Statut Rom: Kerajaan PH belakangkan Raja-Raja Melayu?


BANGI, 4 Rejab 1440H, Isnin – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menghadap Majlis Raja-Raja bagi memberikan penjelasan menyeluruh berhubung kewajaran menyertai satu lagi konvensyen antarabangsa, Statut Rom baru baru ini.

Kesal dengan sikap kerajaan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan yang dibuat hanya menyerlahkan sikap sebenar PH yang sekali lagi membelakangi dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Malah katanya, pendedahan yang dibuat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa keputusan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja Melayu adalah amat mengecewakan.

"Walhal keputusan untuk Malaysia menjadi negara ahli Statut Rom memberi implikasi besar dan serius kepada kedudukan, kedaulatan dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) (dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain).

"Mungkin pihak Peguam Negara mempunyai justifikasi tersendiri terhadap isu imuniti Raja yang dianggap tidak terkesan dan terhakis dengan Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom yang memperuntukkan Ketua Negara (dalam konteks Malaysia adalah YDPA) dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa jika mana-mana jenayah itu dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kementerian Luar berkata, kerajaan sudah mengkaji secara mendalam dan teliti daripada segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah juga sudah menyembah maklum perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan memberi penerangan berhubung hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rom pada 15 Februari lalu.

Namun apa jua alasan, Asyraf berkata, kerajaan sewajarnya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa yang boleh terdedah kepada isu menyentuh Perlembagaan Persekutuan sebelum dirujuk kepada pihak Majlis Raja-Raja.

"Semenjak kerajaan baharu ditubuhkan, rakyat pasti tertanya-tanya kenapa kerajaan PH sentiasa dilihat amat terburu-buru untuk menyertai pelbagai konvensyen antarabangsa yang menyentuh Hak Asasi Manusia yang mana hanya diperjuangkan oleh kelompok minoriti daripada kumpulan liberal sebagaimana dalam isu meratifikasi ICERD yang lalu. 

"Seharusnya perasaan dan sentimen rakyat majoriti yang lebih utama diambil kira bagi memastikan pasak-pasak negara yang mendasari Perlembagaan Persekutuan tidak goyang dan melebur. Pasak-pasak inilah yang memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara berterusan," katanya.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget