NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bauksit: Penduduk Kg Selamat harap mimpi buruk tak berulang


KUANTAN: Susulan penambahbaikan yang diusahakan kerajaan dalam tatacara operasi standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit, rata-rata penduduk sekitar Kampung Selamat yang terletak sekitar 6km dari Pelabuhan Kuantan berharap agar bahana pencemaran sekitar yang pernah dialami kawasan itu tidak berulang.

Rata-rata masih belum dapat melupakan pengalaman "bergelumang" dengan habuk merah dan deruan lori bauksit yang menjadi "halwa telinga" sepanjang hari.

Seorang penduduk Rosdi Mustafa, 42, mendakwa aktiviti pengangkutan bauksit di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan anaknya Putri Nurmia Qaisara, 7, mengalami masalah pernafasan sehingga pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, dipercayai akibat debu dibawa lori bauksit.

"Anak sentiasa keluar masuk klinik dan hospital selain pernah ditahan selama seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Rumah kami di tepi laluan lori yang mahu keluar masuk pelabuhan, dan tahu sahajalah bagaimana pencemaran debu daripada lori bauksit itu," katanya semasa ditemui Bernama hari ini.

"Doktor ada menyarankan supaya kami berpindah ke tempat lain bagi mengelakkan kesihatan anak terus merosot apabila dimaklumkan kami berdepan masalah debu bauksit… tapi ke mana kami mahu berpindah kerana sudah 19 tahun menetap di sini," tambahnya.

Kerungsingan juga menyelubungi peniaga Fauziah Hussin, 50, kerana kedai makan yang diusahakannya sejak 14 tahun lalu terletak di laluan lori bauksit, selain juga berhampiran dengan kawasan kuari.

Katanya habuk di kedai yang sebelum ini hanya berpunca dari kawasan kuari, menjadi bertambah lebih buruk disebabkan debu bauksit yang dibawa oleh terlalu banyak jumlah lori yang berulang-alik di kawasan berkenaan.

"Memang jika diikutkan aktiviti ini akan menjana ekonomi kami di kampung ini, terutama kedai makan kerana pemandu lori akan menyinggah, tetapi ia amat memenatkan dan kos pula bertambah kerana debu bauksit susah dihilangkan, kami perlu basuh semua barang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Abd Aziz Manap, 43, berkata rata-rata penduduk tidak bersetuju jika aktiviti perlombongan bauksit disambung memandangkan tempoh moratorium sudah berakhir.

Abd Aziz berkata walaupun tiada aktiviti perlombongan dijalankan di kampung itu, namun kesannya tetap turut dirasai jua kerana bauksit yang hendak dieksport ke luar negara perlu dibawa ke Pelabuhan Kuantan, menggunakan laluan di kawasan itu.

"Masalah yang berlaku bukan hanya melibatkan masalah kesihatan, tapi juga keselamatan kerana pemandu lori bauksit lazimnya memandu dengan laju kerana mengejar kekerapan perjalanan. Sedangkan jalan di sini adalah sempit dan merupakan laluan utama penduduk kampung termasuk untuk menghantar anak ke sekolah," katanya.

Abd Aziz berkata walaupun beliau ada mendengar berita bahawa SOP baharu menetapkan laluan lori bauskit tidak boleh melalui kawasan perumahan atau lokasi tumpuan, namun kebimbangan itu tetap ada.

Ini kerana menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu pemandu lori lebih suka menggunakan laluan di situ kerana jarak lebih dekat sekaligus membolehkan mereka meningkatkan kekerapan perjalanan ke pelabuhan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo