NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Import dan eksport merosot, pakar bimbang ekonomi meleset

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi percaya angka perdagangan Malaysia yang menurun merupakan petunjuk kepada kemelesetan ekonomi dunia yang sedang berlaku, sekali gus berkata, kerajaan persekutuan perlu membuat persiapan bagi menghadapi cabaran itu.


Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kemerosotan angka eksport dan import Malaysia bagi bulan Februari adalah selari dengan pengecutan dalam perdagangan dunia.

Seorang lagi ahli ekonomi, Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, kemerosotan perdagangan dunia berpunca daripada perang tarif AS-China dan peningkatan kadar faedah di AS.



Eksport Malaysia jatuh 5.3% berbanding tahun lepas pada RM66.6 bilion, angka terendah sejak Ogos 2016, berikutan penurunan eksport produk petroleum bertapis, minyak mentah, minyak kelapa sawit dan produk berasaskan minyak sawit.

Import juga merosot 9.4% pada RM55.5 bilion pada Februari, angka terendah sejak Mei 2016.

Barjoyai berkata, eksport negara jatuh sejak beberapa bulan ini, selari dengan kejatuhan import.

Pergantungan pada eksport komoditi menyebabkan ekonomi Malaysia mudah terjejas, katanya, lalu menggesa kerajaan supaya memberi lebih perhatian kepada sektor perkhidmatan.

"Asas hasil kita perlu dipelbagaikan. Saya percaya kerajaan perlu berbelanja lebih banyak bagi membawa masuk lebih ramai pelancong, selain menyediakan insentif bagi merangsang industri perkhidmatan lain seperti logistik," katanya.

Yeah pula berkata, industri berorientasi eksport negara akan terjejas berikutan kelembapan permintaan dunia kerana kedudukan Malaysia dalam rantaian pengeluaran dunia dan sebagai pengeksport komoditi.

Bagaimanapun kata beliau, selagi perniagaan bersedia berhadapan kitaran menurun dalam jualan eksport, maka masalah penutupan perniagaan atau pembuangan pekerja tidak membimbangkan.

"Pekerja hanya perlu berasa bimbang tentang prospek masa depan mereka dan kerajaan pula perlu melaksanakan langkah pemulihannya sekiranya berlaku kemerosotan eksport yang lebih buruk dan lebih lama."

Import mungkin menurun berikutan permintaan domestik yang berkurang kerana sentimen pengguna dan pelabur lebih rendah serta kemerosotan kuasa beli.

Kerajaan perlu meningkatkan program promosi perdagangan dan pelaburan di luar negara, terutamanya di pasaran bukan tradisi, mengukuhkan kecekapan pentadbiran dan mengurangkan beban regulatori ke atas sektor swasta.

"Semua langkah ini akan meningkatkan ketahanan ekonomi dalam menghadapi penurunan eksport."

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo