NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Benarkah 800,000 Ahli PAS Sedang Membuat Peralihan?

Gambar hanya hiasan*
oleh: Dr Kamarul

Kecoh jadinya bila portal berita Malaysia Date Line melaporkan berita yang memetik Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, sebagai menyebut “dalam sejuta ahli PAS yang ada kini 800 ribu sedang membuat peralihan”.

Mungkin disebabkan kritikan bertalu-talu yang dibuat oleh pemimpin, ahli dan penyokong PAS ke atas Mohamad Sabu ekoran ceramah beliau di Bukit Besar, Kedah, malam tadi, berita ini kini telah ditarik balik oleh portal berita itu.

Apa pun, bagi mengesahkan kesahihan laporan portal berita itu serta bagi melihat konteks dalam mana kenyataan itu dibuat, saya telah menonton dan meneliti sendiri keseluruhan isi ceramah beliau melalui rakaman video yang ada.

Setelah menonton dan menelitinya, didapati bahawa Mohamad Sabu memang menyebut “jadi ahli yang fanatik yang terus tu kita tak boleh usik, tapi jangan lupa, dalam ahli PAS sejuta tu saya yakin 800,000 sedang membuat peralihan”.

Konteks dalam mana kenyataan itu dibuat adalah penerimaan borang ahli baru AMANAH seramai “900 orang”, di mana “dekat setengah” daripada jumlah itu disebut oleh Mohamad Sabu merupakan bekas ahli PAS Bukit Besar.

Bacaan yang dibuat oleh Mohamad Sabu adalah 20 peratus daripada sejuta ahli PAS, atau 200,000 orang, adalah ahli yang fanatik yang tidak boleh diubah, tetapi 80 peratus lagi, atau 800,000 orang, adalah “makhluk yang boleh berubah”.

Ahli fanatik PAS ini, dakwa Mohamad Sabu, adalah ahli yang bila “Presiden dia kata, “Hari ni hari Ahad, esok hari Jumaat”, mereka kata, “Ya, Jumaat, Tok Guru”, iaitu “mereka (yang) akan cari tafsiran mengiyakan apa Presiden kata”.

Dalam konteks menceritakan kefanatikan 20 peratus ahli PAS ini, Mohamad Sabu bagaimanapun secara tidak sengaja telah membuka rahsia beliau sendiri dengan berkata:
(1) “Saya ni sampai ke la pun kalau tau daging tu UMNO sembelih saya melugai lagi. Sungguh, hang jangan gelak ni, Mejar Anuar, kami dulu, sebab apa, ustaz-ustaz kami ajar, “aqidah mereka tidak boleh, terjejas, aqidah mereka tak betul, sembelihan mereka tidak betul”, saya pun melugai tengok. La ni pun saya tengok ni, “UMNO sembelih tak”, masih lagi, siapa ajar, ustaz-ustazlah.”
(2) “Saya ingat lagi Pilihan Raya (Kecil) Bukit Raya masa Ustaz Fadzil bertanding dulu ni, dengan Safirol, Allah, ceramah waktu itu, kalau 10 minit tak sebut kafir tak sah. Tambah ceramah di Besut, kita pi pi ceramah kita tak sebut kafir UMNO tu 15 minit orang balik.”

Saya tiada sebarang komen selain mahu memberikan konteks mengapa kempen Pilihan Raya Kecil N12 Bukit Raya pada 5 April 1980 yang menyaksikan Datuk Fadzil Mohd Noor kalah tipis dengan majoriti 70 undi sahaja oleh calon BN, Safirol Hashim, menjadi hangat.

Kehangatan itu di antara lainnya adalah berpunca daripada tindakan kerajaan menahan 13 pemimpin PAS Kedah, di antaranya adalah Setiausaha PAS Kedah, Abdul Halim Arshad, Setiausaha Kerja PAS Kedah, Salahuddin Mansur, dan Setiausaha PAS Padang Terap, Osman Marzuki, di bawah ISA ekoran peristiwa tunjuk perasaan kaum tani bagi menuntut kenaikan harga padi yang berlangsung di Alor Setar pada 23 Januari 1980.

Saya kurang faham mengapa pemimpin AMANAH seolah-olah masih terlalu obses dengan kelemahan dan keburukan PAS sedangkan dengan berlalunya PRU 14 yang mereka menangi mereka sepatutnya boleh menguatkan parti mereka dengan pelbagai cara lain yang lebih positif sekali gus mewujudkan suasana lebih harmoni dalam politik negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo