NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

110 terlibat undi awal PRK Rantau hari ini




SEREMBAN: Proses pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau bermula 8 pagi ini selepas 2 pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, dibuka.

Ia membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal dengan 8 daripadanya mengundi secara pos.

Proses pengundian di PU Sendayan, yang merupakan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.

Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan seramai 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Proses pengundian awal berlangsung selama 4 jam sehingga 12 tengah hari.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 4 orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51% atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46% atau 3,863), India (26% atau 5,441) dan lain-lain (0.03% atau 7).

PRK DUN Rantau adalah PRK ke-7 selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu menyaksikan pertembungan 4 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan serta 2 calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama 3 penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo