NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hentikan Tuding Jari, Fokus Kerja Kukuhkan Ekonomi Negara


oleh: Haji Ahmad Amzad Hashim

Saya membaca penuh minat laporan daripada portal ekonomi antarabangsa Bloomberg hari ini yang menggelarkan pasaran saham Malaysia sebagai ‘World’s Worst Major Stock Market 2019’ (Bursa Saham Utama terburuk di dunia pada tahun 2019).

Sebagai rekod, pasaran saham BSKL telah merosot 14% sejak Mei 2018 dan 3.5% untuk tahun 2019 sahaja. Kemerosotan ketara ini sudah tentulah tidak baik kepada ekonomi dan memberi kesan langsung kepada GLC-GLC yang membuat pelaburan aktif di dalam pasaran saham. Sebagai contohnya KWSP, Khazanah, Tabung Haji, PNB dan lain- lain lagi.

Kemerosoran pasaran ini sudah tentu akan menjejaskan pulangan dividen kepada pencarum dan rakyat keseluruhan pada tahun-tahun akan datang.

Memburukkan lagi keadaan adalah apabila Samsung Asset Management (sebuah firma pengurusan dana terkemuka Asia) pula mengeluarkan kenyataan bahawa pasaran saham Malaysia adalah ‘membosankan’. Kenyataan ini sudah tentu berdasarkan prestasi BSKL yang lemah dan akan memberi kesan kepada persepsi pelabur luar. Dr Nazri Khan, Naib Presiden Kanan Philip Capital Management dalam kenyataannya menyebut bahawa pelabur asing sudahpun menjual saham tempatan mereka bernilai RM1.8 bilion untuk tahun ini sahaja.

Dan terkini, FTSE Russel pula sedang menimbangkan untuk mengeluarkan bon bon Malaysia daripada indeks global. Ia satu isyarat ketidakyakinan pelabur luar terhadap keteguhan ekonomi Malaysia dan kemampuan kerajaan sedia ada dalam mengurusnya.

Saya berpandangan bahawa bagi memastikan ekonomi negara terus mapan, kerajaan hari ini wajar melakukan langkah langkah segera bagi menangani persepsi negatif pelabur. Sebarang salah laku kerajaan lama sekiranya ada, wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili melalui sistem keadilan yang ada dan bukannya meneruskan polemik politik kepartian yang membuang masa dan fokus dari kerja sebenar mengurus negara.

Kabinet juga seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi isyarat negatif yang mengurangkan kepercayaan pelabur. Walaupun tadbir urus yang baik adalah intipati prinsip utama kerajaan persekutuan hari ini, namun tidak semua perkara boleh diwar-warkan kepada masyarakat awam atas nama ketelusan demi menjaga sentimen pasaran.

Sebagai contohnya, pengumuman mengejut pemindahan aset Tabung Haji kepada SPV pada Disember tahun lepas telah menyebabkan nilai 10 syarikat terbesar milik Tabung Haji merosot RM607 juta dalam masa seminggu sahaja.

Saya fikir pembangkangpun sedia memberi kerjasama bagi menjayakan matlamat memulihkan ekonomi negara dan membantu YAB Perdana Menteri dalam segala daya usaha yang baik untuk negara.

Apalagi ini antara intipati Budaya politik matang dan sejahtera yang semakin difahami oleh rakyat yang sudah mual dengan politik ala rimba yang sarat dengan fitnah dan adudomba.

Haji Ahmad Amzad Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo