NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Inkues Adib: Keberadaan saksi pakar HKL dipersoal


KUALA LUMPUR: Keberadaan salah seorang saksi pakar bagi prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim iaitu Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang bersama di barisan Pegawai Pengendali Inkues menimbulkan soal tidak puas hati oleh wakil pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Syazlin Mansor, peguam yang mewakili kementerian itu berkata, pihaknya melihat Hafizam telah memberikan cadangan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mengemukakan soalan terhadap saksi ke-29, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid pada sesi prosiding yang lalu.

Sebaliknya, pihaknya menyarankan agar Hafizam untuk berada di ruangan tempat duduk awam hanya sebagai pendengar sahaja kerana perkara itu dilihat sebagai tidak wajar untuk berlaku.

“Puan hari ini saya memohon mahkamah tidak membenarkan saksi duduk di sini.

“Saya sebenarnya tiada masalah tetapi tarikh yang lalu Hafizam yang menyuruh Timbalan Pendakwa Raya (Hamdan Hamzah) mengemukakan soalan saya rasa tidak sepatutnya berlaku begitu.

“Kalau boleh Dr Hafizam hanya mendengar saya tidak ada masalah,” katanya.

Perkara itu turut menerima bantahan sama oleh pihak peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Kamarulzaman Abdul Wahab yang mengatakan kredibiliti perbicaraan akan terjejas dengan keberadaan saksi itu di situ.

“Bukan begini caranya. Dari sudut kredibiliti ada isu sebab saksi berada dalam mahkamah untuk dengar saksi yang lain,” katanya kepada koroner Rofiah Mohammad.

Bagaimanapun, koroner Rofiah Mohammad sejurus mendengar hujah pihak Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menolak permohonan tersebut dan membenarkan saksi untuk terus berada di ruangan asal yang menyifatkan Ahmad Hafizam sebagai pihak pakar yang terlibat secara langsung dalam sesi prosiding berkenaan.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.


Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/inkues-adib-keberadaan-saksi-pakar-hkl-dipersoal-204817

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo