NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1MDB: Perbicaraan 14 Hari Bermula 14 Mei

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 hari bermula 14 Mei depan untuk perbicaraan empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas dimaklumkan oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib bahawa, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini telah diambil alih untuk perbicaraan kes membabitkan SRC Intertional yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Harvinderjit sebelum itu memaklumkan, perbicaraan membabitkan kes SRC Intertional Sdn. Bhd. dijadual bermula 15 April hingga 10 Mei depan.

Sehubungan itu perbicaraan kes melibatkan dana 1MDB akan dijalankan pada 14, 15, 17, 28, 29, 31 Mei 2019 dan disusuli tarikh 10, 11, 12, 13, 14, 18, 20 & 21 Jun 2019.

Berikutan tarikh-tarikh yang ditetapkan itu, bekas Menteri Kewangan itu terpaksa melalui perbicaraan hampir setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. – Sinar Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo