NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dasar Kebangsaan tak lagi bermakna jika iktiraf UEC




Oleh Ainaa Syaza Khusli
Wartawan Pelatih Universiti Sains Malaysia

BANGI, 2 Syaaban 1440H, Isnin – Dasar Kebangsaan sudah tidak ada makna sekiranya pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah untuk mengutamakan bahasa lain, sehingga menjadikannya sebagai syarat kelayakan memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Malah, beliau yakin polarisasi kaum akan semakin tajam jika Bahasa Kebangsaan diketepikan dalam sistem pendidikan negara.

"Bahasa Kebangsaan dalam UEC sebenarnya hanya sampingan kerana ia tidak melihat bahasa Melayu sebagai subjek wajib untuk dikuasai. Maka, ia akan terus terpinggir dan bukan lagi menjadi asas penting ukuran pencapaian dalam membangun sebuah negara berbudaya kebangsaan.

"Teras berpendirian, perkara yang menjadi keperluan kini adalah memastikan pencapaian pelajar itu memperolehi kepujian dalam Bahasa Kebangsaan sebagai syarat utama. Ia akan dapat dicapai jika sistem peperiksaan selari dengan Dasar Bahasa Kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sekolah swasta aliran Cina nampaknya kurang memberi perhatian kepada hal ini dan terus mendesak tuntutan UEC yang ternyata tidak mengutamakan penguasaan Bahasa Kebangsaan.

"Kesan tuntutan pengiktirafan UEC itu kepada pelajar dan guru di sekolah persendirian Cina nanti, adalah mereka tidak fasih berbahasa kebangsaan kerana tidak merasakan keperluan perkara itu sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Azmi juga menegaskan bahawa janji manifesto PH untuk mengiktiraf UEC boleh dipenuhi, tetapi dengan meletakkan syarat bahawa Bahasa Kebangsaan mesti dijadikan keutamaan sebagai bahasa pengantar dalam subjek akademik yang diajar selain mata pelajaran bahasa.

UEC adalah sijil Sekolah Swasta (SMPC) yang dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.

Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, sementara kurikulumnya pula tidak mengikut Dasar Pendidikan Negara.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/04/08/dasar-kebangsaan-tak-lagi-bermakna-jika-iktiraf-uec/





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo