NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Budaya Hedonisme Yang Disemai Kerajaan Ph Semakin Menggila.



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran mereka. Hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal Korea, BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) amatlah dikesali. Kata Pak Menteri yang selayaknya masih dibangku kampus itu, ianya bertujuan mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa setaraf dengan negara lain dirantau ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebelum ini, Malaysia sering kalah dalam perkara itu dengan negara jiran hingga ia merugikan negara.

Menurutnya lagi, sekiranya Malaysia menjadi destinasi pilihan konsert antarabangsa, ia sekali gus akan dapat memberi impak ekonomi kepada rakyat Malaysia.

“Tak serik ke kita asyik tewas kepada Singapura dan Thailand. Sekarang ini di tangan Indonesia dan Vietnam. Saya nak ubah trend ini.” katanya seperti yang dilaporkan oleh pihak akhbar, namun dikecam hebat oleh netizen yang mencium kedangkalan cara berfikir seorang Menteri.

“Dahulu Malaysia sentiasa dipilih sebagai destinasi utama bagi persidangan peringkat antarabangsa dan konsert antarabangsa yang menarik minat ramai pelancong luar.” tambahnya lagi ,menambah alasan mengapa perlunya kumpulan Kpop perlu memeriahkan tahun melawat Malaysia 2020.

“Saya tidak mahu Malaysia jadi kedua, ketiga tempat destinasi pilihan. Saya mahu Malaysia jadi nombor satu”, katanya dalam satu kenyataan di dalam Instagram beliau, semalam yang menerima reaksi hangat netizen.

Syed Saddiq sebelum ini memaklumkan KBS sedang dalam usaha membawa masuk BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena TMM 2020.

Kerajaan PH yang didominasi oleh DAP bukan sekadar meranapkan ekonomi negara dan menumpuk hutang baru negara, namun kerajaan dengan barisan kabinet separa dungu mencetuskan pelbagai isu yang merenggut nurani umat Islam. Penularan faham Islam liberal atau neo muktazilah semakin membuncah, penistaan kepada ar Rasul yang mulia serta perlecehan kepada Islam serta Melayu semakin menjadi-jadi pasca 9 Mei 2018.

Sehari dua ini menggelegak perasaan kita umat Islam apabila melihat sikap keras kepala Menteri Belia dan Sukan yang mempertahankan keinginan KBS untuk mengundang kumpulan Kpop dengan alasan dangkal dan tidak munasabah. Ketidakmatangan hujjah Menteri bukan sahaja dikomentari oleh ilmuan namun anak-anak seni seperti Awie. Budaya konsert dan penyuburan nilai hedonisme ini tidak menyuntik nilai karomah insaniah malah meletakkan manusia pada sudut yang hina.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Syed Sadiq sebagai seorang Menteri yang mewakili anak muda sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada "sensate culture", budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Anak muda perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin saya kurang mengerti cara berfikir Menteri Belia Dan Sukan ini tetapi beliau sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Syed Saddiq meluruskan potfolio yang beliau sandang sekarang, dengarlah pandangan orang lain terhadap Kementerian Belia dan Sukan.

(Penulis ialah Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo