NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa ditakut sangat taawun PAS-Umno?

oleh: Subky Latif

TAAWUN PAS-Umno belum jadi tetapi ia sudah dekat hendak jadi. Apa yang akan dicapainya belum diketahui kerana rundingan baru bermula dan PRU15, matlamat akhirnya masih jauh.

Tetapi sekalian kerabat PH sudah gempar dan gelabah. Guan Eng tercakap taawun itu satu isytihar perang ke atas bukan Melayu/bukan Islam. Kor Meng, Timbalan Speaker kata ia ke arah pembentukan pemerintahan Taliban. Mahathir kata, Umno akan tipu PAS lagi.

Brother Anwar tidak pedulikan Umno tapi tembak PAS sebagai parti menghalalkan bohong dan bodek Perdana Menterinya, Mahathir.

Apa erti semua ini? Tidak lain dari gerun dan gelabah atas potensi dan keupayaan taawun boleh mengembalikan PH sebagai pembangkang lepas PRU15 dengan izin Allah.

Ibrahim Ali pernah jadi MT Umno semasa Dr. Mahathir. Katanya, Mahathir amat gerun percubaan PAS dan DAP bekerjasama. Ia tiru politik BN tetapi ia boleh gugat monopoli kerajaan BN. Maka dia politikkan macam-macam supaya PAS dan DAP terus bermusuh.

Bila DAP dan PAS kerjasama juga bersama PKR, ia hilang majoriti dua pertiga BN di Parlimen tahun 2008. Semua usaha pecahkan PAS dari PR justeru politik Islamnya. DAP buat apa cara supaya Islam PAS kuasai Pakatan.

Mengapa? Justeru gerunnya kepada Islam yang PAS bawa. Mereka berjaya pisahkan PAS tetapi dengan kalahnya BN bertaawun pula PAS dengan Umno, suatu yang semua tidak pernah fikir dan ia berpotensi menjadi tenaga politik baru menjelang PRU15.

Maka ia menggerunkan sekalian penyokong PH. Apa yang digerunkan sangat?

Justeru Islam yang PAS bawa disambut oleh Umno. Sebelumnya takut Islam yang PAS bawa itu jadi seperti Islam yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW dikepung oleh semua, kerana gerunnya kepada Islam. Ia mulanya kecil tetapi Allah tanamkan gerun kepada musuhnya sejarak sebulan perjalanan.

Setengah orang Islam takut menzahirkan Islamnya justeru ia dikeliling musuh yang gagah belaka. Tetapi yang amat gerun ialah yang menentang Islam kerana Allah tanamkan ketakutan sejauh sebulan perjalanan.

Islam yang taawun bawa mungkin tidak segerun Islam di sisi Rasulullah SAW. Islamnya bebas pengaruh jahiliah. Islam kini banyak diselimuti gejala jahiliah. Mungkin Islam yang PAS bawa tidak sesuci Islam semasa Rasulullah SAW dan taawun itu disertai pula oleh Umno. Sekalipun ia tidak sesuci Islam zaman Nabi, tetapi Islam itu Islam. Gerun di zaman Nabi tetap ada. Jika dengan segala kelemahannya gerun itu tidak sejarak sebulan perjalanan, tetapi ia mungkin sejarak 20 hari perjalanan atau dua minggu perjalanan.

Maka inilah yang digelabah oleh semua tentang pendekatan taawun itu. Dan jika penerimaan Umno itu setara serba serbi dengan yang PAS kehendaki, maka kegerunannya boleh mencapai sejarak sebulan perjalanan seperti keistimewaan yang Nabi miliki dulu.

PRU15 paling cepat tiga tahun lagi. Setakat sebelas bulan ini amat banyak pincang kerajaan PH. Untuk tiba empat tahun nanti kemungkinan bobrokannya mengatasi kepincangan lapan tahun zaman Najib atau 60 tahun zaman BN.

Jika Islam yang taawun bawa itu tepat dengan kehendak Islam, tidak hairanlah semuanya gelabah.

Jika kita gerun dengan pincangan kerajaan baru, mereka lebih gerun dengan penyatuan ummah. Bukankah ini rahmat penyatuan ummah bersama Islam dengan berduanya PAS dan Umno? – HARAKAHDAILY 20/4/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo