NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengerusi PAC perlu ditukar serta-merta


KUALA LUMPUR 28 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee perlu ditukar serta-merta tanpa sebarang penangguhan, selari dengan mekanisma semak dan imbang jawatankuasa itu.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, anggota PAC bertanggungjawab untuk menyemak akaun awam dan menjalankan siasatan terhadap sebarang salah laku pentadbiran kerajaan yang dilaporkan oleh Ketua Audit.

"Sejak Parlimen ke-11 pada tahun 2004 lagi, Pengerusi PAC dan Timbalan Pengerusinya disandang oleh wakil kerajaan dan pembangkang. Ia bagi memastikan wujudnya keseimbangan dan membolehkan jawatankuasa untuk memantau serta mengenalpasti kesilapan tadbir urus pentadbiran," kata Presiden MCA itu melalui hantaran di facebooknya.

Namun, kata Ka Siong. sejak Ronald melompat parti daripada UMNO menyertai Bersatu, kedua-dua jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC dalam Parlimen ke-14 ini dikuasai parti pemerintah.

"Inilah kali pertama senario ini berlaku dalam tempoh 15 tahun. Memetik kata Nurul Izzah, inilah kerosakan sistem dan institusi Parlimen telah mengundur ke tahun 2004." katanya.

Justeru, kata beliau, Pengerusi PAC harus diganti serta-merta bagi menegakkan keadilan dan intergriti seterusnya berupaya untuk memantau serta mengenalpasti salah laku pentadbiran.

Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming nampaknya tidak faham dengan bidang kuasa dan intergriti PAC apabila tidak mahu menukar Ahli Parlimen Beluran itu secara serta-merta. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/pengerusi-pac-perlu-ditukar-serta-merta-1.871777#ixzz5jTsnUfxS


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo