NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Rantau: PAS kerah jentera seluruh negara bantu Tok Mat


SEREMBAN, 23 Rejab 1440H, Sabtu – PAS yakin kerjasama penyatuan ummah antara parti itu dengan UMNO mampu membantu kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Moktar percaya calon BN, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, mampu mempertahankan kerusi tradisinya dengan bantuan kerahan jentera PAS dari seluruh negara.

"Kita akan menggunakan peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) secara keseluruhannya, sebagai satu strategi khusus untuk memastikan kemenangan Mohamad," katanya seperti dilapor Harakahdaily, hari ini.

Berikutan demografi komposisi penduduk kawasan itu yang amat berbeza, pihaknya percaya DHPP telah merangka strategi yang baik sepanjang kempen PRK Rantau berlangsung.

Justeru Dr Samsuri berkata, PAS akan sentiasa komited bagi membantu kelangsungan kempen PRK DUN Rantau secara matang dan sejahtera.

"PAS juga telah mengeluarkan arahan bagi mewajibkan semua pengundi PAS di DUN Rantau untuk mengundi calon BN di sini," katanya.

Dr Samsuri mengakui Mohamad sangat layak untuk mengekalkan kerusi DUN Rantau apabila melihat pelbagai pembangunan yang telah dilakukannya sebelum ini di situ.

"Masyarakat DUN Rantau telah menyaksikan sendiri kepimpinan Mohamad dan seharusnya figura ini layak menjadi wakil rakyat di sini," kata Menteri Besar Terengganu.

Bagaimanapun, beliau berharap dan menasihati pihak Pakatan Harapan (PH) supaya berkempen dengan sebaik-baiknya mengikut lunas demokrasi.

"Kita berharap mereka dapat mengelakkan budaya fitnah-memfitnah dalam sebarang aktiviti, sekali gus memberi keharmonian yang lebih baik sepanjang kempen ini berlangsung," katanya.

Penamaan calon DUN Rantau hari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, BN dan dua calon bebas.

Calon BN, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh calon PH, Dr S Streram, serta calon Bebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/03/30/pas-kerah-jentera-seluruh-negara-bantu-tok-mat-di-prk-rantau/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo