Statut Rom: ‘Biar lambat tandatangan,asalkan negara selamat’

"Rakyat dan Parlimen perlu dirundingi. Malaysia juga negara raja berperlembagaan. Institusi raja-raja juga perlu dihormati dan juga dibawa berunding sebelum sesuatu undang-undang antarabangsa yang mengikat kerajaan negara ini ingin ditandatangani.Biar proses menandatangani itu lambat, asalkan negara ini selamat. Apa yang hendak dikejar sangat?


BANGI, 20 Rejab 1440H, Rabu – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Statut Rom disifatkan sebagai betul kerana memberi banyak kebaikan dalam hubungan Malaysia dengan dunia antarabangsa, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Bagaimanapun, Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan menandatangani Statut Rom itu kelihatan gopoh berikutan tidak membawa perkara itu ke Parlimen dan Majlis Raja-Raja walaupun hakikatnya berniat baik.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya sedar bahawa Malaysia negara demokrasi berparlimen bukan autokrasi.

"Rakyat dan Parlimen perlu dirundingi. Malaysia juga negara raja berperlembagaan. Institusi raja-raja juga perlu dihormati dan juga dibawa berunding sebelum sesuatu undang-undang antarabangsa yang mengikat kerajaan negara ini ingin ditandatangani.

"Biar proses menandatangani itu lambat, asalkan negara ini selamat. Apa yang hendak dikejar sangat?" soal beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hassan berkata, Statut Rom dilihat dari segi kepentingan manusia sejagat ada baiknya yang mana Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ditubuhkan di bawahnya.

"Jika Malaysia ingin bersuara dan bertindak aktif dalam dunia antarabangsa dalam menentang pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity), jenayah perang (war crimes) dan jenayah pencerobohan (crimes of aggression) maka adalah wajar Malaysia menandatangani Statut Rom.

"Malaysia tiada locus standi atau hak menuntut ICC bertindak ke atas pihak-pihak yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, Bosnia dan Rohingya, sebagai contoh, sekiranya Malaysia tidak menandatangani Statut Rom," katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Statut Rom tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga katanya, tidak mengancam kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam serta institusi raja di negara ini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan telah menandatangani Statut Rom sekali gus mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakyat mahupun NGO.

Statut Rom menubuhkan suatu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mempunyai bidang kuasa jenayah hanya ke atas empat jenis jenayah iaitu pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan (crimes againt humanity), jenayah perang (war crimes) dan jenayah pencerobohan (crimes of aggression).

Berdasarkan Perkara 5 Statut Rom, pihak yang terbabit dan bertanggungan dibawa ke ICC termasuklah orang yang melakukan kesalahan itu, mereka yang memberi perintah atau arahan serta mereka yang bersubahat melaksanakan salah satu daripada empat kesalahan berkenaan.



Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget