlamat agung khilafah iaitu menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Meluaskan persengketaan dengan menyucuh api-api permusuhan adalah sikap terkeji dan kesalahan yang besar. Ia mesti dihindari.

Itulah di antara makna tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa penting persinggahan al Rasul ke al Masjidil al Aqsa di dalam peristiwa al Israk dan al Mikraj. Hakikatnya ianya telah dijelaskan dengan nyata sekali di dalam hadis-hadis nabawy berkaitan kewajiban berjihad di bumi al Aqsa.

Bagaimanakah jalan menuju pembebasan al Aqsa? Sudah pasti ia bermula dengan iman yang benar dan kukuh. Iman yang hakiki akan mendorong kepada persaudaraan sesama umat Islam yang kemudiannya mendorong kepada kesatuan dan perpaduan umat.

Kesatuan, Jihad dan Kita

Oleh kerana pembebasan al Aqsa daripada penjajahan Zionis Yahudi hari ini tidak mungkin tercapai kecuali melalui jihad yang benar, manakala jihad pula tidak mungkin berjaya dalam keadaan perpecahan umat Islam sesama sendiri, maka adalah nyata bahawa seruan kepada perpaduan umat adalah yang paling utama hari ini.

Pada saat kita menyeru umat Arab dan dunia Islam bersatu untuk bumi al Aqsa, marilah kita menjauhi sifat kemunafikan dengan berusaha menyatukan umat Islam di bumi Malaysia sendiri. Bagaimana kita harus berlakon mencintai kesatuan umat demi al Aqsa jika kita sendiri asyik berbalahan di jalan Allah.

Ayuh bersatulah kita di atas tali Allah. Satukan hati, tegakkan agama dan sebarkan al salam ke seluruh dunia.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget